17/04/2007

Parthiban calon BN pilihan raya kecil DUN Ijok

Parthiban calon BN pilihan raya kecil DUN Ijok

Oleh FAUZIAH AROF dan ABDUL YAZID ALIAS

IJOK 16 April – Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjung Karang, K. Parthiban, 38, hari ini diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Ijok pada 28 April ini.

Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pada majlis memperkenalkan calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Ijok di Dewan Harmoni di sini hari ini.

Pemilihan Parthiban itu sekali gus menyaksikan BN menunaikan janjinya kepada penduduk Ijok untuk meletakkan calon tempatan bertanding pada pilihan raya itu.

Parthiban yang merupakan bekas Pegawai Ko-Akademik Pejabat Pelajaran Kuala Selangor dipilih oleh Mohamad Khir sendiri yang kemudian mengemukakan namanya kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

‘‘Apa yang diluluskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini adalah calon yang terbaik yang dapat meneruskan tradisi parti iaitu berkhidmat tanpa mengira kaum.

‘‘Saya amat berterima kasih dengan Samy Vellu kerana menyokong cadangan saya mencalonkan Parthiban,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy, Speaker DUN Selangor, Tan Sri Onn Ismail dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Pilihan raya kecil DUN Ijok diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk K. Sivalingam di Chennai, India kerana sakit jantung pada 4 April lalu.

Parthiban yang dilahirkan di Raja Musa, Kuala Selangor juga merupakan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor dan Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Karang dari tahun 2003 sehingga sekarang.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ghandiji, Tanjung Karang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa, Tanjung Karang dan SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor.

Sebelum dilantik sebagai Pegawai Ko-Akademik, beliau merupakan penyelia sekolah Tamil di Pejabat Pelajaran Kuala Selangor.

Beliau turut menyandang jawatan utama dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sebagai Presiden Majlis Gabungan Persatuan-Persatuan Belia Daerah Kuala Selangor.

Beliau juga Presiden Kelab Bola Sepak Permatang; Pengerusi Persatuan Belia Hindu (HYO) Tanjung Karang dan Rukun Tetangga Raja Musa, Kuala Selangor dan Setiausaha Persatuan Pelajar Sri Sakti Kuala Selangor selain pernah menjadi Setiausaha Kelab Belia Tamil Kuala Selangor dari 1990 sehingga 2001.

Parthiban berkelulusan sarjana dalam bidang Pengurusan Pendidikan Universiti Malaya serta Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (B.Sc.(Hons)) dari universiti yang sama.

Sementara itu, Parthiban memberitahu, beliau akan berusaha untuk mengekalkan kedudukan BN di DUN Ijok dan meneruskan pembangunan yang dijanjikan oleh wakil rakyat sebelum ini.