21 Januari 2019
21/03/2004

<I>The Passion of The Christ</I> dedah pembunuhan Jesus - Yahudi Hollywood tercabar

The Passion of The Christ dedah pembunuhan Jesus - Yahudi Hollywood tercabar

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Antara gelombang yang menggoncang Hollywood ketika ini tidak lain wujud anti-Yahudi di kalangan pembikin filem. Medium filem menjadi pemangkin untuk menyuburkan elemen-elemen politik yang berbaur rasisme antara dua kelompok; Yahudi dan Kristian.

Hollywood tidak saja subur sebagai kilang yang mengeksport filem bernilai berbilion ringgit setahun malah menjadi saluran menyemarakkan sentimen rasisme dan agama. Filem terbaru arahan Mel Gibson, The Passion of The Christ yang mulai ditayangkan Februari lalu menjadi peledak kepada sentimen anti-Yahudi.

Ironiknya Hollywood yang dimonopoli oleh Yahudi. Antaranya pengarah popular Steven Spielberg, Ketua Studio Paramount, Jon Dolgen, Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Michael Eisner. Malah sejarah awal Hollywood diwujudkan oleh pendatang Yahudi dari Eropah Timur. Pelakon Marlon Brando juga pernah mendakwa bahawa Hollywood digerakkan oleh Yahudi.

Zaman awal Hollywood dicetuskan oleh pedagang Yahudi antaranya Sam Goldwyn, Harry Warner, Louis B. Mayer. Mereka mewujudkan rangkaian televisyen utama di AS antaranya CBS dan NBC. Hollywood yang digerakkan oleh Yahudi bukan rahsia lagi. Kerana itu Hollywood sangat berbangga apabila Steven Spielberg menghasilkan filem tentang kekejaman Hitler, Schindler's List.

Lalu apabila lahirnya sebuah filem yang ``dibaca'' ada elemen-elemen anti-Yahudi, ini sebenarnya satu tamparan kepada gergasi-gergasi Yahudi yang menguasai Hollywood. Mel Gibson juga sebahagian daripada warga Hollywood tetapi dia bukan Yahudi. Dia Roman Katolik.

Ada konspirasi mengatakan memang tujuan The Passion of The Christ untuk membelasah Yahudi. Inilah yang mencetuskan gelombang di dalam Hollywood. Tetapi kritikan daripada orang dalam Hollywood kepada Mel Gibson tidak secara terbuka. Bagaimanapun para ekstremis Yahudi secara terang-terang menganggap filem Mel Gibson sebagai sengaja mencetus kemarahan Yahudi.

Ada juga pendapat yang melihat kekejaman yang dipaparkan secara keterlaluan dalam The Passion of The Christ membuatkan dunia teringat kepada kekejaman Yahudi Israel terhadap Palestin. Filem ini memberi ruang yang luas untuk diinterpretasikan sekalipun Mel Gibson mendakwa ia adalah sejarah Jesus. Itu saja.

Semasa The Passion of The Christ ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) beberapa kelompok ekstremis Yahudi mengadakan tunjuk perasaan mengecam Mel Gibson. Antara sepanduk para penunjuk perasaan itu berbunyi, The Passion is a lethal weapon against the Jews.

Yahudi melihat The Passion of The Christ sebagai Hitler kedua yang membunuh lebih 6 juta Yahudi ketika Perang Dunia Pertama. Kekejaman Hitler dan Nazi ini dirakamkan secara kreatif oleh Spielberg dalam filem Schindler's List. Kebimbangan sekali gus kemarahan Yahudi terhadap Mel Gibson memuncak. Sementara media-media utama seperti majalah Time misalnya menjadikan filem ini sebagai fokus yang menyelongkar apa di sebalik paparan adegan ganas filem ini.

Ada beberapa pihak pula mengambil kesempatan ini untuk melaga-lagakan dua tokoh filem, Mel Gibson dan Spielberg. Media semacam memaksa Spielberg yang berjuang untuk bangsa Yahudinya memberikan komen terhadap The Passion of The Christ. Tetapi Spielberg pintar kerana menolak daripada memberikan komen dengan alasan belum menonton filem tersebut.

``Kalau saya sudah menonton, orang pertama yang akan saya bisikkan komen saya adalah Mel Gibson,'' demikian jawapan Spielberg yang sangat diplomatik kepada majalah Newsweek.

Puak ekstremis Yahudi mendakwa filem ini dengan sengaja dan berniat jahat memaparkan kematian Jesus disebabkan orang Yahudi.

Kelahiran filem seumpama Schindler's List dan The Passion of The Christ di Hollywood membuktikan filem bukan sekadar produk untuk AS mengaut keuntungan. Malah filem menjadi alat untuk pembikin filem menzahirkan idealisme dan perjuangan mereka terhadap bangsa dan agama. Ini tentunya lebih besar bagi mereka daripada mengaut keuntungan dan membudayakan dunia dengan ``budaya Hollywood''.

Hollywood kini sudah ada wira yang memperjuangkan bangsa dan agama mereka. Spielberg selain pembikin filem dia adalah seorang Yahudi yang sangat dendam dengan Hitler. Keyahudian Spielberg sangat ketara apabila mewujudkan Shoah Foundation yang menjadi tempat merujuk kes-kes holocaust zaman kekejaman Nazi dan Hitler.

Malah Spielberg pernah berkata, impiannya yang terlalu besar dalam bidang perfileman ialah memperjuangkan Yahudi yang menjadi mangsa kekejaman Hitler. Sementara Mel Gibson pula seorang yang menganut Roman Katolik tetapi hingga setakat ini tidak berani secara terang-terangan sebagai anti-Yahudi.

Mel Gibson selalu mengelak apabila filemnya dikaitkan sebagai anti-Yahudi. Malah dia enggan memberikan kenyataan yang meyakinkan bahawa filem itu hanya merakamkan 12 jam terakhir hayat Jesus sebelum disalibkan.

Tanpa diduga filem ini mencetuskan ketegangan dan sekali gus membimbangkan Mel Gibson yang membuat pelaburan sendiri sebanyak AS$25 juta. Hingga Khamis lalu filem ini mencatatkan kutipan AS$264 juta. Banyak yang tertanya-tanya, adakah sikap mengelak daripada dikaitkan dengan anti-Yahudi kerana dia sememangnya bukan anti-Yahudi atau takut filem ini kecundang di pasaran?

Mel Gibson dikenali sebagai seorang yang ada prinsip dan patriotik. Lihat saja bagaimana cara dia menghasilkan filem Braveheart berlatarkan kurun ke-13 yang memaparkan wira Scott, William Wallace.

Sementara bagi penonton biasa pula The Passion of The Christ sebagai mengulangi adegan ganas yang keterlaluan dalam The Natural Born Killer arahan Oliver Stone. Ada beberapa pengkritik awal-awal lagi memberikan amaran bahawa filem ini bukan saja tidak sesuai untuk kanak-kanak malah orang dewasa kerana kengeriannya.

Banyak yang mempersoalkan apakah untuk menggambarkan saat-saat akhir hayat Jesus, Mel Gibson perlu memaparkan adegan ganas yang keterlaluan? Tetapi Mel Gibson tidak pernah menjawab secara meyakinkan soalan begini. Dia tetap berkata, semuanya keperluan sinematik. Tetapi tidak pernah berkata keganasan itu sebagai menunjukkan sikap Yahudi sebenarnya.

Filem yang dilakonkan oleh Jim Caviezel, Mala Morgenstern, Monica Bellucci dan Matta Sbragic ini gagal mendapat pengedar pada tahun lalu dan ini sangat mengecewakan Mel Gibson. Mel Gibson difahamkan mendapat sokongan kewangan daripada pihak Roman Katolik berfahaman tradisional.

Tetapi kita di negara ini tidak berpeluang untuk menonton filem ini kerana dipercayai ada pihak yang kurang yakin kepada kematangan penonton tempatan. Lalu The Passion of The Christ pasti dilarang masuk kerana pertama Yahudi dan kedua Kristian. Tapi kita lupa, hampir semua filem Hollywood yang ditayangkan di negara ini adalah ideologi Yahudi.