21 Januari 2019
10/03/2004

MIC umum senarai calon, Subramaniam digugur

MIC umum senarai calon, Subramaniam digugur

KUALA LUMPUR 10 Mac - Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam digugurkan daripada senarai calon MIC yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-11 ini.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu semasa mengumumkan senarai calon parti itu hari ini berkata, nama-nama yang dicadangkan telah mendapat persetujuan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi.

"Saya telah jelaskan kepada Perdana Menteri mengenai pindaan calon dan juga muka-muka baru," katanya pada persidangan media di pejabatnya di Kementerian Kerja Raya di sini.

Pada pilihan raya kali ini, MIC akan bertanding di sembilan kawasan Parlimen termasuk dua kawasan Parlimen baru dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk empat DUN baru.

Samy Vellu sendiri akan mempertahan kerusi Parlimen Sungai Siput dan Naib Presiden MIC, Datuk G. Palanivel akan mempertahan kerusi Parlimen, Hulu Selangor.

Dua lagi Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam dan Tan Sri K.S. Nijhar akan mempertahan kerusi masing-masing - Parlimen Tapah bagi (Veerasingam) dan Parlimen Subang (Nijhar).

Setiausaha Agung MIC, S. Sothinathan akan mempertahan kawasan Parlimen Teluk Kemang dan anggota Jawatakuasa Kerja Pusat, P. Komala Devi akan mempertahan kawasan Parlimen Kapar.

Samy Vellu berkata, bagi dua kawasan Parlimen baru yang diperuntukkan kepada parti itu pada pilihan raya umum ini, MIC meletakkan dua muka baru Ketua Pemuda, S. Vickneswaran di kawasan Parlimen Kota Raja, Selangor dan S.K. Devamany di Parlimen Cameron Highlands.

Tempat Subramaniam di Parlimen Segamat juga akan digantikan dengan muka baru, Timbalan Pengerusi MIC Melaka, Dr S. Subramaniam.

Sementara itu, bagi kawasan DUN, Samy Vellu mengekalkan 12 penyandang sedia ada dan hanya dua digugurkan iaitu K. Munusamy bagi DUN Pasir Panjang, Perak dan E.M. Yohebel bagi DUN Si Rusa Negeri Sembilan.

Samy Vellu berkata, bagi kawasan DUN Prai, ia akan dipertahan oleh penyandangnya yang juga anggota exco kerajaan Pulau Pinang Datuk K. Rajapathy, manakala kawasan baru Bagan Dalam, di negeri itu, MIC meletakkan seorang peguam P. Subbaiyah.

Di Kedah, anggota exco negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah, Datuk V. Saravanan akan mempertahan kerusi Bukit Selambau, manakala di Lunas MIC meletakkan muka baru S. Ganesan, seorang peguam. Calon MIC tewas kepada parti Keadilan bagi pilihan raya kecil Lunas pada 2000.

Bagi kerusi DUN Sabai (Pahang), ia akan dipertahan oleh Pengerusi MIC Pahang, M. Davandran.

Di Negeri Sembilan, parti itu mencalonkan Timbalan Pengerusi MIC negeri, Dr L. Krisnan di Jeram Padang, manakala DUN Port Dickson yang merupakan kerusi baru, akan ditandingi oleh Pengerusi MIC negeri Datuk T. Rajagopalu.

Sementara itu, di Perak, kerusi Hutan Melintang akan ditandingi oleh anggota exco kerajaan negeri dan Pengerusi MIC Perak, Datuk G. Rajoo.

Di DUN Behrang, MIC meletakkan R. Appalanaidu dan di Pasir Panjang, bekas guru besar M. Ramachandran dicalonkan sebagai muka baru.

Samy Vellu berkata, bagi DUN Sungkai, penyandang R. Ganesan akan mempertahan kerusi itu.

Di Selangor, anggota exco Selangor, Datuk K. Sivalingam akan mempertahan kerusi Ijok, manakala di Batu Caves, MIC meletakkan V. Jagarasah yang kini merupakan ADUN Sungai Tua.

Di negeri yang sama, kawasan Sri Andalas akan ditandingi Kamala Ganapathy yang kini merupakan ADUN Kota Raja.

Sementara itu, di Asahan, anggota exco negeri Melaka, Datuk R. Raghavan akan mempertahan kerusi itu.

Di Johor, bagi DUN baru Kahang, MIC meletakkan Ketua Pemuda MIC Johor, peguam S. Ramish, DUN Gambir calonnya ialah M. Asojan dan bagi Permas, anggota exco kerajaan negeri, Datuk K.S. Balakrisnan menjadi calon dan beliau merupakan ADUN Pasir Gudang.

Manakala, S. Krisnasamy akan mempertahan DUN Tenggaroh. - Bernama