saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 31/08/2014

HINGYAKU

Dia jiran saya yang tinggalnya di rumah sebelah kiri. Masuk bulan kelima saya menjadi warga kampung yang paginya dingin berselimut kabus tebal, putih seakan-akan gula-gula kapas. Masuk bulan kelima jugalah, saya berjiran dengan satu keluarga misteri, termasuk dia. Melihat wajahnya yang selalu muram itu, saya tidak pasti dia tahu atau tidak menggerakkan kedua-dua bibir dan otot pipinya untuk ketawa.

Jiran saya itu perempuan. Saya tidak tahu dia masih perawan atau sudah bergelar balu. "Kau mahu tahu, kenapa Bi? Berkenan? Uh...baik jangan!" usik Mio, teruna tua dari serambi Asia Tenggara juga.

Usianya juga saya tidak tahu. Barangkali saya jiran yang sangat tidak baik. Hanya tahu mengintai jiran dari celahan jendela. Mengintai wajah muramnya sepanjang pagi, tengah hari, petang dan malam. "Hidupnya rancu!" begitu jiran yang di sebelah kanan memberitahu.

Jika hidup tidak dipenuhi kerancuan, sudah pasti dia tidak muram begitu. Saya kasihan melihat dia. Tinggal bersama beberapa ahli keluarga dalam sebuah rumah agam. Rumah yang dua kali ganda besarnya daripada rumah yang saya huni. Tetapi dia kelihatan tidak terurus. Pakaiannya seperti sudah begitu lusuh, sama lusuh dengan pakaian pengemis di pasar harian yang disebabkan faktor jaraknya, hanya mampu saya jejak sebulan sekali itu.

Tubuhnya kurus. Melengkung sedikit ketika berjalan. Disamakan dengan pohon pinang yang banyak tumbuh di belakang rumah emak di Semenanjung Malaysia, dia sekurus itulah. Jika batang pinang itu tinggi melidi, memanglah tidak boleh tegak terpacak. Mana mampu urat-urat di dalam batang pinang itu menampung batangnya yang tinggi melidi. Kata orang, dia buta huruf. Hanya dia seorang sahaja penghuni rumah agam itu yang tidak tahu membaca dan menulis. Dia tidak berkerudung, walaupun saya dengar-dengar juga, dia muslim satu-satunya dalam keluarga misteri itu. Rambutnya ikal mayang, terletak cantik sehingga ke tengah belakang. Meskipun bersalut pakaian buruk dan berwajah muram, dia sebenarnya tergolong perempuan yang cantik asli.

Dia memandang tegun. Wajahnya kosong. Pandangan matanya juga kosong. "Dahimu kenapa, dik?" ulang saya mengubah sedikit susun ayat.

"Jatuh. Aku jatuh," katanya. Itulah pertama kali saya mendengar suaranya. Setelah mahu masuk bulan kelima, itulah kali pertama. Halus dan lunak tetapi sangat perlahan. Saya tidak percaya sebab mata saya menangkap penipuan di renung matanya. Kemudian mata saya menjalar ke tangannya yang terbuka. Ada kesan lebam-lebam juga. Ada parut lama.

Suatu hari dia datang ke sisi rumah, seakan-akan tahu bahawa pada setiap petang, apabila matahari sudah turun sedikit ke barat, saya akan ada di situ mencabut anak-anak rumput yang mencuri keluar dari tanah.

"Aku tidak jatuh. Aku dipukul," ujarnya. Nadanya monoton. Tiada turun naik. Saya mendongak. Dia sedang berdiri seperti tugu.

"Siapa yang pukul?" Matanya melingas. Rambut yang berjuntaian sedikit di dahinya yang telanjang, terbuai-buai. Musim angin sekarang. Walaupun cuaca panas, angin tetap menyerbu datang.

"Bapamu? Ibu? Abang? Siapa?"

"Semua. Saudara-saudaraku, pak cik-pakcikku. Semua sekali!"

Huh, semua sekali? Tidak siumankah semua orang yang disebut-sebut itu? Apakah pekerjaan mereka setiap hari hanya pukul-memukul sahaja? Atau barangkali dia yang kurang siuman?

"Apa yang kau telah buat sampai semua orang tega memukulmu?" tanya saya lagi.

"Rumah dan tanah ini aku punya!" katanya dan cepat-cepat berpergian. Saya makin diamuk keliru. Jika rumah dan tanah itu kepunyaannya, mengapa dia mesti dipukul? Jika benar dakwaannya, sedang berlaku penderaan hebat di kampung itu. Dengan sedikit rasa kepedulian, saya menemui ketua desa.

"Saya tiada maklumat lanjut. Hanya itu yang saya tahu." Dahi sang ketua yang sudah berumur itu berkerut-kerut semacam sangat prihatin. Dan dia berjanji akan melakukan siasatan.

"Saya akan panggil mesyuarat. Mungkin ada seseorang yang tahu," itu janji sang ketua. Tetapi sudah lebih seminggu tiada apa-apa yang berlaku. Kemudian menjadi sebulan, melarat pula ke separuh tahun. Jika ditanya, jawapannya masih dalam ayat yang sama, "tindakan akan diambil" atau "siasatan masih berjalan." Perempuan yang semacam batang pokok pinang itu semakin melengkung jalannya.

Orang-orang kampung, malahan jiran yang rumahnya di kanan langsung tidak peduli. "Ah, jangan jaga tepi kain orang. Dia kena pukul atau tidak, tiada kena mengena dengan kita. Dia dipukul di rumahnya. Itu pun jika benar dia dipukul. Dan yang memukul itu keluarganya juga. Jika mahu benjol dahi kau, kau pergilah tanya!" kata mereka mengejek.

"Kataku, usah campur. Untung apa yang kau dapat jika kau ikut campur hal rumah tangga orang? Tapi kalau berani juga, kami mahu lihat setakat mana kau boleh membantu!" Kata-kata mereka menyiat jantung hati. Saya seorang pengkaji tumbuhan herba. Saya rela keracunan dalam usaha mencari manfaat Colubrina asiatica, Melastoma malabathricum, atau Cymbopogon nardu.

Sebagai lelaki, saya tercabar! Oleh itu saya tidak lagi mengintai-intai melalui celahan jendela. Siang, jika saya ada di rumah, saya bukakan daun jendela luas-luas. Saya semakin rajin berlegar-legar di tepi rumah sambil melebarkan cuping. Ada empat muka yang sedang mengadap saya seorang. Daripada raut wajah, tiada yang dapat meneka bahawa mereka itu kaki pukul memukul. Perempuan sekurus batang pinang itu tidak kelihatan. Suaranya juga tidak kedengaran.

"Aku cuma mahu bertanya," kata saya sedikit lembut.

"Tentang penghuni rumah ini?" tanya seorang lelaki bertubuh segak, seakan-akan tahu. Lengannya saja sekali hentak, boleh menyebabkan saya koma seminggu. Tapi wajahnya lembut bersahaja. Kontras sekali dengan ruas tubuh miliknya.

"Ya. Aku melihat ada darah di dahinya tempoh hari. Parut-parut luka juga. Dia juga semacam dalam kesakitan. Kalau boleh aku tahu..."

"Dia sakit dan kami menjaganya!" Lelaki yang lain pula memintas. Lelaki yang ini bertubuh kecil tetapi bersuara tegas.

"Kenapa tidak dibawa dia ke hospital di kota. Barangkali di sana lebih baik. Kalau kalian benarkan, aku sudi membawanya," pinta saya dengan doa agar segeralah pertemuan yang canggung itu berakhir. Letih rasanya perlu menjaga bicara dengan begitu berkabilan.

"Kami akan bawa sendiri. Terima kasih," kata seorang lelaki tua, barangkali pak ciknya. Yang seorang lagi perempuan separuh baya, bertubuh gempal, hanya tersenyum-senyum sinis . Sejak datang, saya memang kurang selesa dengan pandangan mata perempuan gempal itu. Ditenungnya saya atas bawah seperti mesin pengimbas polis. Pertemuan yang sebentar itu berakhir. Dia sakit, dakwa mereka. Memanglah kelihatannya dia sakit. Tetapi orang-orang itu tidak menyebut penyakit apa.

Apa yang saya bimbangkan akhirnya terjadi.

"Itu sebabnya aku kata jangan kau memandai-mandai, Taubi!" jerkah ketua desa yang jalannya pengkor sebelah itu. Otot buku lalinya seakan tertonjol keluar tatkala dia berjalan hilir mudik di hadapan muka saya. Dia menjegilkan biji mata menentang kedegilan saya. Saya hanya membatu. Rasa bersalah menjalar ke segenap urat nadi, menyusup masuk terus ke hati.

"Aku sudah bosan dengan jawapan bapak. Asyik-asyik dalam siasatan. Asyik-asyik jawapan yang sama tapi tindakannya nihil". Saya mempertahankan diri meskipun saya tahu, sikap defensif seperti itu tidak bermakna apa-apa.

"Aku tidak mahu terburu-buru. Nanti makin parah perempuan itu menerima bahana!" jerkahnya untuk kali yang kedua. Misai tebal dengan beberapa urat uban itu bergerak-gerak. Hati saya bengkak. Sudah lebih separuh tahun saya adukan hal perempuan malang itu, tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Mengapa saya yang dipersalahkan secara mutlak?

Duduk menghadap cermin kaca jendela yang terkatup, tempias hujan yang menerpa ke cermin kelihatan seperti ribuan kepala berudu yang berebut-rebut meluru ke bawah, kemudian menyerong ke arah belakang selaras dengan kederasan angin yang bertiup. Dalam kabur itu, saya melihat ke arah rumah agam. Semuanya tertutup. Sejak semalam lagi, sebaik-baik sahaja saya melangkah anak tangga terakhir, pintu dan tingkap ditutup rapat.

Saya mendengar tangis melolong selepas itu. Kemudian senyap. Senyapnya membawa hingga ke pagi. Tengah hari. Petang. Dan kerana senyap itulah yang membawa saya ke rumah ketua desa pada malamnya.

"Kita pergi menjenguk, mahu?" ajak saya. Sekali lagi ketua desa mencerlangkan matanya. Dia memang sangat marah. Sudahlah orang asing, masih suka menjaga tepi kain orang keliling! Mesti begitu detak hatinya.

"Tidak payah menyibuk lagi. Barangkali mereka sudah pindah. Itulah akibatnya kalau tidak sabar-sabar. Lain kali dengar cakap aku sebab aku ketua!" jerkahnya kuat. Saya diam sahaja, tiada guna bercekcok dengan orang tua yang panas baran itu. Nanti boleh tuli telinga saya menerima jerkahan yang bertalu-talu. Lagi pun dia sudah memberi amaran, saya hanya insan di pinggiran, bukan warga asli negara itu!

Ada benarnya jika bapak ketua desa menjadi pijar seperti matahari. Memandai-mandai saya menemui warga rumah agam itu, dan entah apa yang sedang berlaku kepada perempuan kurus sekeping. Barangkali ketua desa sedang mengatur gerak perlahan, memasang perangkap yang tidak mungkin mampu dielak. Sepatutnya saya belajar bersabar, biar pun akan memakan masa setahun dua tahun.

Hati saya susah, fokus kerja terganggu. Dalam kantung minda hanya ada perempuan itu. Bimbang sekali akan nasibnya. Entah-entah dia sedang nyawa-nyawa ikan. Atau sudah mati dibelasah tangan dan kaki perkasa. Kemudian ditanam dalam lubang yang disimen. Sama seperti yang biasa saya baca dalam berita kolum jenayah di akhbar perdana! Jika demikian yang terjadi, saya yang bertanggungjawab atas matinya perempuan malang itu!

"Tuhan, janganlah!" saya berdoa. Aneh juga sebab saya mengambil berat akan perempuan itu dan nasibnya. Benarlah kata Mio, saya memang lelaki aneh.

"Elok kau berhenti kerja, Bi. Jangan lagi masuk ke hutan mencari tumbuhan herba. Kau jadi wartawan sahaja. Atau penyiasat!" usik Mio dengan ketawanya yang sinikal.

"Bukan! Saya bukan jenis penyibuk. Salahkah saya jika saya akhirnya jatuh hati. Daripada simpati, hati saya telah jatuh dengan sebenar-benarnya!

"Sejak bila, Taubi? Kau memang gila!" Mio tiba-tiba menyinga.

"Entah. Aku tidak tahu. Tapi aku kasihi dia," akhirnya saya membuat pengakuan. Mio melutut di hadapan muka saya. Dia menampar-nampar pipi seakan-akan mahu menyedarkan saya daripada nyanyuk yang panjang.

"Namanya pun kau tidak tahu, Taubi. Entah siapa dia. Kau ini mengapa, Taubi? Sudah tidak siuman? Beginilah, kawan. Kau ambil cuti dan pulang ke tanah airmu. Berehat dahulu dan apabila tenang, kau datang semula," saran Mio sungguh-sungguh. Oh, baru saya teringat. Saya tidak tahu namanya. Nama pemilik tubuh kurus kering itu siapa? Mariyem? Salamah? Atau Farida?

Baiklah. Mungkin kali ini saya kena mendengar nasihat si teruna tua Mio. Saya perlu melupakan perempuan itu dan kisahnya yang misteri. Maka saya pun merancang mahu pulang. Tetapi sebaik-baik sahaja saya mahu melangkah pergi dari negara kecil di hujung kepala Semenanjung, hati saya seperti ditarik-tarik untuk menjenguk rumah agam itu. Mendekati bahagian dapur rumah bertiang kukuh itu, saya terbau sesuatu yang kurang enak. Hamis dan meloyakan. Bau mayat! Dada saya berdenyut-denyut. Pasti tekaan saya tepat. Perempuan itu! Saya tendang pintu belakang. Daunnya terkuak luas. Bau meloyakan semakin mendekat. Saya hampir termuntah di situ. Saya tekup hidung semahu-mahunya. Mata meliar mencari punca. Ah, di situ dia! Ya Allah, dia masih bernyawa.

"Abang..." dia bersuara lemah. Saya meluru ke arahnya. Bau busuk makin menusuk. Saya termuntah. Di sisinya ada batang kayu yang besar. Dan tidak berapa jauh dari situ, adalah punca yang membuatkan saya termuntah lagi beberapa kali. Mayat-mayat bergelimpangan.

"Apa yang berlaku?" tanya saya dalam bahasanya sambil mencempungnya keluar ke halaman. Bau busuk menjalar keluar.

"Aku sudah tidak dapat bertahan lagi. Sepanjang hidup, aku dipukul. Mereka bunuh ibu bapaku, memperkosa kakak dan adik perempuanku sehingga maut. Mereka mahukan rumah dan tanah ini, tapi malangnya aku tidak mati-mati. Selepas abang datang, aku dapat kekuatan. Sungguh. Aku tidak menipumu. Engkau beri aku kekuatan sebab hanya engkau sahaja yang pernah bertanya khabarku sepanjang hayatku ini. Orang lain tidak pernah peduli. Mereka hanya memandangku sebelah mata. Beberapa hari lepas, aku dipukul lagi. Lebih teruk. Aku hampir mati," katanya teresak-esak. Suaranya semakin lemah.

"Bagaimana..." saya mencelah di celahan bau hapak rambunya, "bagaimana mereka itu mati?"

"Aku meracuni mereka. Tetapi pak cik tidak keracunan, dia menyerangku. Aku pukul pak cik dengan kayu. Aku sudah tidak tahan lagi!" Dia tercungap-cungap kehausan. Saya menceduk air di sisi tiang rumah dan dia minum dengan rakus. Si perempuan itu yang hidupnya tertindas, telah meledak seperti gunung berapi pendam. Dia akhirnya bangun melawan dengan caranya sendiri.

"Aku pembunuh. Serahkan sahaja kepada pihak berkuasa. Aku sudah tidak kisah!" dia menyebut ayat itu satu persatu. Lembut dan syahdu. Saya memandangnya penuh kasih dan kasihan.

"Namaku Rohingya. Namamu?" katanya dan dia tersenyum! Pertama kali saya melihat perempuan itu tersenyum.

"Panggil aku Taubi". Kami saling berkenalan akhirnya. Dan dia terus tersenyum saat pihak polis mengiringinya ke ambulans. Saya memandangnya sayu. Mio menepuk bahu saya.

"Aku tidak akan mati, abang. Rohingya tidak akan mati biarpun tiada siapa yang peduli!"

Sepanjang perjalanan pulang ke tanah air, saya menangis. Saya menyimpan namanya di kamar hati, nama timang-timangan yang saya cipta sendiri. Hingya...oh Hingyaku!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.