21/12/2003

Menjinakkan suami yang suka jalin hubungan dengan wanita lain

Menjinakkan suami yang suka jalin hubungan dengan wanita lain

Jakarta Oh Jakarta Oleh Zulkefli Hamzah
BAGI rakyat Malaysia terutama generasi muda, ubat pengasih atau guna-guna mungkin sudah dianggap sebagai cara kuno untuk memikat buah hati atau pasangan masing-masing supaya hatinya dapat ditakluk.

Malah tiada siapa yang berani secara terbuka mengiklankan ilmu penakluk itu. tetapi di Indonesia, ubat pengasih atau dipanggil pelet masih menjadi antara cara popular bagi menyelesaikan masalah rumah tangga khususnya bagi yang ditinggalkan pasangan.

Ubat pengasih sudah tidak asing lagi sebagai cara mengikat cinta pujaan hati atau menarik simpati pasangan masing-masing. Dengan kata lain, ubat pengasih merupakan jalan pintas bagi mereka yang berasa dikecewakan atau gagal di tengah jalan.

Dukun-dukun ubat pengasih secara berleluasa mengiklankan perkhidmatan mereka dengan jaminan ubat guna-guna yang ditawarkan begitu mujarab sehingga mereka yang tidak serius untuk menjalin hubungan dilarang sama sekali menggunakannya.

Salah seorang dukun ubat pengasih yang popular ialah Jangkung Sujarwo atau lebih dikenal dengan nama Si Jambrong Alas Ketonggo. Dia sudah tiga tahun menawarkan perkhidmatan unik ini dengan membuka `klinik' di hotel berkelas murah di sekitar Jakarta.

Jangkung dikenal sebagai orang yang mahir mengembalikan cinta yang sudah terlerai atau mendekatkan hubungan yang telah renggang. Seperti dukun-dukun lainnya, dia mempunyai produk istimewa ubat pengasih iaitu minyak air mani gajah.

``Prosesnya mudah tidak berbelit-belit. Tidak perlu mengetahui nama orang yang dituju ataupun nama orang tuanya dan tanpa gambar atau alamat. Cukup dengan menyentuhkan minyak air mani gajah, orang berkenaan pasti akan cinta setengah mati,'' kata Jangkung.

Selama menjalankan perkhidmatan itu, katanya, dia telah banyak membantu mengembalikan kerukunan rumah tangga pasangan suami isteri yang menghadapi masalah kehadiran orang ketiga.

Jangkung yang akan membuat demonstrasi sebagai bukti kemujaraban ubatnya kepada setiap pelanggan berkata, tanggungjawabnya begitu besar untuk membantu mereka yang bernasib malang dan semua yang dilakukannya itu tidak terlepas dari pertolongan Allah.

Yang misteri dan uniknya, minyak air mani gajah milik Jangkung seperti didakwanya tidak pernah habis dan akan bertambah secara ghaib pada setiap bulan purnama.

``Dan yang perlu diketahui ialah minyak ini tidak sembarangan saya berikan kepada orang lain. Khasiatnya begitu dahsyat dan ditakuti disalahguna untuk menyakiti atau mempermainkan seseorang dan belum tentu juga minyak ini serasi dengan orang yang meminta,'' ujarnya.

Jangkung berkata, minyak misterinya itu selain mujarab dalam hal-hal berkaitan cinta juga boleh digunakan bagi meningkatkan wibawa diri, karier, melariskan jualan dan supaya disukai oleh semua orang.

Selain menjual produk ubat pengasih ini, Jangkung melayani permintaan mereka yang memerlukan nasihat mengenai jodoh dan masa depan. Dia juga mengaku mahir mengubati pelbagai penyakit serta memasang susuk.

Seorang lagi dukun yang terkenal dan mendapat julukan Raja Pelet Indonesia, Mas Arief Tatang menjamin dalam tempoh tiga hari ``yang benci jadi sayang, yang tidak ada rasa cinta berubah cinta, jika sudah cinta, cintanya menjadi-jadi''.

Mas Arief Tatang yang mempunyai laman web sendiri untuk menjual perkhidmatan dan produk-produk mistiknya bagaimanapun tidak melayani semua orang dan akan memarahi mereka yang menggunakan ubat pengasih untuk memikat isteri atau suami orang.

``Kalau memanggil pulang suami biar bahagia dengan isterinya, itu pekerjaan saya setiap hari,'' kata Raja Pelet dari Jawa Timur ini.

Mas Arief Tatang yang kini berusia 45 tahun menjelaskan dia mewarisi ilmu pengasih itu sejak remaja dari datuknya dan mampu `menghantar' ubat pengasihnya dalam jarak jauh.

Cuma yang diperlukannya ialah nama lengkap dan nama bapa orang yang dituju.

Umumnya pelbagai bahan boleh digunakan untuk ubat pengasih ini seperti daun sirih bergambar rajah ghaib dan ramuan khusus pelbagai rempah tetapi ada cara mudah yang boleh dilakukan tanpa bantuan dukun.

Bagi Budiono, seorang dukun amatur semasa ditemui berkata, dia mewarisi ilmu pengasih dari nenek moyangnya yang menggunakan seluar dalam sebagai bahan untuk mengembalikan kasih sayang seseorang itu.

Walaupun caranya mudah, kata Budiono, tetapi ia memerlukan syarat-syarat tertentu khususnya seluar dalam yang mahu digunakan mesti yang telah dipakai dan belum dibasuh.

``Syarat utama ialah seluar dalam yang digunakan mesti yang telah dipakai oleh orang yang bakal menjadi sasaran. Jika seluar dalam orang lain digunakan bakal memberi musibah kepada diri sendiri.

``Seluar dalam yang telah digunakan oleh pemakainya ini dianggap mempunyai kekuatan mistik untuk melumpuhkan hatinya supaya tidak terpikat dengan orang lain,'' jelasnya.

Lebih mujarab jika seluar dalam itu kemudiannya dipaku di bilik tidur dan paku yang digunakan pula bukan sembarangan tetapi paku yang diperbuat dari emas.

``Sebenarnya ada banyak cara boleh digunakan. Jika untuk wanita seluar dalam yang ada bekas darah haid lebih mujarab.

``Jika sampai hati seluar dalam ini direbus dan airnya dicampur dengan minuman. Ini sesuai untuk menjinakkan suami yang suka menjalin hubungan dengan wanita lain,'' jelas Budiono lagi.

Bagi suami yang hatinya sudah terlanjur tertakluk dengan wanita lain, ujar Budiono yang pernah mencuba cara berkenaan untuk membantu masalah rumah tangga kakak iparnya, campuran darah burung belatuk bawang dan mantera khusus amat mujarab.

`Saya sendiri tidak pernah melakukan sendiri yang ini tetapi saya melihat kesannya dalam waktu yang singkat sahaja, orang yang menjadi sasaran langsung bertekuk lutut. Tapi ini sukar dilakukan sendiri dan memerlukan bantuan dukun,'' katanya.

Kata Budiono, begitu juga bagi mereka yang mahu menawan pujaan hati, seluar dalam boleh digunakan sebagai bahan ubat pengasih tetapi dengan syarat cinta yang bertaut tidak boleh dipermain-mainkan.

``Cara menggunakan seluar dalam sebagai ubat pengasih bagi sesetengah orang memang agak keterlaluan tetapi kalau memang sudah cinta dan berniat baik atau bagi memulihkan kedamaian rumah tangga, apa salahnya berikhtiar,'' katanya.

Mungkin tidak ramai yang bersetuju dengan pendapat Budiono ini. Bagi mereka yang percaya kepada diri sendiri dan memikirkan cinta murni tentunya tidak akan menggunakan cara-cara yang pelik, apatah lagi mempunyai unsur-unsur mistik.

Selain bahan-bahan khusus seperti minyak air mani gajah, daun sirih bergambar rajah ghaib dan seluar dalam yang telah dipakai, bahan-bahan lain yang popular sebagai ubat pengasih ialah kalung, cincin dan tali pinggang.

Tentunya sekali lagi bahan-bahan ini yang boleh dipakai langsung oleh pemiliknya perlu `diisi' dengan kekuatan mistik.

Sufirman Ahmad, salah seorang dukun yang dikatakan mampu membuat tali pinggang yang mempunyai daya kekuatan memikat mendakwa produk ciptaannya akan membuatkan pemakainya selalu dikasihi oleh orang lain.

``Semua sikap dan ucapan kita akan mempunyai pengaruh dan didengar oleh orang lain,'' katanya yang menawarkan Tali Pinggang Asmara ciptaannya itu dengan harga RM50.

Tali Pinggang Asmara dicipta khusus olehnya untuk mengangkat penampilan diri. Selain untuk perniagaan dan kerjaya, ia juga bermanfaat supaya pemakainya dikagumi oleh lawan sejenisnya.

``Bahkan boleh mengukuhkan lagi kerukunan rumah tangga,'' ujar Sufirman sambil menjelaskan tali pinggang ciptaannya telah diisi dengan doa dan mantera tertentu serta boleh digunakan oleh semua golongan.

Mungkin ada yang mahu mencuba tetapi perlu diingat setiap hal yang dilakukan mempunyai risikonya sendiri terutama yang sifatnya sukar dijelaskan oleh akal fikiran dan mempunyai unsur menyimpang dari ajaran agama. - MINGGUAN