saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 24/08/2014

Topeng Topeng di ITBM

FAUZIAH Nawi (tengah) bersama-sama sebahagian pelakon Topeng Topeng yang akan dipentaskan di Kuala Lumpur, September ini.

KEINDAHAN bahasa, kehalusan sindiran satiranya serta sifat maskulin yang ada kepada puisi Topeng Topeng, karya Sasterawan Negara Baha Zain menjadi tarikan kepada aktivis teater, Fauziah Nawi untuk mementaskan puisi ini.

Usaha itu juga adalah sebagai gerakan untuk melanjutkan jangka hayat sesebuah buku mahupun karya untuk terus dihayati oleh masyarakat selain daripada difahami oleh generasi muda hari ini.

Mendapat kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Topeng Topeng diterbitkan oleh produksi Stefani Events atau dulu dikenali Sanggar Teater Fauziah Nawi.

"Melihat kepada kehebatan puisi Topeng Topeng ini, saya rasa terpanggil untuk mementaskannya dalam bentuk teater. Pada mulanya saya sendiri berjumpa dengan Baha Zain untuk menyatakan hasrat saya.

"Alhamdulillah beliau terima dan merestui karyanya itu untuk dijadikan naskhah teater. Kemudian saya berjumpa dan berbincang dengan Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khir Ngadiron untuk bekerjasama mementaskan karya ini.

"Ternyata kedua-dua perjumpaan dan perbincangan ini menemui jalan yang baik," jelas Fauziah pada sidang media teater tersebut di ITBM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa karya Sasterawan Negara yang lain seperti Usman Awang dan S. Othman Kelantan, Fauziah yakin mampu merealisasikan pementasan kali ini melalui pengalaman yang ada.

"Seperti yang dilakukan Baha Zain dan Sasterawan Negara yang lain, mereka membenarkan saya untuk mengubah sedikit cerita asal mengikut kesesuaian namun jalan cerita tetap sama.

"Buat masa ini kerjasama dengan golongan sasterawan ini memang memberikan pengalaman baru dan berharga kepada saya.

"Kebanyakan Sasterawan Negara yang saya lihat cukup tegas dalam kerjaya namun sebenarnya mereka semua cukup romantik," jelas Fauziah sambil ketawa.

Keunikan teater ini terletak pada jalan cerita tanpa plot berlandaskan sebuah karya puisi, selain susunan bahasa yang indah dalam menyampaikan jenaka dan sindiran yang seharusnya membuka minda serta mendidik para penonton.

Teater ini secara keseluruhannya membuka imaginasi penonton terhadap persembahan ekspresif daripada bait-bait puisi Baha Zain oleh pelakon tanpa plot khusus membentuk jalan cerita.

"Tajuk Topeng Topeng dipilih daripada puisi Baha Zain yang popular yang isi dan maksud puisi ini dijadikan tema skrip.

"Puisi-puisi beliau yang lain dipilih untuk menyokong dan membantu perkembangan tema dan plot teater ini," tambah Fauziah.

Topeng Topeng sebelum ini pernah dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2008.

Cetus cinta

Selain itu usaha ini juga dilihat untuk mencetuskan rasa kecintaan generasi muda terhadap karya kreativiti yang hanya dilihat pada perspektif sebagai bahan bacaan semata-mata.

Baha Zain atau nama sebenarnya Baharuddin Zainal terkenal dengan puisi-puisi yang berbahasa indah tetapi mudah untuk difahami oleh semua golongan.

Puisi-puisinya walaupun ditulis pada era 60-an dan 70-an tetap melahirkan kepelbagaian rasa dan emosi ke arah mencari keseimbangan sikap dalam kehidupan.

Pementasan teater ini membariskan gabungan nama besar antaranya Fauziah Nawi dan Sabera Shaik selain Azman Hassan, Farah Ahmad, Chi Adzim, Yanee Ahmad Zulkifli, Mohd. Nor Hafis dan Raja Emy Shahril.

Topeng Topeng akan dipentaskan selama lima hari bermula 8 hingga 12 September ini di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM15 manakala RM 10 bagi pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi. Tiket-tiket boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau hubungi Norzaiti Abdul Talib 03-41451840.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.