25/01/2004

Cabaran industri kereta, beras -- Malaysia masih jauh untuk memenuhi komitmen terhadap AFTA

Cabaran industri kereta, beras -- Malaysia masih jauh untuk memenuhi komitmen terhadap AFTA

Oleh Mohd. Haflah Piei


KEPADA penulis, pengumuman tentang kadar tarif dan duti eksais kereta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini adalah tidak memeranjatkan dan sememangnya telah diduga. Walaupun kesannya ke atas harga dan permintaan terhadap kereta masih belum pasti tetapi umumnya harga kereta tidak banyak akan berubah, tidak turun malah berkemungkinan naik. Mengapa ini berlaku? Perkara ini juga telah dibincangkan oleh penulis dalam rencana yang tersiar dalam Mingguan Malaysia pada 8 Disember 2002, lebih setahun dahulu bertajuk Kenapakah harga kereta tidak turun selepas AFTA?

Rencana ini tidak berhajat untuk mengulas tentang kesan perubahan kadar tarif dan duti eksais kereta tersebut ke atas industri kereta tempatan khasnya ke atas harga kereta. Ini telah banyak diperkatakan.

Tujuan rencana ini ialah pertama; untuk menilai sejauh mana perubahan tersebut memenuhi komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Jika ia sudah memenuhi komitmen Malaysia, apakah reaksi lain-lain negara ASEAN terhadap perubahan tersebut. Jika ia belum lagi memenuhi komitmen AFTA, bagaimanakah program dan strategi yang akan diambil selanjutnya?

Kedua; apakah iktibar yang boleh dijadikan panduan bagi keluaran-keluaran yang lain yang masih belum diliputi di bawah AFTA termasuk padi, beras dan keluaran berasaskan beras yang dikategorikan sebagai keluaran pertanian yang paling sensitif yang perlu dimasukkan ke dalam Skim Tarif Keutamaan Seragam Berkesan ASEAN (Common Preferential Effective Tariff, CEPT) pada 2005 dan selewat-lewatnya pada 2010.

Sejauh manakah perubahan tarif dan duti eksais kereta memenuhi komitmen Malaysia terhadap AFTA?

Mengikut perjanjian CEPT/AFTA semua tarif intra-ASEAN iaitu tarif yang dikenakan ke atas perdagangan intra-ASEAN perlu dikurangkan kepada di antara kosong peratus ke lima peratus selewat-lewatnya pada tahun 2008 bagi enam negara asal ASEAN termasuk Malaysia. Tarikh pelaksanaan ini telah dipercepatkan lagi kepada tahun 2003 yang lepas.

Namun, Malaysia telah diberikan kelonggaran untuk menangguhkan kemasukan sebanyak 218 jenis keluaran kereta serta alat dan bahagian kereta ke dalam pelaksanaan AFTA sehingga tahun 2005. Mulai tahun tersebut Malaysia perlu memotong semua tarif ke atas import kereta secara berperingkat-peringkat kepada di antara kosong ke lima peratus selewat-lewatnya pada 2008. Malah mengikut persetujuan terkini, semua tarif CEPT perlu dihapuskan terus (tarif kosong).

Di samping persetujuan tersebut, semua negara ASEAN perlu menghapus semua halangan bukan tarif (non-tariff barriers, NTBs) ke atas perdagangan intra-ASEAN. Halangan bukan tarif ini termasuklah di antaranya sekatan kuota, perlesenan import, subsidi dan sebagainya.

Dari segi kadar tarif CEPT (tarif ke atas kereta ASEAN) ia telah dikurangkan daripada di antara 140-300 peratus bagi kereta dipasang siap sepenuhnya (completely built unit, CBU) kepada di antara 70-130 peratus. Bagi kereta yang belum dipasang (completely knocked-down unit, CKD) ia telah dikurangkan daripada 140-300 peratus kepada 80-200 peratus.

Spekulasi

Melihat kepada perubahan di atas, Malaysia masih lagi jauh untuk memenuhi komitmennya kepada AFTA yang memerlukan Malaysia mengurangkan tarif CEPTnya kepada 0-5 peratus. Pemotongan tarif ini semestinya akan diteruskan lagi selepas keluaran kereta diliputi dalam CEPT pada tahun hadapan secara berperingkat-peringkat sehinggalah ia mencapai kadar 0-5 peratus menjelang tahun 2008. Bagaimanakah jadual pemotongan tarif ini nanti? Ia belum ditentukan lagi. Sudah pasti ia akan menjadi bahan spekulasi tahunan serta menjadi sumber ketidakpastian kepada industri kereta domestik. Keadaan ini akan memberi kesan yang negatif kepada industri kereta domestik seperti yang berlaku beberapa bulan sebelum pengumuman kadar tarif baru yang lepas.

Untuk mengelakkan keadaan ketidakpastian ini berulang setiap kali pemotongan tarif dijangka dilakukan dan juga untuk memudahkan perancangan semua pihak yang terlibat; pengeluar, pemasang, pengedar, dan juga para pembeli, kerajaan perlu menentukan serta mengumumkan jadual pemotongan tersebut seawal yang boleh dan berpegang teguh tanpa berganjak melaksanakan jadual tersebut. Buat masa ini, jadual tersebut belum digubal, mungkin untuk membolehkan kerajaan menilai dahulu kesan kadar baru tarif dan duti eksais kereta yang baru diumumkan tempoh hari, terutama kesan ke atas perusahaan kereta nasional negara, Proton, Produa dan sebagainya.

Apakah kemungkinan reaksi negara-negara ASEAN yang lain tentang perubahan kadar tarif dan duti eksais kereta ini?

Dari segi tarif, walaupun kadar tarif telah dikurangkan lebih kurang 50 peratus daripada kadar tarif asal, ia dianggap kurang daripada jangkaan lain-lain negara ASEAN yang menjangkakan potongan yang lebih besar. Mungkin mereka mempersoalkan bagaimanakah tarif yang masih lagi tinggi di antara 70-130 peratus bagi kereta CBU dan 80-200 peratus bagi kereta CKD dapat dan mampu dikurangkan kepada 0-5 peratus dalam masa 3-4 tahun lagi?

Negara-negara ASEAN yang lain juga akan mempersoalkan langkah kerajaan untuk hampir-hampir mengimbangi potongan ke atas tarif dengan peningkatan dalam duti eksais bagi kereta CKD serta melaksanakan duti eksais bagi CBU sehinggakan kadar cukai bersihnya (tarif ditambah duti eksais) masih lagi pada kadar yang asal.

Isu yang dijangka paling kontroversial bukan setakat pengenaan duti eksais ke atas CBU yang sebelumnya tidak dikenakan, tetapi persoalannya ialah mengapa ia dilakukan secara berdiskriminatori? Kereta nasional terus diberikan pengecualian 50 peratus daripada duti eksais sementara kereta CBU yang diimport serta kereta bukan nasional yang dipasang dalam negara dikenakan duti eksais sepenuhnya. Adakah ini melanggar prinsip non-discriminatory WTO dan AFTA?

Mengikut pendapat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, langkah tersebut selaras dengan dan akur kepada prinsip- prinsip WTO dan AFTA. Mengikut beliau juga, Malaysia mempunyai hak kedaulatan (sovereign right) untuk mengambil tindakan tersebut bagi melindungi mana-mana industri domestik negara. Tambahan pula pelepasan 50 peratus daripada duti eksais yang diberikan kepada kereta nasional tersebut bukanlah merupakan perkara baru dan setakat ini tiada bantahan daripada mana-mana negara ahli ASEAN.

Penulis percaya sovereign right tersebut bukanlah mutlak seumpama Malaysia diberikan cek kosong oleh WTO dan AFTA dan dibenarkan mengambil sebarang dasar perdagangan yang berdiskriminatori dengan sewenang-wenangnya tanpa syarat, sekatan dan garis panduan. Sebarang tindakan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip WTO dan AFTA diberikan pengecualian tertakluk kepada peraturan dan tatacara WTO dan AFTA.

Berhubung dengan pengecualian 50 peratus daripada duti eksais yang diberikan kepada kereta nasional, jika sebelum ini tidak mendapat bantahan, tidak semestinya selepas ini terus tidak mendapat bantahan daripada lain-lain negara ASEAN. Dahulu lain tetapi sekarang lain. Dahulu kereta belum lagi diliputi dalam CEPT tetapi sekarang sudah diliputi. Dahulu import CBU tidak dikenakan duti eksais tetapi sekarang telah dikenakan duti eksais. Sudah pasti ini akan menimbulkan reaksi daripada negara-negara ASEAN.

Terdapat juga pendapat, jika negara-negara lain melaksanakan dasar-dasar yang melanggar prinsip dan peraturan WTO dan AFTA, mengapa Malaysia tidak boleh berbuat demikian? Pendapat sedemikian yang bersifat offensive tidak seharusnya dijadikan amalan. Jika semua negara berpendirian sedemikian, sistem dan persekitaran pasaran dunia akan terjerumus ke arah keruntuhan. Semua negara akan mengalami kesan buruk serta kerugian.

Apakah yang dapat dipelajari daripada perbincangan di atas?

Dalam beberapa tahun yang lepas, Malaysia khususnya syarikat-syarikat kereta nasional telah mengambil beberapa strategi untuk menyediakan syarikat-syarikat tersebut untuk menghadapi cabaran persaingan akibat pelaksanaan AFTA. Berbagai-bagai kemajuan dan perubahan positif telah dicapai dari segi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta daya saing. Namun semuanya belum mencukupi lagi bagi membolehkan kereta-kereta nasional bersaing secara bebas dan terbuka. Ia masih lagi memerlukan tarif dan pelepasan duti eksais. Masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan supaya kereta-kereta nasional kita mampu bersaing di pasaran bebas dan terbuka.

Pengalaman di atas perlu dijadikan iktibar dan panduan bagi Malaysia dalam menggubal strategi untuk meliberalisasikan sektor padi dan beras negara yang masih lagi di luar liputan CEPT/AFTA. Komitmen Malaysia terhadap AFTA dalam kes padi dan beras ini ialah bagi Malaysia menghapuskan semua sekatan kuota ke atas import beras serta mengurangkan tarif ke tahap 20 peratus mulai tahun 2005 dan perlu dilengkapkan selewat-lewatnya tahun 2010. Malaysia masih boleh mengenakan tarif akhir 20 peratus dan tidak 0-5 peratus kerana keluaran padi dan beras merupakan keluaran yang paling sensitif dari segi politik dan sosial serta strategik.

Melihat kepada struktur serta tahap pembangunan industri padi dan beras negara, hampir pasti keluaran padi dan beras negara tidak mampu bersaing dengan import beras di negara-negara ASEAN terutama Thailand dan juga bukan ASEAN seperti China. Kos pengeluaran padi dan beras di negara- negara tersebut adalah terlalu rendah 50-60 peratus lebih rendah daripada kos pengeluaran padi dan beras negara. Oleh sebab ini walaupun import beras dikenakan 50 per tarif, ia masih lagi murah dibandingkan dengan beras keluaran domestik. Bagaimanakah pengeluaran padi negara dan tahap cukup hidup beras negara dapat dipertahankan dalam keadaan ini?

Berbagai-bagai strategi sedang digubal untuk mempertingkatkan kecekapan dan daya saing padi dan beras negara untuk menghadapi cabaran AFTA ini. Strategi tersebut kelihatan komprehensif tetapi memerlukan komitmen politik yang kuat untuk berjaya. Tanpa komitmen politik yang kuat skrip yang sama akan berulang lagi. Bila tiba masanya keluaran padi dan beras negara untuk diliputi oleh CEPT/AFTA, ia masih lagi memerlukan perlindungan kerajaan sama seperti yang berlaku kepada industri kereta nasional. Ini perlu dielakkan untuk menjaga reputasi Malaysia sebagai salah sebuah negara perdagangan utama di dunia.

- Dr. Mohd. Haflah Piei ialah Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel haflah@mier.po.my