05/03/2004

Kepala Batas pemangkin pembangunan utara tanah air

Kepala Batas pemangkin pembangunan utara tanah air

PULAU PINANG - Setiap kali turun padang mengunjungi kawasan Parlimen Kepala Batas dalam rangka lawatan kerja ke negeri ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak jemu-jemu mengutarakan tekadnya untuk menyeimbangkan pembangunan antara bandar dan luar bandar di negara ini.

Malah pernah Perdana Menteri dalam satu majlis di kawasannya tahun lepas secara berseloroh tetapi dalam nada serius mahu Seberang Perai khususnya Kepala Batas menjadi saingan positif kepada Georgetown, yang menjadi teraju kemajuan Pulau Pinang ketika ini.

Meskipun Abdullah tidak menggariskan satu persatu strateginya untuk Seberang Perai namun berdasarkan kemudahan prasarana dan perancangan yang sedang dibuat ketika ini, Kepala Batas diyakini mampu menjadi pemangkin kemajuan bukan sahaja Pulau Pinang malah meliputi negeri-negeri utara tanah air.

Dulu Kepala Batas lebih dikenali sebagai `pekan koboi'. Jika ada pun premis atau kedai-kedai kecil pada lewat 1980-an hingga pertengahan 1990-an, ia hanya boleh dibilang dengan jari.

Kalau dibuka waktu operasi perniagaan, paling lama pun boleh bertahan setakat pukul 11 malam. Kepala Batas kemudian kembali lengang dan sunyi.

Masa merubah segalanya. Jika sebelum ini sewa satu ruang niaga paling mahal mencatat RM600, kini ia melambung sehingga ada mencecah RM2,000 sebulan.

Arus pembangunan menderu melimpahi Kepala Batas terutama pada lewat 1990-an. Di bawah teraju Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, pekan koboi bertukar menjadi pusat pertumbuhan bandar baru.

Bukan sahaja klinik 24 jam beroperasi di sana sini malahan sepanjang Jalan Badawi dan Jalan Bertam, kedai nasi kandar turut beroperasi dalam masa serupa. Kesibukan Jalan Bertam turut bertukar rupa.

Jika dulu, tidak sukar menyeberanginya kini `tersergam' lampu isyarat bagi memantau kesesakan. Menceritakan hal itu, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Datuk Abdul Ghani Ariffin berkata, gambaran Kepala Batas dulu dengan sekarang begitu luar biasa.

``Pekan koboi adalah sedikit kisah silam namun realitinya sekarang jauh berkembang pesat,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Abdul Ghani, kepesatan Kepala Batas sekarang adalah hasil rupa bentuk pembangunan yang dicorak serta diingini oleh Abdullah.

Perdana Menteri mahukan Kepala Batas meningkat maju tanpa mengorbankan pembangunan di luar bandarnya. Abdullah juga mahu seluruh warga Pulau Pinang bersiap sedia menghadapi pembangunannya yang bergerak pantas.

Warga Pulau Pinang terutama Kepala Batas mesti mempunyai pemikiran yang komited selaras milenium baru.

``Itu adalah wawasan yang digariskan oleh Abdullah sebab beliau mahu semua pembangunan yang berlaku di Kepala Batas ini melibatkan keperluan dan kepentingan penduduknya,'' kata Abdul Ghani.

Ironinya, Kepala Batas bakal menjadi pusat pertumbuhan beridentitikan `Mini Putrajaya' apabila semua kemudahan dan agensi kerajaan yang kini bertempat di Butterworth berpindah sepenuhnya ke situ.

Ini diperkukuhkan lagi dengan siapnya Bangunan Persekutuan yang kini sedang dalam pembinaan.

Malah bukan itu sahaja. Kepala Batas akan memiliki taman-taman perumahan yang besar selain projek-projek pembangunan lain seperti sekolah, taman dan sebagainya bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Pusat pertumbuhan baru itu dibina berhampiran pekan lama Kepala Batas ekoran banyak pengambilan tanah untuk merealisasikan projek tersebut.

Menurut Abdul Ghani, Abdullah mahu mengubah Kepala Batas kepada kawasan yang mampu bersaing dengan tempat-tempat lain di negara ini.

``Bagaimanapun, saya sentiasa berpegang kepada nasihat beliau supaya menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan dan alam sekitar dalam setiap perancangan pembangunan baru di sini.

``Beliau tidak mahu pembangunan di situ dipenuhi dengan `hutan batu' dan tidak mewujudkan persekitaran yang sihat kepada penduduk Kepala Batas,'' katanya.

Beliau menambah, beberapa projek untuk manfaat rakyat kebanyakannya telah siap. Antaranya Hospital Kepala Batas yang siap sepenuhnya awal tahun ini dan telah memulakan operasinya secara berperingkat. Hospital baru itu menelan belanja sebanyak RM100 juta dengan mempunyai lebih daripada 100 buah katil.

Kerajaan kini, menurut Abdul Ghani, sedang dalam proses mengambil alih tanah seluas 52 hektar berhampiran pejabat daerah untuk dibina Bangunan Persekutuan bagi menempatkan agensi-agensi kerajaan yang kini berselerakan di Butterworth.

``Bangunan tersebut yang dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM14.5 juta akan memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan,'' ujarnya.

Tidak lengkap pertumbuhan bandar baru Kepala Batas jika tidak disertai projek perumahan.

Oleh itu, menurut beliau, beberapa projek perumahan sedang dan akan dilaksanakan di situ bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Antara projek perumahan yang kini dalam pembinaan ialah di kawasan Bandar Putra Bertam.

Kawasan itu bakal menempatkan kira-kira 3,000 keluarga, manakala di Bertam Selatan pula mampu menampung kira-kira 2,000 keluarga.

Jelas Abdul Ghani, pihaknya juga akan membangunkan sebuah taman rekreasi yang dikenali sebagai Taman Wawasan Kepala Batas seluas 40 hektar sebagai tempat untuk orang ramai beriadah bersama keluarga pada masa lapang dan cuti hujung minggu.

Sebuah dewan tiga tingkat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk beberapa bilik seminar dan mesyuarat serta perpustakaan telah siap dibina dua tahun lalu bersebelahan bangunan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara.

Dewan yang dikenali sebagai `Dewan Milenium' itu menelan perbelanjaan sebanyak RM25 juta adalah yang terbesar di utara tanah air selepas Dewan Wawasan di Jitra, Kedah.

Satu projek mega bernilai RM350 juta turut akan dibina untuk rancangan tebatan banjir Sungai Muda yang bersempadan dengan Kedah. Rancangan tebatan itu adalah dalam projek Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) bertujuan menghalang kejadian banjir akibat limpahan air di sungai tersebut apabila hujan lebat.

Begitu juga dalam bidang pendidikan, Kepala Batas akan memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan melalui pewujudan `Taman Pendidikan' di kawasan tersebut.

``Di bawah konsep ini, pelbagai institusi pendidikan dibina di situ, antaranya Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Pertanian.

``Banyak lagi institusi pendidikan akan dibina di daerah ini dalam RMK-8, antaranya, Institut Latihan Perindustrian Bertam yang menelan perbelanjaan RM237 juta, Maktab Rendah Sains Mara (RM48 juta), sekolah menengah berasrama penuh pelbagai aliran dan sebagainya,'' jelas Abdul Ghani.

Di samping itu, beberapa projek lain turut dirancang dalam RMK-8 di Kepala Batas termasuk pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat yang melibatkan kor sebanyak RM11.5 juta, Ibu Pejabat Polis Daerah SPU (RM35 juta) dan Perpustakaan Daerah (RM1 juta).

Selain itu, Parlimen Kepala Batas turut menerima peruntukan projek kecil sepanjang tahun 1996 hingga 2000 dengan jumlah projek sebanyak 1,420 bernilai kira-kira RM21.9 juta.