06/08/2007

Jumlah remaja hidu gam semakin ramai

Jumlah remaja hidu gam semakin ramai

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Jumlah remaja dan kanak-kanak yang menghidu gam dikhuatiri meningkat menyamai bilangan penagih dadah jenis lain selagi tiada akta khusus untuk membendung gejala buruk itu.

Setiausaha Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Kamilia Ibrahim berkata, cadangan untuk mewujudkan akta dan undang-undang bagi mengkategorikan tabiat menghidu gam sebagai sama dengan dadah masih lagi dalam proses pertimbangan di Jabatan Peguam Negara.

“Pihak kami masih lagi menunggu laporan dari Jabatan Peguam Negara agar usaha mewujudkan akta ini boleh diluluskan dengan persetujuan pihak kerajaan.

“Lebih membimbangkan penghidu gam yang ditangkap hanya akan diberi kaunseling dan ini tidak menjamin mereka tidak akan melakukannya lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Karnival Masyarakat Sihat & Majlis Pelancaran Kempen Anti Hidu Gam Peringkat Kebangsaan 2007 di sini hari ini.

Kempen itu telah dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hakim Borhan.

Sementara itu, Abdul Hakim berkata, statistik menghidu gam yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan bagi bulan Januari sehingga Mac hanya satu kes sahaja dilaporkan.

“Ini adalah kerana, gam hanya diperuntukkan dalam Akta Racun 1952 dan ini menjadikan tiada peruntukkan undang- undang yang mengatakan menghidu gam adalah satu kesalahan serta membolehkan pihak polis melakukan tangkapan.

“Ketiadaan rekod tidak bermakna gejala ini tidak berlaku malah sebelum ini pihak media telah membangkitkan isu tentang permasalahan kanak-kanak di bandar yang ketagihan menghidu gam,” ujarnya.

Pada 17 Januari tahun ini, Utusan Malaysia mendedahkan sekumpulan remaja berusia antara 10 hingga 18 tahun terdiri daripada pelajar sekolah telah berkumpul untuk menghidu gam di kawasan terbuka di sebatang jalan raya berdekatan sebuah pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri di sini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerjasama semua pihak dalam memantau gejala ini sejak peringkat awal sebelum ia menular demi masa depan anak bangsa.