Untitled Document
Untitled Document
 
 
 
PIALA MALAYSIA
 
Tarikh Perlawanan Tempat
1/10/2005 SELANGOR 3
Bambang Pamungkas 18min, 52min, 87min
PERLIS 0
Bambang jadi `pemusnah'

Oleh: AMRAN MULUP, SAYED HISHAM SAYED IDRIS dan HAFIZ AHMAD


KAMI JUARA... Ketua Pasukan Selangor, Mohd. Shukor Adan (tengah) menjulang Piala Malaysia sambil disaksikan pegawai dan rakan sepasukan selepas menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail (kot biru) sebaik diumumkan sebagai juara buat kali ke-30 dengan menewaskan Perlis 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Jaringan hatrik penyerang terbilang, Bambang Pamungkas membolehkan impian Selangor untuk melakar sejarah merangkul tiga gelaran dalam semusim menjadi realiti apabila mereka dinobatkan selaku juara Piala Malaysia yang baru selepas menewaskan penyandang juara, Perlis 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Kemenangan tersebut membuktikan kejaguhan sebenar Selangor yang tersisih selama tiga musim sejak menjulang Piala Malaysia pada 2002, tetapi malam tadi mereka kembali menemui sentuhan bergelar juara.

Tidak dapat dinafikan Selangor memiliki segala kelebihan untuk menafikan hajat menggunung Perlis yang berbekalkan gelaran juara musim lalu.

Sebaliknya tiga gol menerusi penyerang berbisa Selangor, Bambang yang meledakkan jaringan pada minit ke-17, 51 dan 87 sudah cukup memastikan skuad Red Giants dinobatkan selaku juara mutlak Piala Malaysia buat kali ke-30.

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu, Elie Aiboy adalah pencetus kepada kejayaan Selangor dengan dua sepakan sudutnya ditanduk tepat oleh Bambang manakala D. Surendran pula untuk gol ketiga yang terus meranapkan impian Perlis.

Kini lengkap sudah tiga gelaran yang disandang oleh Selangor bagi musim 2005 sesudah mendakap kejuaraan Piala Liga Perdana di Stadium Paroi, Stadium Shah Alam pula ditabalkan juara Piala FA dan malam tadi mereka dijulang pula merangkul piala paling berprestij bola sepak Malaysia.

Di hadapan kira-kira 90,000 penonton yang jelas didominasi oleh penyokong yang berpakaian merah kuning bertempik sorak kegembiraan sejurus pengadil perlawanan, Shokri Nor meniup wisel penamat.

Buat pemain skuad Merah Kuning, mereka berpelukan sesama sendiri selain ada yang menitiskan air mata yang turut disertai oleh jurulatih, Dollah Salleh, pengurus pasukan, Datuk Satim Diman serta pemain simpanan menyambut kejayaan Selangor bergelar juara ketika pemain Perlis longlai dengan wajah duka meratapi kekalahan tersebut.

Pada minit ke-70 permainan terhenti seketika ekoran rasa tidak puas hati pemain apabila pengadil tidak menghadiahkan sepakan penalti setelah pemain Perlis, Yusri Che Lah dijatuhkan di kawasan kotak penalti.

Buat Perlis yang terlalu menyandarkan harapan kepada sentuhan Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda jelas tidak berupaya memecah benteng pertahanan Selangor yang jelas lebih ampuh dengan kecemerlangan penjaga golnya, Jamsari Sabian yang menjadi penghalang.

Aksi yang bermula dengan asakan bertali arus kedua-dua pasukan tetapi sebaliknya tuah memihak kepada Selangor yang memecah ebuntuan jaringan gol selepas 17 minit babak berlangsung hasil tandukan cantik Bambang Pamungkas. Gol berpunca daripada sepakan sudut yang diambil oleh Elie Aiboy dari sebelah kanan, Bambang tangkas melonjakkan diri untuk menanduk masuk menggegar jaring menewaskan penjaga gol Perlis, Amran Omar.

Gol tersebut mengamatkan seketika Stadium Nasional Bukit Jalil dengan pekik sorak sebahagian besar penyokong yang berpakaian merah kuning.

Perlis yang tersentak dengan gol awal tersebut terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi kelibat dua ayam tambatan, Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda sukar melepasi benteng pertahanan Selangor. Skuad Singa Utara hampir-hampir menyamakan kedudukan Peluang terbaik hadir milik Simukonda tetapi dia sekadar melepaskan rembatan tepat ke arah penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian yang mudah meno lak keluar pada minit ke-21.

Permainan bertambah rancak dengan asakan bertali arus dilakukan oleh kedua-dua pasukan terutama Perlis yang cuba mencari gol penyamaan. Pada minit ke-41 dua peluang hadir selang beberapa saat milik Perlis menerusi percubaan Manzoor Azwira Chipeta di depan pintu gol tetapi Jamsari menjadi penghalang buat menamatkan babak pertama dengan kedudukan terikat 1-0.

Pada minit ke-51 Selangor menggegarkan Stadium Nasional buat kali kedua apabila meledakkan jaringan kedua hasil tandukan Bambang menewaskan Amran. Berpunca daripada sepakan sudut Aiboy tepat ke arah Bambang yang terus menanduk mengamamkan semua pemain pertahanan Perlis. Kedudukan makin selesa apabila Bambang menemui sentuhan hatrik hasil hantaran Surendran.

SELANGOR

Jamsari Sabian, Ahmad Tarmini Saiban, D. Surendran, Nazrulerwan Makmor, P. Gunalan, Brian Fuentes, Elie Aiboy, K. Sanbagamaran, Muhammad Shukor Adan, Mohd. Amri Yahyah (Nazzab Hidzan), Bambang Pamungkas.

PERLIS

Amran Omar, Joao Bandoch, Muhamad Kaironnisam, Zainuddin Ariffin, Mohd. Nazaruddin Md. Zain, Manzoor Azwira (Azi Shahril Azmi), Azizi Mat Rose, Mohd. Feriza Ismail, Mohd. Khairi Zainuddin, Yusri Che Lah, Philimon Chipeta, Zacharia Simukonda.

ANUGERAH LIGA MALAYSIA 2005

Piala Malaysia: Selangor

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Bambang Pamungkas

Piala Sultan Ahmad Shah: Perak

Liga Super: Perlis (RM500,000)

Liga Perdana: Selangor (RM200,000)

Piala FA: Selangor

Permainan Bersih: PKNS

Kasut Emas Liga Super: Zachariah Simikonda

(18 gol)

Kasut Emas Liga Perdana: Marlon Alex James

(23 gol)

Piala FAM: Kelantan (RM50,000)

Piala Presiden: Kelantan (RM100,000)

     
 
PIALA FA
 
FAM
 
Tarikh Perlawanan
24/9/2005   PERAK 2
Abdoulaye Traore 24min, Mohd Nor Ismail 88min
SELANGOR 4
Bambang Pamungkas 8th, 87th,Elie Aiboy 43rd, Brian Fuentes 52nd 
Red Giants gegar Shah Alam
Oleh: AMRAN MULUP dan SAYED HISHAM SAYED IDRIS
PEMAIN-pemain Selangor menjulang Piala FA di Stadium Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Sentuhan jaringan pemain import dari Indonesia dan Argentina memastikan Selangor mendakap Piala FA selepas menewaskan penyandang juara, Perak 4-2 pada perlawanan akhir paling hebat di Stadium Shah Alam, semalam.

Dua gol Bambang Pamungkas pada minit kelapan dan 87, Elie Aiboy (43) dan Brian Fuentes (68) itu pasti dikenang oleh penyokong Merah Kuning yang menyaksikan Red Giants menjulang Piala FA kali keempat selepas tahun 1991, 1997 dan 2001.

Kejayaan Selangor ini merupakan yang kedua pada musim ini selepas menjulang Piala Liga Perdana, Julai lalu dan bakal bertambah menjadi treble apabila menentang Perlis dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Sejurus selepas tiupan wisel penamat oleh pengadil, Ibrahim Muhammad, kesemua pemain Selangor termasuk jurulatih, Dollah Salleh dan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman serta pemain simpanan berpelukan sesama sendiri sambil menangis kegembiraan ketika meraikannya.

Kejayaan Selangor dalam edisi ke-16 ini turut disambut oleh sorakan bingit puluhan ribu penyokong Merah Kuning selain paluan kompang dan percikan bunga api. Buat Perak yang turun dengan gelaran yang disandang musim lalu hampa untuk mengekalkan kejuaraan yang dimiliki mengakui akan kekentalan Selangor.

Seawal minit pertama Selangor menguji kehebatan penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad menerusi sepakan percuma D. Surendran dari jarak 25 meter tepat ke dakapan penjaga gol itu. Dua minit selepas itu Perak nyaris-nyaris meledakkan jaringan apabila tandukan kencang Keita Mandjou ditepis keluar oleh Jamsari Sabian.

Permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak dengan sorakan kira-kira 80,000 penyokong yang memenuhi setiap ruang di Stadium Shah Alam. Buruan mencari gol jelas memihak kepada Selangor apabila Bambang Pamungkas meledakkan sepakan percuma dari luar kotak penalti Perak yang terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Hamsani pada minit kelapan.

Gol tersebut disambut dengan pekik sorak kira-kira 60,000 penyokong Merah Kuning menggamamkan seketika penyokong Perak yang dianggarkan kira-kira 20,000. Pada minit ke-23 Perak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila Abdoulaye Traore yang tidak dikawal mudah menolak masuk hantaran Shahrulnizam Mustafa menewaskan Jamsari.

Bagaimanapun, seminit selepas itu gol kedua Selangor jaringan Brian Fuentes dibatalkan oleh Ibrahim kerana berlaku kekasaran di kawasan kotak penalti Perak. Dua minit sebelum rehat Stadium Shah Alam kembali bergema dengan pekik sorak apabila pemain lincah, Elie Aiboy meletakkan Selangor kembali mendahului 2-1.

Dari jarak 25 meter Aiboy sambil berlari melepaskan rembatan dari jarak 25 meter terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Mohd. Hamsani. Selangor mengukuhkan kedudukan apabila Fuentes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68 hasil sepakan lambung tinggi dan Bambang menambah gol dengan tandukan ke penjuru gawang Perak, tiga minit sebelum tamat.

Perak pula merapatkan jurang dengan gol kedua menerusi tandukan pemain gantian, Mohd. Nor Ismail, dua minit sebelum permainan berakhir.

PERAK: Mohd. Hamsani Ahmad, Marian Juhas, Syamsul Mohd. Saad, Shahrulnizam Mustafa, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Chan Wing Hoong, Keita Mandjou, Abdoulaye Troare, Wirat Nom, V. Thirumurugan, K. Yoganathan.

SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad Tarmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Elie Aiboy, Brian Fuentes, K. Sanbagamaran, P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran, Bambang Pamungkas, Muhammad Shukor Adan.

     
 
 
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: [email protected]