21 Januari 2019
23/02/2008

Nor Mohamed di T. Gelugor

Nor Mohamed di T. Gelugor

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan bertanding bagi kawasan Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Abdullah selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata di sini, penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar mengalu-alukan keputusan beliau sebagai Presiden parti untuk meletakkan Nor Mohamed sebagai calon Parlimen BN di kawasan itu.

''Sebagai Ketua Bahagian dan demi kepentingan BN serta kebaikan pengundi-pengundi di Tasek Gelugor, Mohd. Shariff memberikan laluan dan berikrar untuk memberi sepenuh kerjasama untuk menjamin kemenangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop," kata Abdullah.

Ini kali pertama Nor Mohamed, 59, yang merupakan anak kelahiran Butterworth, bertanding pada pilihan raya sejak menyertai Kabinet atas pelantikannya sebagai Senator pada Januari 2004.

Abdullah yang juga Pengerusi BN turut mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas yang disandangnya sejak 1978.

Selain Nor Mohamed, seorang lagi muka baru untuk kerusi Parlimen ialah anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Norraesah Mohamad yang bertanding di Balik Pulau, menggantikan penyandang Datuk Seri Dr. Helmi Yahya yang dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Teluk Bahang.

Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail dicalonkan semula untuk menentang penyandang, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Permatang Pauh.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, Pirdaus tewas tipis dengan majoriti 590 undi.

Datuk Zainal Abidin Osman pula dikekalkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Nibong Tebal bagi BN.

Abdullah turut menyenaraikan empat muka baru untuk kerusi DUN — Ketua UMNO Bahagian, Zabariah Abdul Wahab bagi kawasan Bertam; Setiausaha bahagian, Ahmad Sahar Shuib di Permatang Pasir; Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Mahmud Zakaria di Sungai Acheh dan Ketua Pemuda Bahagian, Norman Zahalan di Batu Maung.

Yang dikekalkan untuk kerusi DUN ialah Datuk Azhar Ibrahim (Penaga), Datuk Roslan Saidin (Pinang Tunggal), Shahbudin Yahaya (Permatang Berangan), Datuk Jasmin Mohamed (Sungai Dua), Datuk Jahara Hamid (Telok Air Tawar), Datuk Ariff Shah Omar Shah (Seberang Jaya), Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (Penanti), Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah (Sungai Bakap), Syed Amerrudin Syed Ahmad (Bayan Lepas) dan Muhamad Farid Saad (Pulau Betong).

- Bernama