saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 09/08/2014

Realisme baru Zainal Rashid

Franz Roh, pemikir Jerman dalam bidang sejarah seni telah menulis tentang perkembangan baru seni lukis yang bertolak keluar daripada ekspresionisme, sebagai pasca ekspresionisme. Roh menulis aliran pasca ekspresionisme ini sebagai landasan kepada perkembangan realisme magis; dalam sejarah seni lukis pada dekad 1920-an di Eropah. Apa yang dilihat oleh Roh adalah bagaimana aliran baru yang bertolak daripada ekspresionisme telah kembali kepada realisme tetapi dalam bentuk yang lebih segar dan baru, serta membawa stail yang mempunyai kecenderungan lebih abstrak. Pasca ekspresionisme yang realistik, berfigura, dan kritis dilihat bertentangan gaya ekspresionisme sebelum ini. Roh melihat bagaimana di sini, teks bertolak daripada realisme dan bukan kembali kepada realisme. Pada peringkat awal bagi menyatakan perkembangan pasca ekspresionisme yang merupakan suatu bentuk perpanjangan daripada realisme; Roh menyatakan aliran ini sebagai Realisme Baru.

Sesuatu yang menarik untuk diperbincangan dalam konteks teks sastera, pendekatan melihat kecenderungan pasca ekspresionisme sebagai realisme baru lebih menepati; walaupun ia kemudian menjadi asas kepada melihat kemunculan realisme magis (Magical Realism) di Eropah dan dunia umumnya. Daripada apa yang dikemukakan oleh Roh, melihat karya sastera yang bertolak daripada apa yang disebutkan sebagai 'perpanjangan daripada realiti' ini sebagai aliran realisme baru adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan.

Realisme baru sangat gemar memanfaatkan sejarah dalam menghubungkannya dengan tradisi dan budaya, malah unsur ontologikal (agama) dalam konteks keperibadian bangsa - yakni memperjuang dan melestarikan keperibumian. Sejarah dijadikan motif kepada pelestarian keperibumian; yang dimunculkan dengan ciri-ciri ekstravaganza melalui sesuatu yang fantastik, luar biasa dan perberaian objek. Kuda berjalan di atas awan, kota yang digambarkan syurga ataupun dihuni kegelapan, atau manusia yang boleh menjadi harimau; adalah contoh perberaian/penganehan objek sehingga realiti dilapis-lapis oleh magis, sekali gus meleburkan sempadan realiti dan luar realiti itu sendiri.

Empunya Hikayat (Nusabuku, 2014) yang menghimpunkan 13 buah cerpen Zainal Rashid Ahmad memperlihatkan ciri-ciri karya realisme baru yang sangat jelas. Karya-karya Zainal Rashid membukakan pemahaman tentang kehadiran realisme baru dalam sastera Malaysia hari. Beberapa orang penulis turut menggerakkan kemunculan realisme baru hari ini; antaranya ialah Jasni Matlani dalam cerpen-cerpen mutakhirnya. Zainal Rashid boleh dianggap antara penulis penting dalam meneliti perkembangan realisme baru di Malaysia. Lima buah cerpen Zainal Rashid merupakan cerpen lama yang ditulis lebih sedekad yang lepas dan termuat dalam kumpulan cerpen pertamanya iaitu Alkisah (Nusabuku 2012). Sementara lapan buah cerpen selebihnya adalah cerpen baru yang ditulis dari tahun 2011 hingga 2014. Tujuan menggabungkan lima buah cerpen lama dan lapan buah cerpen baru ini adalah untuk meletakkan cerpen-cerpen mempunyai tema yang sama dalam kesatuan tema yang seragam yakni kritikan sosiopolitik. Empunya Hikayat ialah kumpulan cerpen yang dihasilkan khusus untuk menghantar kritikan sosiopolitik yang tajam namun penuh simbolik. Di dalam Empunya Hikayat , kita dapat menemukan sindiran, kiasan, ironi, satira malah sarkastik dan paradoksikal. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Empunya Hikayat ialah sudut pandang keperibumian Melayu dalam konteks sosiopolitik suasana state of stable tension kepelbagaian kaum di Malaysia.

Empunya Hikayat boleh dibahagikan kepada dua fasa dengan fasa pertama mengandungi lima buah cerpen dekad yang lepas, dan fasa kedua adalah lapan buah cerpen dekad mutakhir. Fasa pertama ini diwakili oleh cerpen-cerpen Alkisah Ahmad Pualam, Kristal Makrifat, Geng 10 & Selebriti, Alkisah Tuan dan Saksi, Hantu Toro Lasim dan Hantu Che Mat Kuning. Fasa pertama ini lebih memanfaatkan mitos orang Melayu yang digunakan untuk mengkritik masyarakat Melayu secara intrinsik.

Mitos hantu dan manusia jadian yang hidup dalam budaya orang Melayu digunakan sebagai suatu bentuk pembalikan kesan psikologi dalam mengkritik persekitaran sosiopolitik orang Melayu. Sikap segelintir orang Melayu, khususnya golongan yang berkuasa dalam ekonomi-politik yang mudah hanyut dalam nafsu dan kebendaan sehingga menghancurkan aspirasi perjuangan bangsa dikritik dengan penuh sarkastik oleh Zainal Rashid.

Fasa pertama ini menonjolkan realisme baru dalam bentuk yang primitif yakni bertolak daripada keaslian budaya, atau lingkungan budaya yang sangat primer sifatnya. Ia menggabungkan psikologi bangsa Melayu dalam konteks hubungan dan lingkungan budaya primer bangsa Melayu; dengan situasi semasa yang mencabar keperibumian bangsa Melayu secara intrinsik.

Fasa kedua Empunya Hikayat diwakili oleh lapan buah cerpen iaitu Sekuntum Tulip Beracun, Menentang Kawanan Anjing, Misa Kaum Bakup, Orang Laut Selatan, Layar Jatah Falang, Dewi Syurga & Dewa Perang, Maka Datang Si Fulan Manghayun Itu, dan Hikayat Tanah Danu. Fasa kedua menemukan realisme baru yang lebih jitu dengan perkembangan gaya serta bentuk yang memanfaatkan sejarah, mitos dan realiti yang terlakur bersama. Pelakuran yang berlaku antara sejarah dan mitos ini akhirnya memunculkan sebuah teks yang keluar daripada konvensi realisme menyalin realiti secara bulat-bulat. Sebaliknya ia memberaikan objek-objek sehingga realiti yang hadir telah bertolak keluar daripada realiti yang hadir dalam kenyataan. Apa yang dihadirkan oleh Zainal Rashid kemudiannya dalam cerpen-cerpen ini adalah wajah realisme yang aneh yakni sebuah realisme baru.

Realisme baru lebih daripada soal gaya dan bentuk; tetapi lebih besar daripada itu adalah bertujuan menghantar kritikan-kritikan terhadap persekitaran dan pemikiran semasa. Dalam konteks Empunya Hikayat, Zainal Rashid menghadirkan realisme baru sebagai kritikan sosiopolitik yang berwewenang dalam sudut pandang dan perjuangan keperibumian. Situasi politik mutakhir yang memperlihatkan kemunculan politik baru kononnya, telah memberikan gugatan malah ancaman terhadap hak sejarah dan kedaulatan bangsa peribumi. Politik baru yang kononnya memperjuangkan kesamarataan hak antara kaum hanyalah mitos semata-mata apabila kata-kata muluk kesamarataan, rakyat dan keadilan lebih banyak dieksploitasi untuk mengurangkan hak sejarah orang Melayu sebagai bangsa peribumi, malah bergerak untuk merubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan secara semu supaya ia terlihat sebagai perubahan yang alamiah oleh ruang dan waktu. Lebih buruk, Islam yang termaktub sebagai agama Persekutuan juga dicabar secara terbuka. Di sini, Zainal Rashid bangkit sebagai penulis yang memperjuangkan hak dan kepentingan dari sudut pandang keperibumian yang tekal. Hal ini membangunkan satu lagi ciri penting realisme baru; yakni sudut pandang peribumi yang tertindas atau terancam.

Pada hakikatnya Zainal Rashid melalui Empunya Hikayat telah menghadirkan realisme baru demi membangunkan wacana - melalui penataan pemikiran dari sudut pandang yang sangat khusus dan jelas. Empunya adalah sebuah gugahan politik, budaya, sosial yang meletakkan sastera sebagai wacananya. Empunya Hikayat pada masa yang sama telah membangunkan aliran realisme baru yang mampu bangkit menjadi aliran perkasa dalam sastera Malaysia mutakhir ini, dan juga pada masa akan datang - apatah lagi menghadapi kekalutan politik yang sedang mengancam soal keperibumian yang memerlukan sebuah aliran sastera baru yang perkasa untuk menentang politik. Sebuah magis daripada realiti yang gusar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.