21/03/2004

Pagoh, Bukit Pasir, Panchor terus membangun

Pagoh, Bukit Pasir, Panchor terus membangun

TIGA buah pekan kecil, Pagoh, Bukit Pasir dan Panchor di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak, Muar, yang mendapat nafas baru apabila jambatan Gersik-Panchor siap sedekad lalu, kini semakin pusat membangun.

Pekan Pagoh misalnya, kian terserlah apabila beberapa projek utama seperti Kompleks Sukan Negara dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kesemua menelan belanja lebih RM100 juta dibina di kawasan itu.

Kehadiran dua projek besar itu bukan sahaja akan menjadi mercu tanda Pagoh, malah telah menjana ekonomi setempat.

Antara projek perumahan terbesar di pekan itu ialah, Pagoh Jaya, seluas lebih kurang 80 hektar terletak bersebelahan dengan kompleks IKBN di Jalan Muar.

Fasa pertama projek yang merupakan bandar baru Pagoh itu mengandungi rumah kos rendah, sederhana murah dan rumah kedai.

Ia yang terletak di kawasan agak strategik itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti perhentian bas berharga RM500,000 tahun ini, menjadikan ia satu-satunya kawasan perumahan moden di pekan tersebut.

Dari segi kemudahan asas, Pagoh yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Muar (MPM), turut menerima peruntukkan besar sejak kebelakangan ini.

Antaranya termasuklah pembinaan gerai perniagaan di hadapan pasar awam baru di Jalan Muar yang menelan belanja RM1.2 juta bagi menempatkan gerai-gerai yang berselerak di sekitar kawasan berkenaan.

Bagi mengatasi masalah saliran yang menjadi punca banjir kilat, MPM telah membina parit konkrit di pekan itu yang menelan belanja lebih RM200,000 tahun lalu.

Di Pekan Panchor pula, salah sebuah pekan tertua di daerah ini yang terletak di tebing Sungai Muar, tidak terkecuali daripada menerima kesan perubahan pesat.

Malah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah bersetuju untuk membangunkan 300 unit rumah sederhana murah di kawasan seluas lima hektar dekat pekan itu.

Pekan tersebut yang pernah mencapai zaman kegemilangannya pada awal tahun 50-an pasti akan kembali menyerlah selepas semua projek yang dirancang itu siap.

Dari segi kemudahan asas, pekan itu juga tidak ketinggalan daripada mendapat peruntukkan seperti menurap semula jalan, pembinaan pasar awam baru dan dan lain-lain projek kecil.

Satu lagi pekan kawasan DUN Jorak yang pesat membangun ialah, Pekan Bukit Pasir yang terletak 11 kilometer dari bandar Muar.

Pekan ini yang dahulunya digelar pekan koboi kerana ia hanya terdiri daripada deretan kedai papan kini telah berubah kepada sebuah pekan moden.

MPM turut membina pasar awam baru berharga RM500,000 dan sistem perparitan untuk memastikan kawasan berkenaan tidak lagi dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar, jalan Muar-Pagoh yang merentasi pekan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melebarkan jalan.

Sebuah lampu isyarat juga dipasang di persimpangan Jalan Bukit Pasir-Jalan Jorak di pekan berkenaan tahun lalu untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas di situ.