21/03/2004

Abdullah, Endon mengundi di Sek Keb Permatang Bertam

Abdullah, Endon mengundi di Sek Keb Permatang Bertam

KEPALA BATAS 21 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Endon Mahmood tiba di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, di sini pada kira-kira pukul 9.40 pagi untuk mengundi.

Ketibaan beliau di pusat pengundian itu disambut oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Utara Datuk Abdul Ghani Ariffin.

Kedua-dua mereka kelihatan ceria ketika memasukkan kertas undi secara serentak ke dalam peti undi di situ.

Abdullah mendapat liputan media yang meluas termasuk media asing ketika tiba untuk mengundi.

Selepas mengundi, Abdullah dan isteri beramah mesra dengan pengundi-pengundi dan petugas pilihan raya yang berada di tempat itu sebelum meninjau pusat-pusat pengundian yang lain di Parlimen Kepala Batas.

Di PEKAN, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengundi di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

Yang turut mengundi di sekolah itu ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan ibu Najib, Tun Rahah Mohd Noh.

Ketibaan Najib disambut oleh Pemangku Pegawai Daerah Pekan Muhammad Ubai Dullah.

Selepas itu, Najib bersalaman dengan para pengundi di situ sebelum meninjau ke tempat-tampat pengundian di sekitar kawasan Pekan.

Di PULAU PINANG, Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang bertanding di DUN Tanjong Bunga, dan isteri, Puan Sri Chui Kah Peng mengundi di Sek Men Tanjong Bunga, Jalan Tan Jit Seng di sini pada kira-kira pukul 8.45 pagi.

Di Balik Pulau, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Hilmi Yahaya dan isterinya, Datin Jamilah Mohamed Zain mengundi di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau pada pukul 8.15 pagi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohd Sharif Omar yang mempertahan kerusi Parlimen Tasek Gelugor mengundi di Sek Men Agama Al-Irshad, Pokok Sena, manakala Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, di Sek Keb Penanti.

Di KANGAR, antara tokoh yang awal mengundi ialah Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Dr Haron Din yang mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Simpang Empat pada pukul 8.10 pagi dan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang pada 8.30 pagi.

Haron dan Shahidan adalah dua tokoh yang bersaing bagi kerusi DUN Tambun Tulang.

Di PERAK, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan calon Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Rafidah Aziz mengundi di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar.

Calon Parlimen Padang Rengas yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Padang Ampang, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang mempertahan kerusi Parlimen Sungai Siput buat kali kelapan, mengundi di Sekolah Menengah Methodist pada pukul 10.10 pagi bersama isterinya, Datin Indrani.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang dicabar oleh calon DAP, Nga Hock Cheh dalam usahanya mengekalkan kerusi Parlimen Beruas, mengundi di Sekolah Menengah Inggeris Methodist, Ayer Tawar.

Calon Barisan Nasional bagi Ipoh Timor, Thong Fah Chong yang dicabar oleh Pengerusi DAP Lim Kit Siang, mengundi di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Perempuan Perak bersama isterinya, Rosalina Mary Ooi.

Dua calon Parlimen Bagan Serai, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin dan Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang mengundi di Sekolah Kebangsaan Agama Azahar Jannah Simpang Empat, Semanggol.

Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Mohamad Salahuddin mengundi di Ibu Pejabat St John Ambulance, Jalan Laksamana Cheng Ho, sementara isterinya Toh Puan Norkiah di SRK Enche Buyong, Petra Jaya.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula mengundi di SRK Merpati Jepang, dekat sini bagi kawasan Parlimen Petra Jaya.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Seri Law Hieng Ding pula mengundi di Sekolah Menengah Bantuan (SMB) Kai Chung di Bintangor pada pukul 8.30 pagi bersama isterinya Datin Seri Ngui Soon Leng bagi kawasan Parlimen Sarikei.

Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Amar Leo Moggie yang tidak bertanding kali ini pula mengundi di Kanowit.

Di TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundi di Sekolah Kebangsaan Rusila di Marang. Beliau yang mempertahan kerusi DUN Ru Rendang dan Parlimen Marang, tiba di pusat pengundian itu pukul 8 pagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu, Datuk Idris Jusoh mengundi di Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih pukul 9.05 pagi.

Idris, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, tiba di pusat pengundian itu dengan diiringi oleh isteri Datin Che Kamariah Che Zakaria.

Di MUAR, Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noraini Abdul Rahman mengundi pada pukul 8.30 pagi di Sekolah Menengah Seri Muar.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar bersama isteri, Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin, mengundi pada pukul 9.15 pagi di Sek Keb Kota Jaya, Kota Tinggi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Paduka Prof Jamilah Ariffin bersama anak mereka Juwita Edora, 27, mengundi pada pukul 9.30 pagi di Sek Men Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati di Muar.

Di KOTA TINGGI, Menteri Belia dan Sukan Datuk Hishammuddin Tun Hussein, yang bertanding di kawasan parlimen baru Sembrong, diiringi isterinya, Datin Tengku Marsila Tengku Abdullah mengundi pada 10 pagi di Sekolah Kebangsaan Bandar Tenggara 1.

Yang turut mengundi ialah calon DUN Pasir Raja, Datuk Halimah Mohamed Sadique, calon BN Parlimen Tenggara, Datuk Dr Adham Baba dan calon DUN Panti, Datuk Badri Dasuki.

Di KOTA BAHRU, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed merupakan antara pemimpin yang tiba pada pukul 8 pagi untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti, Kedai Lalat dekat sini pada pukul 8.10 pagi.

Di SABAH, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengundi pada kira-kira pukul 11.30 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Manila, tidak jauh dari Sandakan.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah pula mengundi di SK Likas, di sini pada pukul 9 pagi.

Di KUALA LUMPUR, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjadi orang kedua terawal mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai, Jalan Chanderai, Bangsar pada pukul 8.09 pagi.

Kedua-dua calon bagi Seputih, calon DAP Teresa Kok Suh Sim, mengundi pada pukul 9.30 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Yarl di Jalan Awam Larat, manakala calon MCA Chin Yen Foo mengundi pada pukul 8.30 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sentosa di Jalan Kuchai Lama.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan isteri, Datin Seri Sharifah Hamidah Syed Hamid tiba di pusat pengundian, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Boon Hwa, Alor Janggus, di sini, pada 10.30 pagi ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak ketinggalan mengundi bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, pada pukul 9 pagi.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian, Datuk Abu Bakar Taib yang mempertahan kerusi Parlimen Langkawi, mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Padang Mat Sirat, pada pukul 10.50 pagi.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Razak pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, Kota Sarang Semut, pada pukul 9.15 pagi, bersama isterinya, Faiqah Sheikh Hamzah.

Di KULIM, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan isteri, Datin Paduka Suraya Mohamed Noh mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Jelutong, pada pukul 8.15 pagi.

Di REMBAU, Menteri Besar, Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad dan isteri, Puan Sri Hazizah Tumin mengundi di Sekolah Kebangsaan Linggi pada kira-kira jam 10.30 pagi.