saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 07/09/2014

Ulang tahun bonda

Hujan sudah lama tidak membasahi bumi kami. Mungkin kerana air mata kami sudah cukup membuatkan tanah ini basah dan sentiasa basah.

Langit di sini juga sudah lama runtuh. Dan kami perlahan-lahan sedang bangkit membina langit, membina awan dan memintal pelangi.

Sejak hujung tahun lalu kami diuji. Satu demi satu dugaan menimpa. Kami hampir bangkit selepas satu dugaan tetapi kami jatuh kembali dan begitulah hingga detik ini kami jatuh dan bangkit, hati kami sudah terluka, terlalu banyak.

Yang paling terseksa tentu saja bonda. Bonda yang kerap menangis dan merintih.

Bonda perempuan yang kuat kami tahu. Bonda pada usianya sudah menempuh pelbagai duri dan ranjau.

Usia bonda adalah saksi bonda hidup merentas dugaan dan cabaran untuk terus hidup.

Kejujuran bukan lagi percuma. Dan bonda terlalu tahu dia harus menjadi kuat dari kami.

Bonda sejak akhir tahun lalu belum langsai sebaknya. Bonda kerap menangis.

Tapi kali ini kata bonda, sesudah lama dia tidak menangis sebegini nikmat, alangkah sedih dia menikmati nikmat menangis pada ulang tahun kelahirannya..

Kata bonda dia tidak pernah merasai nikmat menangis yang sebegini. Nikmat menangis yang penuh telus, luhur dan jujur. Nikmat menangis yang mahu dirasanya beradab-abad lama.

Kata bonda, selama hidupnya inilah nikmat menangis yang dimimpikan.

Selama ini setiap kali dia menangis, seluruh tubuhnya terasa sakit. Bahunya yang tua seksa menahan getar tangisan dan jantung ada kala terasa bagai mahu tercabut mengenang seribu satu kemungkinan. Tentang malam dan siang, tentang susah dan senang kami, anak-anaknya.

Tapi nikmat menangis pada ulang tahun kelahirannya kali ini terasa lain benar. Menangis yang nikmat, amat.

Saya tahu kebelakangan ini, bonda memang mudah menangis. Mungkin usia yang tua menjelaskan keadaan itu. Orang tua hatinya rapuh. Mudah tersentuh, mudah juga berderai dan berkecai kalau tidak ditangani dengan betul.

Abang-abang saya tidak pernah peduli tentang bonda. Kata mereka adatlah apabila tua semua perkara menjadi isu. Malah teh yang kurang gula pun jadi isu.

Aneh! Bonda dalam meniti usia tuanya, menjadi semakin aneh. Sewaktu kami anak-anak mendoakan bonda terus sihat dan sejahtera, bonda sebaliknya. Dia berdoa untuk menangis dengan penuh nikmat.

"Orang tua dan tangisan itu tidak berpisah, apabila kita semakin tua hati kita makin tersentuh," itu kata bonda sewaktu saya menyeka air matanya seraya memintanya jangan lagi menangis.

"Jadi bagaimana menzahirkan rasa gembira kalau tidak menangis?," bonda bertanya.

"Ketawa" saya menjawab.

"Banyak ketawa hanya akan menghitamkan hati,"

"Banyak menangis nanti jadi Kassim Selamat," saya menjawab dan bonda tersenyum.

Tapi sungguh, bonda memang kerap menangis. Apatah sebulan dua ini, bonda diuji dengan pelbagai musibah. Anak-anak bonda, berperang secara terbuka, caci mencaci, kafir mengkafir malah menafikan hak anak lain apabila melakukan pelbagai gerak silat, sepak terajang, langkah melangkah untuk memegang tampuk kuasa.

Dan dalam masa yang sama, bonda perlu menanggung luka waktu nyawa anak-anaknya diragut, satu persatu di tanah utara di bawah bayu.

Kata bonda, semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, bonda halalkan susu yang diberikan kepada mereka dan bonda doakan mereka dimasukkan ke syurga tanpa hisab kerana sesungguhnya mereka terkorban sewaktu bertarung dengan musuh yang mahu merobek kehormatan bonda mereka.

Tidak lama pun selepas itu, waktu bonda masih berkabung hati tua bonda bagai runtuh dan berderai waktu anak-anaknya hilang begitu saja di balik awan. Hilang tanpa dikesan, hilang dari radar entahkan mati entahkan masih bernyawa. Bonda tidak pernah tahu.

Hati bonda selalu rusuh memikirkan mereka. Dan seperti selalu, air mata menjadi peneman setia.

"Di mana anak-anakku disorokkan? Apakah dosa anak-anakku pada kalian?," bonda selalu bertanya sendiri. Malah dalam igau, itu juga yang bonda tanyakan.

Kelip kelip kusangka api

Kalau api mana puntungnya

Hilang ghaib disangka mati

Kalau mati mana kuburnya?

Selalu bonda melagukan pantun itu sendiri. Katakan hati ibu mana yang tidak rusuh, sewaktu anak-anak hilang begitu saja dalam sekelip mata.

Tapi saya katakan kepada bonda, bertabah bonda. Tidak semua kematian itu akan bertanda. Walau di mana pun kita, kematian akan datang tanpa atau dengan tanda. Dan bonda akan mengangguk setuju walau mungkin hatinya kurang ikhlas menerima.

Kebelakangan ini, rutin makan malam kami yang sudah berzaman-zaman itu tidak semeriah dulu. Daripada 14 kerusi yang sepatutnya menampung anak-anaknya, hanya beberapa sahaja yang terisi. Selebihnya, ada kerusi tanpa penghuni.

Dan bonda di hulu meja akan duduk termenung memikirkan apa salahnya dia sebagai bonda. Apakah salah dia mengasuh, atau apakah sebenarnya anak-anak ini mahu?

Bonda tidak pernah ada jawapan kerana anak-anak yang membesar menjadi lelaki-lelaki perkasa tidak mahu pun mendengar. Untuk mereka, bonda adalah perempuan yang semakin dimamah usia dan tidak lagi berada dalam arus masa.

Kata mereka, bonda sudah terlalu lama dicengkam nostalgia. Bonda didendangkan dengan lagu-lagu zaman awal merdeka, sedang anak-anak bonda sudah lama menjadi anak merdeka dan tidak berkongsi lagi aspirasi dengan bonda.

"Kisah bonda dan lelah bonda berjuang membangunkan tanah ini dan membesarkan kami hanya relik yang ada atau tidak, kami akan terus berada di sini,"

Bonda diam. Mendengar suara keangkuhan seorang demi seorang anak-anaknya. Ah, bukan sekali dua anak-anak bonda bertekak di meja makan, baling membaling makanan malah juga kerusi.

Kata bonda, anak-anaknya semakin bijak bersiasah, bijak untuk memperjuangkan tekak sendiri. Dan mereka tidak segan silu mempergunakan saudara yang lain.

Bonda tidak pernah mengajar anak-anak ini menjadi derhaka. Bonda tidak pernah mengajar anak-anak ini menjadi kurang ajar juga. Tapi kedewasaan dalam siasah menjadikan mereka lebih bijak. Bijak memanipulasi sementara yang lain rela dimanipulasi.

Kebenaran pada mereka apabila ada yang harus menyalahkan. Sistem kehakiman dikecam, sistem pengurusan pilihan raya juga ditikam. Semuanya salah, semuanya pincang.

Bonda menjadi semakin takut dan selalu saya mendengar suara bonda bergetar-getar berdoa, Tuhanku, bukakanlah pintu hati anak-anakku. Jadikanlah mereka yang bijaksana, bebas dan merdeka!

Kata bonda, dulu runtuhnya sistem demokrasi di sesetengah negara Afrika adalah kerana sindrom yang serupa. Sindrom saling salah menyalahkan dan hilang kepercayaan kepada badan kehakiman dan suruhanjaya pilihan raya.

Dan bonda sangat gentar, penyakit yang sama mewabak dan memusnahkan seluruh kasih sayang yang dibaja dan dijaga selama ini.

Bonda tahu, setiap anak-anak punya kehendak sendiri. Setiap anak-anak punya muslihat sendiri. Mereka mahu menguasai pemikiran bonda, menguasai jantung dan hati bonda untuk menguasai seluruh kepunyaan bonda.

Tapi bonda juga tahu mereka tidak pun berminat menjaga bonda, mengambil tahu sakit atau susahnya bonda. Demam atau tidaknya bonda. Mereka mahu menguasai bonda untuk diri sendiri. Kata bonda mereka sudah lama menjadi hamba materi.

Dan bonda, untuk setiap semua dugaan dan luka yang menoreh hatinya, bonda hanya mengadu pada Tuhan yang adi. Dan bonda akan bercakap-cakap dengan Tuhan, bonda akan meluahkan seluruh duka dalam dada dan bonda akan menangis.

Ya, menangis untuk menzahirkan segala duka.

Kelmarin, cucu-cucu bonda bertanya:

Nenek salahkah kita berkawan dengan orang berlainan bangsa dan agama? Nenek salahkah kalau kita saling sayang menyayangi sebagai saudara kalau mereka berlainan agama dengan kita? Nenek Tuhan tidak marahkah kalau kita melawan orang tua dan menjadi derhaka?

Lama bonda diam, memerhati wajah cucu-cucunya satu persatu sebelum menjawab.

"Kamu tanyalah bapa-bapa kamu kerana mereka sekarang galak menabur benci dalam hati anak sendiri."

Dan bonda bangun, berlalu dengan menangis.

Ramadan lalu, waktu bonda berteleku membawa al-Quran sementara menanti sahur, bonda dikejutkan lagi dengan berita duka.

Anak-anaknya dimangsakan dalam pelan perang geopolitik. Anak-anaknya yang mahu pulang ke pangkuan bonda, mahu mendakap tubuh bonda yang tua hilang dalam sekelip mata.

Bonda terjelepuk di sejadah menangis dengan hati tercedera.

Apakah mungkin dosa anak-anaknya hingga mereka dibunuh sebegitu kejam? Apakah salah mereka? Bonda menangis lagi dan waktu bonda membaca yassin, mengisi gelap malam, saya terasa masuk ikut bersama dalam hati bonda yang sendu.

Waktu itu, perjalanan masa bagai terhenti. Setiap jiwa bagai derita. Melihat bonda menangis, melihat bonda dalam usia tuanya perlu menanggung musibah demi musibah, setiap anak-anak bagai dipanah petir, terkejut dan terpaku.

Setiap mereka terdiam. Bisu dan pucat lesu. Mereka mendatangi bonda kemudiannya, memeluk bonda, mendakap dan mengucup bonda. Mereka malah ikut menangis.

Malam itu, rutin makan malam kami di rumah tua ini kembali seperti zaman-zaman awal kelahiran bonda. Semua kerusi diisi, semua anak-anak bonda ada di sisi.

Wajah bonda mendung terlalu hingga bonda tidak mampu pun mengucap sepatah kata. Bonda pada setiap detik ingatan bagaimana nyawa anak-anaknya diragut, akan menangis.

"Bonda tidak mampu hendak bayangkan, bagaimana ada hati-hati hitam yang bisa meragut nyawa yang lain untuk permainan politik bangsat!" suara bonda bergetar-getar.

Anak-anak bonda berteleku. Semuanya mengangguk setuju.

Minggu lalu, beberapa minggu sebelum tibanya ulang tahun bonda, jasa anak-anak bonda yang melayang di bumi Ukraine, dibawa pulang untuk disemadikan.

Bonda menyambut setiap jasad yang tiba dengan hati yang sangat sengsara. Setiap jasad berbalut jalur gemilang, setiap bekas abu yang bersalut bendera negara itu bonda dakap dan bonda cium.

Kata bonda, walau dalam apa bentuk pun, semua mereka ini adalah anak-anaknya. Mereka adalah anak-anak kandungnya.

Bonda menangis dan setiap anak-anak bonda ikut menangis. Bonda berkabung dan setiap anak-anak bonda ikut berkabung.

Dan itulah harinya, kata bonda dia menangis dengan penuh nikmat.

"Duka rupanya mampu menyatukan setiap hati anakku. Duka rupanya yang mampu membuat kalian bersatu. Hakikat ini benar tetapi berat anak, rupanya duka yang bias menyatukan kita."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.