21 Januari 2019
27/03/2004

Penggiliran jawatan KM Sabah dimansuhkan

Penggiliran jawatan KM Sabah dimansuhkan

KOTA KINABALU 27 Mac - Sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri Sabah di kalangan kaum-kaum utama di negeri ini bagi setiap dua tahun telah dimansuhkan.

Mulai sekarang Sabah akan mengguna pakai semula sistem sebelum ini bagi pelantikan Ketua Menteri, iaitu dari parti yang menguasai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Pemansuhan sistem yang telah diguna pakai selama 10 tahun itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya tengah hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, dengan pemansuhan sistem penggiliran itu, Sabah kini boleh menumpukan terhadap pelaksanaan agenda pembangunan.

"Saya berterima kasih kepada semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah kerana bersetuju bagi sistem ini dimansuhkan... kini kita boleh tumpukan perhatian kita dalam membawa pembangunan ke negeri ini dan rakyat," katanya pada sidang media di sini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengilhamkan sistem penggiliran itu ketika kemuncak kempen bagi pilihan raya negeri 1994.

Ia bagi membolehkan pemimpin dari tiga kaum utama iaitu bumiputera Islam, Cina dan bumiputera bukan Islam mengetuai kerajaan negeri secara bergilir-gilir bagi tempoh dua tahun.

Sistem unik itu dilaksanakan bagi mendapatkan kepercayaan dan keyakinan di kalangan kaum-kaum berkenaan, bahawa sesuatu kaum itu bersedia untuk berkongsi kuasa dengan kaum lain.

Ia juga bagi menghilangkan tanggapan bahawa hanya kaum tertentu mendapat manfaat apabila kerajaan tertentu berkuasa.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun lepas, terdapat pandangan di Sabah bahawa sistem itu tidak memberikan manfaat seperti yang diharapkan. Perbahasan berlanjutan dengan majoriti bersetuju ia dimansuhkan.

Pada akhir tahun lalu, Musa mengadakan perjumpaan secara individu dengan pemimpin-pemimpin parti komponen BN bagi mendapatkan maklum balas mereka berhubung masa depan sistem itu.

Ini berikutan kenyataan Abdullah pada tahun lalu bahawa BN Sabah perlu membuat keputusan mengenai apa yang mereka mahu lakukan dengan sistem itu.

Selepas perjumpaan itu, isu berkenaan tidak lagi diperkatakan sehingga pengumuman pemansuhan sistem itu dibuat oleh Abdullah hari ini.

Sistem itu menyaksikan pelantikan tujuh ketua menteri dalam tempoh 10 tahun iaitu Tun Sakaran Dandai, Datuk Salleh Tun Said (menggantikan Sakaran berikutan pelantikan Sakaran sebagai Yang Dipertua Negeri), Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Osu Sukam, Datuk Chong Kah Kiat dan Musa.

Pemimpin-pemimpin BN di negeri ini menyambut baik keputusan memansuhkan sistem itu.