28/04/2007

PNB tambah pengambilan pelajar ke Kolej Ilmu

PNB tambah pengambilan pelajar ke Kolej Ilmu

KUANTAN 27 April – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) bercadang meningkatkan pengambilan pelajar di Kolej Ilmu, miliknya selepas bangunan baru kolej itu di Kota Seriemas dekat Nilai, Negeri Sembilan siap sepenuhnya tahun depan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, setakat ini, Kolej Ilmu yang ditubuhkan pada 1998 di Kuantan hanya mengambil kira-kira 40 pelajar setahun dan ia terhad kepada pelajar dari Pahang, Terengganu dan Kelantan.

‘‘PNB mengehadkan pengambilan pelajar kerana tidak mempunyai bangunan tetap, selain mahu melihat kemampuan sendiri mengendalikan kolej berkenaan terlebih dahulu,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, mereka yang terpilih memasuki kolej berkenaan adalah kalangan keluarga miskin yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

‘‘Di Kolej Ilmu mereka dihantar ke sekolah biasa tetapi PNB menyediakan asrama, pakaian, biasiswa dan kemudahan bas ke sekolah.

‘‘Pelajar terbabit juga diberi pendidikan tambahan untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan komputer.

‘‘Pengambilan ditumpukan kepada pelajar miskin untuk memberi mereka peluang mengubah kehidupan mereka kemudian hari,’’ katanya.

Beliau berkata, setakat ini PNB berpuas hati dengan prestasi Kolej Ilmu kerana pencapaian pelajarnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu menunjukkan mereka juga mampu bersaing.

Hamad Kama Piah berkata, daripada 31 pelajar yang menduduki PMR pada 2006, sebanyak 11 pelajar mendapat 8A, 7A (enam orang), 6A (lapan orang), 5A (tiga orang) dan bawah 5A (tiga orang).

Katanya, pelajar cemerlang Kolej Ilmu juga berpeluang mendapatkan biasiswa PNB dan Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI) untuk melanjutkan pendidikan di luar negara, yang jumlahnya dihadkan kepada 20 orang setahun.

‘‘Kita menghantar pelajar dalam jumlah yang terhad berdasarkan kemampuan PNB untuk mengambil mereka semula bekerja selepas tamat pengajian,’’ ujarnya.

Menurut beliau, PNB menghantar pelajarnya melanjutkan pelajaran di enam universiti terkemuka di dunia iaitu di Imperial College, Oxford, Cambridge, King College, London School Of Economy dan Cardiff.

Mereka mengambil kursus kejuruteraan, perakaunan, kewangan, perniagaan, sains komputer aktuari, undang-undang, ekonomi dan matematik, tambah beliau.

Katanya, pelajar ini kemudian akan dihantar untuk mengikuti latihan di syarikat pengurus dana Wellington di Amerika Syarikat dan Deutche Bank di Eropah.