saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 17/08/2014

Mengapa penerima belum diumum?

PENERIMA Anugerah Persuratan Asia Tenggara atau lebih popular dengan nama S. E. A. Write Award 2014 sehingga ke tarikh ini nampaknya belum ada tanda-tanda hendak diumumkan. Masuk bulan September lazimnya penerima mula bersiap-siap ke Bangkok, Thailand untuk majlis penyampaian anugerah yang gilang-gemilang di The Oriental, Bangkok.

Namun, sehingga di penghujung Ogos ini, berita tentangnya terus sepi. Masyarakat sastera di luar tentunya terus ternanti-nanti, siapakah yang akan dinobatkan untuk kali ini. Walaupun pada dasarnya anugerah ini bukan pemberian atau pengiktirafan negara Malaysia, penerimanya tetap berbangga kerana pertama, dia mewakili negara setelah diangkat sebagai penerima satu pengiktirafan tinggi yang dikeluarkan oleh gabungan NGO di Thailand.

Kedua, pemenang boleh berbangga menjadi antara 10 pengarang atau sasterawan yang dikira terbaik dalam tahun 2014 ini. Walaupun istilah terbaik ini tidak begitu tepat kerana kriteria penilaian yang turut mengambil kira pencapaian sejak berdekad-dekad lama dalam penciptaan sastera kreatif. Apa sekalipun, apabila terpilih sebagai penerima S. E. A. Write Award mahu tidak mahu, seseorang pengarang itu dapatlah dianggap sebagai pilihan terbaik untuk sesuatu tahun itu.

Tahun ini khabarnya genre yang menjadi pilihan Malaysia ialah puisi. Hal ini merupakan giliran setelah sebelum itu Zean Kasturi telah menerimanya melalui genre puisi, diikuti Ismail Kassan dalam genre drama, dan terbaru, yakni 2013 yang lalu, Malim Ghozali Pk menerimanya mewakili genre cerpen/ novel. Giliran puisi sering kali menjadi persaingan yang sengit kalau dikira dalam konteks Malaysia kerana genre ini cukup banyak calon yang berpotensi.

Akan tetapi, siapakah calon-calonnya untuk tahun 2014 ini. Setakat ini tiada siapa yang membuka mulut. Urus setia anugerah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga kelihatannya berdiam diri. Keadaan ini menyebabkan masyarakat sastera di Malaysia yang berminat mengetahui perkembangan pemenang anugerah ini tertanya-tanya dan ternanti-nanti.

Penantian itu satu penyeksaan. Ini ungkapan klise yang rasanya masih relevan digunakan. Akan tetapi, rata-rata penggemar kesusasteraan di luar mula mencongakkan beberapa nama yang difikirkan sesuai untuk dibawa ke dalam perbincangan sehingga ini.

Perlu disebut bahawa pemilihan penerima S. E. A. Write Award dari Malaysia bukan sahaja memperhitungkan bilangan buku dan karya, tetapi juga sumbangan pemikiran juga, sumbangan bakti untuk satu jangka masa yang barangkali agak panjang dan impak karya kepada bidang kesusasteraan.

Ukuran ini sudah terserlah sejak beberapa dekad yang lalu. Dan, ia masih diguna pakai sehingga pemilihan penerima tahun 2013 yang lalu. Sebagai khalayak sastera biasa, kita tidak mengetahui atau diberitahu apakah kriteria ini sudah diubah, diperbaharui ataupun masih mengekalkan kriteria sedia ada. Beberapa maklumat yang terpampang di mana-mana media di Thailand khabarnya genre cerpen yang riuh-rendah diperbincangkan di negara Gajah Putih itu.

Jika cerpen yang dijadikan ukuran penilaian tahun ini, Shapiai Muhd Ramly, Osman Ayob, Jasni Matlani, tentu berada dalam senarai pencalonan. Akan tetapi, daripada sumber yang tidak rasmi, tahun ini Malaysia menetapkan genre puisi. Kalau begitu, sekali lagi nama Shapiai Muhd Ramly dan Jasni Matlani tidak boleh diketepikan kerana kedua-duanya kuat dalam genre-genre ini. Zainal Rashid Ahmad juga kuat dalam genre cerpen, manakala dalam bidang puisi beliau kurang menghasilkannya.

Jika difokuskan genre puisi, pengarang-pengarang veteran yang mantap berkarya sejak dahulu tentulah antaranya Darma Muhammad dan Wadi Leta S. A di Kelantan, Adi Badiozaman Tuah di Sawarak, Ahmad Sarju dan Ahmad Razali Hj. Yusoff di Selangor, Zam Ismail di Johor selain Shapiai Muhd Ramli, Mahaya M Yassin di Negeri Sembilan, Siti Zaleha Hashim, Sutung Umar R.S dan A. Aziz Deraman di Kuala Lumpur, Marzuki Ali di Terengganu, Fuzi Hadi di Kedah, Rejab F. I di Perlis, sementara Zaiton Ajamain di Sabah selain Jasni Matlani.

Jika diukur dari segi perhitungan lama berkarya, semua nama yang disebutkan sememangnya sudah lama menabur jasa dalam bidang kesusasteraan tanah air. Nama-nama ini bukan sahaja lama berkarya akan tetapi konsisten juga. Ada yang mungkin berehat setahun dua, namun ‘kehilangan’ karya dari media massa tidak sama sekali menunjukkan mereka menjauhkan diri atau lesu berkarya. Setiapnya telah menunjukkan konsistensi yang amat luar biasa.

Demikian dari segi impak karya, kesemua nama yang dibariskan sekiranya dibincangkan di peringkat panel kelak memang menyukarkan penilaian kerana setiap penyajak ini menunjukkan impak karya yang besar dalam jalur kesusasteraan kebangsaan. Antaranya, jika diambil beberapa contoh Zam Ismail, Ahmad Sarju, Rejab F.I, dan Adi Badiozaman Tuah merupakan pemenang Hadiah Sastera sejak awal tahun 1970-an lagi.

Hal ini sukar dijadikan alasan kalau hendak menafikan sumbangan bererti mereka terhadap kesusasteraan kebangsaan kita. Fuzi Hadi pula merupakan salah seorang ‘pejuang’ puisi 3V yang dipelopori AGI atau A. Ghaffar Ibrahim. Fuzi dilihat sangat tekal dengan aliran yang digemarinya ini. Fuzi semakin berisi karya-karyanya, demikian Zam Ismail walaupun Adi Badiozaman Tuah dan Rejab F. I agak ‘kendur’ akhir-akhir ini.

Kriteria

Kita tidak tahu apakah lagi kriteria yang digunakan, akan tetapi jika diteliti pola pemilihan tahun-tahun kebelakangan ini, kemenangan dan pencapaian dalam sayembara juga nampaknya tidak diambil mudah. Hadiah sastera di Malaysia bagaimanapun tidaklah banyak.

Selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang berpusat di DBP, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil (HSKU) merupakan hadiah yang diiktiraf dan paling konsisten di Malaysia. Hadiah ini satu-satunya yang tidak pernah terhenti sementara HSPM pernah terbantut untuk beberapa tahun selepas pemberian hadiah dalam tahun 1976. Ada juga Hadiah Sastera Darul Takzim dan beberapa yang lain yang dianjurkan di peringkat negeri. Pada tahun 2013 yang lalu, ITBP-BH menganjurkan pertandingan mengarangnya sendiri.

Beberapa nama yang disenaraikan di atas tentunya terkeluar kerana tidak begitu menonjol sebagai pemenang terutama HSPM yang dianggap terbaik dan tertinggi. Siti Zaleha Hashim dan Marzuki Ali paling baru membolot hadiah utama kumpulan puisi HSPM yang bernilai RM10,000. Pengiktirafan ini membolehkan kedua-dua mereka berada dalam senarai di atas, jikalau kemenangan dalam HSPM antara lain dijadikan ukuran utamanya. Jika tidak, penerimaan penyair dalam HSPM dan HSKU kategori puisi eceran tentulah membuka semula persaingan menjadi lebih lebar semula.

Penerima S. E. A. Write Award merupakan penghormatan di Thailand. Dengan layanan kelas satu di The Oriental, sebuah hotel tertua dan sangat ternama di pinggir Menam Chaophraya itu dan disampaikan pula oleh Tengku Mahkota Thailand atau kerabat diraja yang lain, serta aktiviti ketat sepanjang minggu penerima sudah tentu membawa kebanggaan sebagai duta sastera setiap anggota ASEAN.

Di negara masing-masing, karya akan mula diperkatakan. Diskusi karya mula memenuhi acara-acara di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Di sesetengah negara, buku-buku karya pemenang melonjak jualannya.

Masyarakat dan khalayak sastera di Malaysia tentunya tidak mahu dibiarkan tertunggu-tunggu tanpa sebarang maklumat dan pengumuman setelah mereka menantinya sekian lama, sejak beberapa bulan yang lalu pastinya.

Keterujaan ini sebenarnya memberi petanda bahawa kesusasteraan Malaysia masih mempunyai khalayak yang peka dan prihatin. Ia juga membuktikan bahawa anugerah ini antara yang masih segar dan subur dalam fikiran selain Anugerah Sastera Negara yang sering kali menjadi topik hangat perbincangan dari semasa ke semasa.

Hendaklah pihak sekretariat di DBP tidak lagi membisu. Mereka sudah boleh sebenarnya, jika mahu, memberikan bayangan awal supaya dapat meredakan rasa ingin tahu yang mencengkam.

S. E. A. Write Award adalah harapan yang masih bersisa di persada kesusasteraan tanah air kepada penulis-penulis kita kerana pemberian Anugerah Sastera Negara sudah menjadi terlalu berprestij sehingga hanya nama-nama tertentu sahaja yang mampu disebut sebagai calon penerimanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.