21 Januari 2019

UMNO2003 :: BERITA

17/06/2003
Harakah tarik balik penyiaran kartun hina Dr M

Harakah tarik balik penyiaran kartun hina Dr M

18/06/2003 12:53 a.m.

KUALA LUMPUR 17 Jun - Harakah hari ini menerusi satu kenyataan memutuskan untuk menarik balik penyiaran kartun Zunar yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Di samping itu Harakah juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan penyiaran lukisan tersebut tanpa merujuk secara khusus pihak-pihak yang dimaksudkan.

Menurut Ketua Pengarangnya, Zulkifli Sulong, pihaknya menganggap perkara berkenaan sebagai sesuatu yang tidak disengajakan dan langsung tidak berniat untuk menghina sesiapa.

``Ia terpulang kepada pihak yang menafsirnya kerana mengikut tafsiran kita, kartun tersebut tidak merujuk kepada mana-mana pihak,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia hari ini.

Harakah bilangan 1241 yang bertarikh 16-30 Jun menyiarkan lakaran Dr. Mahathir (yang dilukis berhidung khinzir) secara bersebelahan dengan gambar khinzir yang kononnya menjadi punca merebaknya SARS.

Semalam, pelbagai pihak membidas sikap Harakah yang dianggap begitu melampau kerana bertindak di luar batas.

Kata Zulkifli, keputusan menarik balik tidak bermakna akhbar Harakah yang sedia ada di pasaran akan ditarik balik.

``Kita tidak akan berbuat demikian cuma penarikan balik ini sekadar formaliti di samping untuk meredakan keadaan memandangkan ada pihak-pihak yang tidak senang dengan kartun tersebut.

``Bagaimanapun, Zunar masih belum dimaklumkan mengenai penarikan balik ini,'' jelasnya.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
[email protected]