14/11/2007

Industri kimia perlu pentingkan alam sekitar

Industri kimia perlu pentingkan alam sekitar

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan peserta industri kimia perlu mengamalkan konsep pembangunan berhemah dalam membangunkan produk baru bagi memastikan ia tidak menjejaskan alam sekitar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, peserta industri juga perlu mengimbangi tiga perkara utama dalam pembangunan produk baru iaitu keuntungan, sosiopolitik dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Salah satu inisiatif yang boleh dilakukan oleh peserta industri kimia ialah mengutamakan sikap mengambil berat terhadap keselamatan, kesihatan orang ramai serta alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Majlis Industri Kimia ASEAN Ke-35 di sini, hari ini.

Najib juga mahukan peserta industri kimia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya lebih proaktif dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran yang terhasil daripada peraturan kimia baru Kesatuan Eropah (EU) yang dikenali sebagai REACH.

Ujar beliau, REACH yang merujuk kepada pendaftaran, penilaian dan pengesahan kimia yang berkuatkuasa mulai 1 Jun lepas di EU mengkehendaki industri, termasuk pengeluar, pengimport dan pengguna kimia menyediakan maklumat kepada orang ramai mengenai bahan kimia yang mereka hasilkan, diimport serta risiko terhadap penggunaannya.

“Walaupun peraturan baru EU ini ditumpukan kepada peserta industri EU tetapi para pengeksport bahan kimia dari Malaysia juga akan terlibat sama memandangkan banyak maklumat diperlukan oleh para pengimport EU bagi tujuan-tujuan pendaftaran dan pengesahan,” katanya.

Jelas Najib, industri kimia di Malaysia, terutamanya PKS, mesti lebih proaktif dalam berhadapan dengan pelaksanaan REACH di EU.

Industri kimia terus menjadi komponen penting sektor pembuatan Malaysia dengan sumbangan AS$35.9 bilion (RM119.8 bilion) daripada AS$127.6 bilion (RM425.9 bilion) bagi jualan keseluruhan dalam sektor pembuatan tahun lepas.

Dari segi saiz, industri kimia berada di tempat kedua selepas industri elektrik dan elektronik yang pada 2006 menjana jualan bernilai AS$52.4 bilion (RM174.9 bilion).

Semasa bercakap kepada pemberita kemudian, Najib berkata, Akta Pekerja Asing baru yang akan digubal bakal memberi tumpuan kepada tindakan undang-undang bukan sahaja terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) malah majikan yang mengambil mereka bekerja.

Beliau berkata, perkara paling penting yang diberi tumpuan dalam menggubal akta baru itu ialah tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang tidak kira sama ada PATI ataupun majikan.

‘‘Kerajaan melihat dalam akta sedia ada, tidak ada tindakan diambil terhadap majikan dan orang ramai serta pekerja asing anggap bahawa kita hanya menghukum PATI sahaja.

‘‘Sehubungan itu adalah wajar kita mengambil tindakan undang-undang ke atas kedua-dua pihak,’’ katanya.