10/01/2004

Che Puan Haminah dimasyhur Sultanah Kedah

Che Puan Haminah dimasyhur Sultanah Kedah

ALOR STAR 9 Jan. - Che Puan Kedah Haminah Hamidun hari ini dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah pada majlis penuh adat istiadat diraja yang berlangsung di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyempurnakan istiadat itu dengan meletakkan mahkota kebesaran pada jemala Sultanah.

Upacara itu melayakkan Che Puan Kedah menggunakan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah Darul Aman.

Baginda sultan kemudian mengurniakan Darjah Kebesaran Kedah (DK) kepada Sultanah. Serentak itu, tembakan meriam 21 das dilepaskan menandakan sempurna istiadat itu.

Sultanah Kedah, 51, yang dilahirkan di Bagan Serai, Perak merupakan anak keempat daripada tujuh beradik dan berkahwin dengan Sultan Kedah pada 25 Disember 1975.

Istiadat bermula dengan bacaan selawat dan paluan nobat mengiringi keberangkatan masuk Sultan dan Che Puan Haminah ke dewan penghadapan diikuti perarakan membawa masuk alat-alat kebesaran diraja.

Datuk Indera Senggara Datuk Paduka Mohd. Saad Endut mengetuai istiadat membawa masuk peralatan pemasyhuran termasuk al-Quran yang dibawa oleh Datuk Mursyid Diraja, Datuk Paduka Sheikh Abdul Majid Md. Noor; Mahkota Kebesaran oleh Datuk Panglima Jaya, Datuk Syed Ahmad Al Mahay dan Watikah Pemasyhuran dibawa oleh Datuk Lela Setia, Datuk Paduka Ismail Shafie.

Watikah Pemasyhuran dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain diikuti istiadat memakaikan mahkota kebesaran oleh Sultan.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbullah Abd. Halim.

Berangkat sama pada istiadat bersejarah itu ialah Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah; puteri-puteri Sultan iaitu Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Datuk Seri Tunku Soraya; kerabat-kerabat diraja yang lain dan ayahanda Sultanah, Hamidun Taib.

Antara kenamaan yang hadir pada istiadat tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Istiadat pemasyhuran itu diadakan berikutan kemangkatan Sultanah Kedah yang lepas, Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman, 26 Ogos lalu.

Sempena pemasyhuran Sultanah Kedah, kerajaan negeri mengisytiharkan esok sebagai cuti umum.

Sementara itu, Sultanah Haminah dikenali sebagai seorang yang gemar bersukan seperti golf, tenis dan badminton serta suka mendengar muzik.

Baginda mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak dan Sekolah Menengah Inggeris Bagan Serai.