13/12/2003

Mengembangkan kepakaran bioinformatik

Mengembangkan kepakaran bioinformatik

Oleh Laupa Junus

(Wartawan Utusan)
Perkembangan bidang bioteknologi yang semakin pesat mendorong kepada banyak perkembangan bidang lain yang tidak kurang pentingnya.

Antara yang paling menonjol ialah bidang bioinformatik iaitu bidang bioteknologi yang menggunakan teknologi maklumat untuk tujuan menganalisis data dan jujukan DNA sesuatu organisma.

Apakah fungsi bidang bioinformatik?

Sejak saintis berjaya menjalankan kerja-kerja penjujukan genom manusia pada 2001, kepentingan bidang bioinformatik kian ketara.

Ini kerana hasil penjujukan genom itu, sebanyak tiga bilion pasangan bes DNA dapat dikesan. Daripada jumlah itu sebanyak 30,000 gen perlu ditaksirkan menggunakan bioinformatik.

``Kita perlu taksir tiga bilion pasangan bes daripada struktur linear kepada struktur protein tiga dimensi,'' kata Timbalan Pengarah Makmal Sementara Institut Genomik dan Biologi Molekul, Pusat Teknologi Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia-Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (UKM-MTDC), Prof. Dr. Rahmah Mohamed.

Beliau berkata, penjujukan genom itu penting untuk tugas-tugas pengenalpastian jenis-jenis penyakit pada manusia.

Langkah tersebut katanya, tidak boleh dilengahkan memandangkan kerja-kerja penjujukan genom memerlukan analisis data yang pantas. Bioinformatik sebenarnya mempunyai banyak kegunaan dalam pelbagai bidang termasuk forensik, reka bentuk perubatan dan pertanian.

Justeru, dengan revolusi bioteknologi yang berlaku sekarang ia memberi nafas baru kepada bidang bioinformatik kerana pada masa yang sama pembangunan perkakasan dan perisian komputer juga meningkat. Dengan kecanggihan teknologi itu, maka kerja memproses dan menganalisis data juga dipermudah dan dipercepatkan.

Menurut Rahmah, bidang bioinformatik mula berkembang pada awal 1990-an selepas saintis berjaya melakukan pemetaan gen.

Dalam tempoh sedekad ia telah berkembang menjadi satu industri dengan nilai RM49.5 bilion dan dijangka meningkat kepada RM76 bilion pada 2007. Pasaran bidang bioinformatik sebenarnya tertumpu kepada beberapa aspek:

- Sistem perkakasan pengurusan maklumat

- Pangkalan data biologi

- Sistem pengurusan makmal

- Perisian menganalisis genom

- Perkhidmatan

- Instrumentasi

Malaysia mengambil langkah bijak apabila segera bertindak membangunkan bidang tersebut pada 1998 menerusi penubuhan Rangkaian Bioinformatik dan Bioteknologi Kebangsaan (NBBnet).

``NBBnet ini yang diluluskan penubuhannya oleh Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) merupakan rangkaian bioinformatik yang pertama di rantau ASEAN,'' katanya.

Penubuhan NBBnet ini bertujuan meningkatkan rangkaian maklumat bioteknologi kebangsaan dan bertanggungjawab membangunkan pangkalan data bioteknologi. Selain itu, ia juga bertanggungjawab membangunkan program sumber manusia serta program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang biokomputer pemodelan molekul dan pembangunan perisian.

Pada masa yang sama penubuhan NBBnet merupakan satu infrastruktur dan sumber maklumat kepada bidang bioinformatik. Kemudahan NBBnet yang diwujudkan di UKM bagi pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE), sekarang dapat digunakan oleh mana-mana penyelidik tanpa perlu mengunjungi makmal pusat tersebut . Mereka hanya boleh mendapatkan perkhidmatan dengan melayari www.nbbnet.gov.my/ tool.

Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan termasuk pangkalan data bagi menjalankan projek genom seperti mikrob, ikan dan rumpai laut. Pada masa ini menurut Rahmah, jumlah tenaga mahir sangat kurang dalam bidang bioinformatik disebabkan tidak banyak institusi pengajian tinggi menawarkan kursus dalam bidang berkenaan.

``Hanya UKM dan Universiti Malaya sahaja yang menawarkan kursus tersebut setakat ini,'' katanya.

Bagi mengatasi masalah tersebut langkah jangka pendek digunakan iaitu melatih saintis meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang bioinformatik. Menurut Rahmah, minat masyarakat dalam bidang bioinformatik masih rendah kerana mereka masih belum nampak potensi dan prospek bidang tersebut.

Katanya, negara seperti India dan Singapura sudah jauh terkehadapan dalam menawarkan kemudahan bioinformatik. Sebab itulah UKM mewujudkan rangkaian kerjasama dengan negara berkenaan bagi membolehkan saintis negara ini berkongsi maklumat dan kepakaran dengan saintis India.

``Saya fikir perkembangan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan bioinformatik menjadi sinergi kepada pembangunan bidang bioteknologi seperti yang dinikmati oleh India yang mampu meraih pendapatan lumayan menerusi projek genom,'' katanya.

Selain itu katanya satu lagi bentuk kerjasama diwujudkan dengan syarikat swasta seperti Sun Microsystem dan IBM dan Open Source System Sdn. Bhd. bagi menubuhkan apa yang dipanggil grid computing yang kesemuanya menjurus kepada pembangunan bidang bioinformatik secara keseluruhannya di negara ini.