21 Januari 2019
19/03/2004

Shahrizat lebih yakin pendekatan bersemuka

Shahrizat lebih yakin pendekatan bersemuka

MUKADIMAH

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merupakan salah seorang daripada dua calon wanita Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan. Seorang lagi ialah Tan Chew Mooi (MCA), di Bukit Bintang.

Shahrizat, Naib Ketua Wanita UMNO, telah dua kali bertanding dan menang dalam pilihan raya umum di Lembah Pantai. Kali ini kali ketiga beliau bertanding di situ dan seperti pada 1999 beliau ditentang oleh calon Parti Keadilan Nasional.

Pada pilihan raya 1999, Shahrizat mengalahkan Zainur Zakaria. Kini beliau ditentang oleh bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr. Sanusi Osman yang bertanding atas tiket Keadilan.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, FAUZIAH AROF dengan tokoh wanita BN itu.

Soalan: Apa komen Datuk Seri apabila diberi tanggungjawab lagi mewakili BN di Lembah Pantai?

Shahrizat: Saya ikut keputusan pucuk pimpinan. Saya rasa bersyukur, sudah jodoh saya dengan Lembah Pantai.

Bagaimana Datuk Seri melihat parti Keadilan di Lembah Pantai yang mendakwa hampir-hampir mengalahkan Datuk Seri pada pilihan raya lalu?

Shahrizat: Pada pilihan raya 1999, saya akui BN menghadapi cabaran yang getir di Lembah Pantai.

Bagaimanapun, ia bukan kerana BN tidak menangani segala isu pembangunan pada ketika itu tetapi Keadilan yang terlalu mengasak isu `individu' tertentu.

Tetapi Alhamdulilah BN menang juga. Kini sudah lebih empat tahun berlalu, rakyat sudah sedar bahawa mereka cuma diperalatkan kerana perjuangan peribadi.

Rakyat pun tahu, siapa yang membantu mereka selama ini dari soal pembangunan sehingga soal kebajikan, semuanya BN.

Rakyat juga hairan ke mana Keadilan selama empat tahun ini pergi. Sekarang baru hendak tunjuk muka.

Adakah Keadilan mempunyai isu di Lembah Pantai kali ini?

Shahrizat: Keadilan sudah tidak mempunyai isu lagi. Jika mereka kata kita tidak menghiraukan pembangunan kawasan, 90 peratus projek pembangunan telah dilaksanakan semasa saya menjadi wakil rakyat selama dua penggal.

Keadilan pula buat apa? Mereka hanya menjadi penghasut rakyat supaya tidak menyokong BN pada pilihan raya, selepas itu hilang semula.

Dr. Sanusi telah masuk empat kali bertanding dalam pilihan raya. Apa pendapat Datuk Seri?

Shahrizat: Saya tidak perlu bagi ceramah panjang-panjang. Saya lebih percaya pendekatan bersemuka dengan rakyat.

Saya tidak segan mengetuk pintu setiap rumah di Lembah Pantai untuk mengetahui apa masalah mereka. Saya lebih suka cara itu. Melalui cara itu, kita rasa dekat dengan mereka.

Apa yang membuatkan Datuk Seri dilihat mempunyai kekuatan tersendiri untuk terus diberi kepercayaan di Lembah Pantai.

Shahrizat: Semuanya kerana rakyat dan BN. Ingin jadi wakil rakyat, kita perlu kuat bukan sahaja te-naga tetapi kuat pemikiran dan se-mangat.

Apa senjata BN supaya rakyat menolak Keadilan?

Shahrizat: BN tidak mahu `bising-bising' untuk janji buat itu dan ini kerana kita telah melaksanakannya.

Bagi saya, pengundi dapat menilai semuanya. Biar kita lawan dengan profesional.

Saya tidak mahu menang kerana faktor teknikal. Biar pengundi memutuskannya.

Apakah nasihat Datuk Seri kepada pengundi-pengundi Lembah Pantai.

Shahrizat: Buat pemilihan yang bijak. Jangan kita undi kerana dijanjikan macam-macam hanya dalam tempoh kempen pilihan raya tetapi selepas itu terpaksa menanggung kesannya selama lima tahun.