05/03/2007

Air terjun Kampung Perlis bakal jadi produk pelancongan

Air terjun Kampung Perlis bakal jadi produk pelancongan

Oleh Nurul Huda Hassan

PULAU PINANG 4 Mac – Setelah hampir sebulan mendapat liputan akhbar sehingga menarik perhatian menteri Kabinet, air terjun di Kampung Perlis, Bayan Lepas di sini yang pernah menjadi tempat mandi-manda Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika zaman kecilnya, akan berubah wajah menjadi produk pelancongan di Pulau Pinang.

Sebagai langkah permulaan, kira-kira 100 penduduk kampung termasuk anggota Pergerakan Pemuda UMNO, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Jabatan Perhutanan negeri, polis dan bomba mengambil bahagian membersihkan air terjun itu secara bergotong-royong hari ini.

Bagi memastikan kawasan air terjun itu terus terpelihara, semua tenaga sukarela yang terlibat menjayakan gotong-royong hari ini sepakat mahu meneruskannya sekali lagi bulan depan.

Ahli Majlis MPPP, Azian Ariffin bersedia membantu merealisasikan hasrat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu dengan mengemukakan pelan perancangan kawasan air terjun itu kepada JPS dalam masa terdekat.

Menurutnya, pelan perancangan tersebut dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu dan MPPP telah mula merancang idea yang boleh dilakukan untuk menjadikan tempat itu lokasi pelancongan sebelum diserahkan kepada JPS.

‘‘Kita memang berhasrat untuk membangunkan tempat ini supaya ia dapat menarik minat orang ramai ke sini.

‘‘Perkara itu masih dalam perancangan MPPP, ia belum pun disampaikan kepada JPS. Yang penting tempat ini perlu dibersihkan terlebih dahulu supaya airnya jernih semula.

‘‘Gotong-royong seperti ini akan terus dijalankan untuk kerja-kerja pembersihan sejajar dengan usaha untuk melihat air terjun ini dikunjungi orang ramai seperti masa-masa lalu,” kata Azian ketika ditemui selepas aktiviti gotong-royong Air Terjun Kampung Perlis hari ini.

Pencemaran air terjun itu mula mendapat perhatian apabila muka depan Utusan Malaysia pada 8 Februari lalu melaporkan keadaan kolam takungan air terjun itu dipenuhi keladak simen dan pasir.

Laporan itu mendorong Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid meninjau kawasan berkenaan pada 22 Februari lalu.

Dalam lawatannya, Azmi berang kegagalan MPPP menguatkuasakan peraturan dengan mengabaikan kawasan berkenaan sehingga kawasan air terjun itu menjadi tempat buangan sisa simen dan pasir selain lokasinya yang terlalu hampir dengan projek perumahan.

Kolam tersebut yang sebelum ini dingin dan jernih, tercemar dengan kedalaman kolam takungannya hanya pada paras buku lali kanak-kanak. Warna airnya pula lebih pekat daripada teh susu.

Kawasan persekitaran juga kotor ekoran tindakan sebuah loji pembancuhan konkrit, Hanson Concrete (M) Sdn. Bhd. (Hanson) menjalankan operasi berhampiran air terjun berkenaan.

Keladak

Syarikat itu menyedut air dari situ untuk mencuci peralatan dan lori simen sebelum melepaskan semula air yang dipenuhi keladak simen ke aliran air terjun itu.

Perdana Menteri pernah mengimbau keseronokannya bermandi-manda di Air Terjun Kampung Perlis pada zaman kecilnya.

Walaupun MPPP mengeluarkan notis kepada Hanson mengarahkan syarikat itu menghentikan kegiatan mereka, namun syarikat itu meneruskan operasi termasuk membuang bahan buangan ke sungai berdekatan menyebabkan air terjun yang suatu ketika dahulu menjadi tarikan orang ramai untuk mandi-manda tidak lagi terurus.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Perlis, Abdul Hamid Mastan, 71, berharap air terjun di kampung tersebut akan kembali jernih.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap kerja-kerja pembersihan seumpama itu dapat diadakan secara lebih kerap bagi memastikan persekitaran kawasan air terjun itu sentiasa bersih dan tidak tercemar seperti sebelum ini.

‘‘Saya dan penduduk kampung berharap selepas gotong-royong ini, tempat ini akan pulih macam dulu dan dapat menarik minat orang ramai untuk berkelah.

‘‘Kami berharap ia dapat dijadikan salah satu produk pelancongan di negeri ini.

‘‘Sebelum ini penduduk kampung ada menganjurkan gotong-royong. Kami lakukan aktiviti ini untuk menaikkan semangat penduduk kampung supaya bersama-sama menjaga kawasan ini,” katanya.