18/02/2004

Mazuin, Pengiran Sufri sah bercerai

Mazuin, Pengiran Sufri sah bercerai

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Adinda Sultan Brunei, Pengiran Muda Sufri Bolkiah telah bercerai dengan isterinya, Pengiran Bini Mazuin Hamzah akhir tahun lepas, setelah 17 tahun hidup bersama.

Perceraian bekas pemain drum dan penyanyi popular kumpulan Quinnary M itu telah disahkan oleh jurucakap Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam di sini dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

``Berita perceraian tersebut adalah benar dan mereka sekarang dengan haluan masing-masing,'' jelas jurucakap itu.

Jurucakap itu membuat kenyataan berkenaan sebagai mengulas pojok Sejenak Bersama Huzz dalam Mingguan Malaysia pada Ahad lalu bertajuk Mazuin Bercerai?

Menurut jurucakap suruhanjaya itu, Pengiran Sufri menganggap berita perceraiannya dengan bekas penyanyi kumpulan Quinnary M itu sebagai perkara yang cukup peribadi.

``Perkara ini adalah soal peribadi dan tidak semestinya kerajaan Brunei Darussalam mengumumkan kepada peminat atau wartawan mengenai perceraian ini.

``Sekarang bekas isteri Pengiran Sufri adalah dikenali sebagai Hajah Mazuin binti Hamzah sebagaimana disiarkan di akhbar rasmi Pelita Brunei 24 Disember 2003 lalu,'' kata kenyataan itu.

Sufri, adinda kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dan Mazuin melangsungkan perkahwinan dalam suasana gilang-gemilang di Istana Brunei pada 11 Disember 1987 selepas enam bulan berkenalan.

Pasangan itu memperoleh cahaya mata pertama, Pengiran Anak Ajeerah Firdausul Bolkiah pada 7 September 1988.

Berita mengenai perceraian pasangan ini mula tersebar sejak awal tahun lalu, bagaimanapun tiada sebarang pengesahan daripada kedua-dua pihak.

Sementara itu menurut sumber, Mazuin masih menetap di Brunei.