28/12/2003

Larangan bertudung cabar hak asasi manusia

Larangan bertudung cabar hak asasi manusia

Oleh RAMLI ABDUL KARIM

LANGKAH Presiden Perancis, Jacques Chirac mengharamkan pemakaian tudung kepala dan simbol agama oleh pelajar-pelajar sekolah di negara itu merupakan petanda bahawa dunia semakin tidak menghiraukan kebebasan beragama.

Tindakan itu telah menyempitkan lagi tafsiran terhadap maksud hak asasi manusia. Dengan hak asasi manusia, setiap orang dibenarkan memilih agama dan kepercayaan masing-masing.

Hak individu itu telah lama difahami oleh setiap kerajaan atau pemerintah di seluruh dunia. Hampir setiap kerajaan tidak mempersoalkan tentang hak dan kebebasan memilih agama oleh rakyat masing-masing. Tetapi dengan perkembangan terbaru di Perancis dan beberapa negara lain, hak dan kebenaran memilih serta kebebasan beragama itu hanya diberi secara bersyarat.

Selain Perancis, antara negara lain yang mempunyai undang-undang melarang pemakaian tudung kepala ialah Jerman dan Turki serta Singapura. Empat negara termasuk Perancis ini bertindak demikian atas nama negara sekular. Sekular ialah fahaman atau ideologi yang memisahkan tuntutan agama daripada pentadbiran negara.

Di Perancis larangan dikenakan terhadap pemakaian tudung kepala oleh pelajar wanita Islam, tanda salib oleh pelajar Kristian dan ketayap oleh pelajar lelaki Yahudi. Di negara itu, kakitangan kerajaan wanita juga dilarang memakai tudung tetapi penguatkuasaannya tidak tegas kerana ia bukan suatu undang-undang.

Pun begitu, baru-baru ini, terdapat kes yang mana wanita Islam yang bekerja di bandar raya Paris digantung kerja kerana tidak mahu menanggalkan tudung kepala dan bersalaman dengan lelaki.

Sebaliknya, di Jerman, larangan pemakaian tudung kepala tidak melibatkan pelajar sekolah di dalam kelas tetapi meliputi semua kakitangan kerajaan termasuk guru-guru. Larangan itu diumumkan oleh Canselor Jerman, Gerhard Schroeder pada 21 Disember lalu, kurang seminggu selepas pengumuman oleh Chirac.

Berbanding dengan Perancis yang mengenakan larangan pemakaian simbol keagamaan meliputi semua agama, Jerman jelas melakukan diskriminasi apabila hanya mengenakan larangan terhadap pemakaian tudung kepala - larangan ditujukan kepada wanita Islam semata-mata.

Ia bertentangan dengan arahan Mahkamah Persekutuan negara itu sendiri pada 24 September lalu yang memutuskan supaya semua undang-undang baru mestilah memberi layanan yang adil dan saksama kepada semua agama.

Dalam pada itu, kes di Jerman juga tidak boleh dianggap sebagai memberi kelonggaran kepada pelajar-pelajar sekolah. Ini kerana pelepasan hanya disebabkan perbezaan peruntukan undang-undang persekutuan dan negeri.

Pelajar sekolah tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan. Dalam keputusan Mahkamah Persekutuan, wanita dibenarkan bertudung kecuali jika undang-undang negeri menyekatnya. Dalam hal ini, semua negeri hanya melarang guru dan kakitangan awam sedangkan pelajar sekolah terkecuali daripada larangan itu.

Lebih parah, larangan yang sama berlaku di Turki, negara yang sedang menyaksikan kebangkitan perjuangan Islam malah pemerintahnya kini dikuasai oleh parti yang memperjuangkan Islam. Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), sebuah pergerakan Islam menguasai Parlimen termasuk mempunyai perdana menteri dari parti itu.

Namun parti itu gagal menarik balik larangan pemakaian tudung kepala walaupun ia mendapat sokongan rakyat jelata. Sejak parti itu mengambil alih kerajaan, semakin ramai rakyat yang kembali memakai tudung kepala termasuk isteri-isteri menteri.

Krisis tudung di Turki gagal menemui penyelesaian kerana Presiden Ahmed Necdet Sezer yang memperjuangkan sekularisme enggan berkompromi lebih-lebih lagi mendapat sokongan pihak tentera yang mahu status itu dipertahankan.

Dalam undang-undang Turki, pemakaian tudung kepala dilarang di universiti dan pejabat kerajaan. Sejak Mustafa Kamal Ataturk menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyah pada 1923 dan membentuk republik sekular, pengaruh Islam daripada sistem pentadbiran dan pendidikan di Turki dihentikan. Fahaman anti-Islam itu menjadikan ideologi utama negara umat Islam itu sangat disayangi oleh Barat.

Larangan pemakaian tudung kepala di sekolah-sekolah kerajaan di Singapura juga beberapa kali mencetuskan kontroversi kerana dianggap menghalang kebebasan beragama di negara itu. Malah pada September tahun lalu, republik itu menghalang peguam Karpal Singh dari Malaysia daripada mewakili empat keluarga kanak-kanak yang digantung sekolah kerana enggan membuka tudung kepala. Keluarga berkenaan mencabar larangan oleh pemerintah Singapura itu.

Berbeza pula keadaannya dengan Rusia, sebuah lagi negara sekular, wanita Islam negara itu lebih bernasib baik kerana masih dibenarkan memakai tudung kepala. Malah baru-baru ini, Mahkamah Agung membenarkan permohonan sekumpulan wanita supaya dibenarkan bertudung untuk gambar pasport.

Membincangkan tentang isu tudung kepala ini akan menimbulkan beberapa persoalan. Apakah masih ada ruang untuk rakyat di negara terbabit mempertahankan hak mereka untuk bertudung kepala? Sampai bilakah Barat dan Eropah akan terus prejudis terhadap Islam? Dan, apakah tafsiran hak asasi manusia yang boleh dijadikan pegangan pada masa ini?

Bagi persoalan pertama, wanita Islam di Perancis dan Jerman mungkin masih mempunyai peluang untuk mengembalikan hak mereka. Ini kerana perlembagaan Perancis sendiri menjamin dan melindungi kebebasan pendidikan dan amalan beragama.

Apa yang Perancis tidak faham tentang tudung kepala ialah ia tidak sama seperti amalan memakai simbol keagamaan oleh penganut agama lain. Wanita Islam tidak memakainya semata-mata menunjukkan identiti Islam atau menjadi simbol agama. Sebaliknya ia adalah suruhan Tuhan yang termaktub dalam kitab suci al-Quran.

Tentunya wanita dan pelajar perempuan Islam di Perancis akan berdepan dengan konflik - sama ada mengingkari suruhan Tuhan dan kewajiban kepada agama untuk berkompromi terhadap keperluan pendidikan atau terus bertudung dan melupakan sekolah. Kenyataan itu mungkin dianggap keterlaluan oleh pemberi tafsiran baru hak asasi manusia seperti Perancis. Tetapi itulah hakikatnya apabila ia dan juga Turki, Jerman mahupun Singapura meletakkan prejudis di hadapan berbanding toleransi.

Tanggapan bahawa negara-negara berkenaan prejudis terhadap Islam adalah tepat kerana kemunculan undang-undang melarang tudung kepala dilakukan ketika perlembagaan masing-masing memberi perlindungan dan kebebasan beragama.

Memanglah selain mencabar undang-undang berkaitan, wanita Islam di negara-negara terlibat sebenarnya masih mempunyai peluang untuk mendapatkan semula hak bertudung.

Jika di Perancis, Jerman dan Turki ini termasuklah membawa kes ini ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Perkara 9 Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah menekankan kebebasan mengamalkan ajaran agama atau sesuatu kepercayaan.

Namun, sama ada tindakan mencabar itu berjaya atau tidak, ia tidaklah semudah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh negara-negara berkenaan iaitu menilai semula larangan itu.

Sebagai negara-negara yang mendakwa dan memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia, negara terlibat sepatutnya lebih rasional ketika memberi alasan dalam setiap tindakan mereka.

Larangan memakai tudung kepala atau apa-apa simbol agama dibuat kerana ia dikatakan memberi kesan sehingga menafikan hak asasi orang lain. Dakwaan ini juga gagal dibuktikan oleh Perancis dan beberapa negara lagi yang mengenakan larangan itu. Ini adalah alasan longgar jika diambil dalam kes tudung kepala.

Selain daripada menjadi kewajipan kepada wanita Islam, bertudung kepala sebenarnya bukanlah satu elemen dakwah untuk menyebarkan agama Islam. Pemakaian tudung oleh wanita Islam tidak ada kena-mengena dengan politik melainkan semata-mata sebagai tanda ketaatan kepada perintah Tuhan.

Malah pemakaian tudung kepala tidak pernah menyinggung perasaan penganut agama di negara-negara yang membenarkannya. Di Britain yang bukan negara Islam misalnya, kebenaran pemakaian tudung kepala oleh wanita Islam tidak pernah memberi kesan terhadap hak asasi penganut agama utama di negara itu.

Sebaliknya, kerajaan Perancis, Jerman dan lain-lainnya lupa tentang hakikat seperti yang berlaku di Britain. Kebenaran pemakaian tudung kepala dan simbol agama memberi ruang untuk merapatkan jurang dan hubungan di antara penduduk pelbagai agama di negara berkenaan.

Dalam kes Perancis, larangan itu tidak akan membantu sama sekali dalam integrasi lima juta rakyat beragama Islam yang mewakili lapan peratus penduduk ke dalam masyarakat Perancis.

Ia meliputi persoalan tentang integrasi masyarakat Islam selaku penduduk minoriti ke dalam bidang sosial, politik dan ekonomi arus perdana. Inilah yang sepatutnya kerajaan terlibat ambil kira.

Ia hanya merenggangkan hubungan umat Islam dengan penduduk lain di negara itu dan sekali gus meningkatkan lagi kemarahan mereka terhadap kerajaan. Ini akan dianggap langkah ke belakang yang sekadar melebarkan lagi jurang antara golongan minoriti dan majoriti di Perancis.

Media-media antarabangsa termasuk di Perancis sendiri mengecam larangan itu. ``Toleransi sudah berakhir dan larangan sudah bermula?'' tanya akhbar Le Monde. Akhbar harian Al-Quds Al-Arabi berpangkalan di London pula secara sinis tetapi serius menegaskan:

``Ia tidak logik apabila undang-undang Perancis membenarkan wanita memakai skirt pendek, menunjukkan buah dada dan melakukan kemungkaran tetapi pada masa yang sama melarang mereka menutup kepala. Menutup satu kepala adalah salah tetapi menunjukkan buah dada dan pangkal paha tidak melanggar undang-undang.''

Dalam menguruskan sebuah negara pelbagai bangsa dan agama, Perancis dan Jerman misalnya masih gagal menyediakan keadilan, kesaksamaan dan jaminan hak asasi yang jitu untuk rakyatnya.

Di sinilah kelebihan Malaysia. Sejak hampir 50 tahun memerintah sendiri, rakyatnya sentiasa saling memahami tentang sensitiviti beragama. Mereka tidak memerlukan larangan melakukan itu dan ini dalam mencapai persefahaman.

Dengan perkembangan terbaru di Perancis dan Jerman serta isu yang sama di Singapura dan Turki, dunia kini sedang dihadapkan dengan dua sistem pelaksanaan hak asasi manusia.

Bagi negara-negara yang kurang maju terutama di Asia dan Afrika, mereka menghadapi tekanan supaya memberi layanan sama rata dan melaksanakan hak asasi manusia secara total. Jika pelaksanaannya tidak memenuhi kehendak Barat, penilaian berat sebelah dan kecaman akan dibuat.

Inilah yang berlaku apabila Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menuduh Malaysia tidak mengamalkan kebebasan beragama. Sedangkan ia tidak pernah menjadi isu di kalangan rakyat negara ini yang sentiasa mengakui bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang sekatan.

Sedangkan di Barat dan Eropah pula, seseorang kini hanya bebas memilih agamanya. Tetapi mereka tidak bebas mengamalkan ajaran dan perintah agama yang dipilih. Itulah kebebasan agama bersyarat yang diperkenalkan oleh negara terlibat - suatu pelanggaran yang jelas ke atas hak asasi manusia. Ia juga suatu definisi baru Barat dan Eropah terhadap hak asasi manusia.