saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 03/08/2014

INDRASYAWAL

INDRASYAWAL tiba-tiba berasa mual. Tekaknya kering tetapi seperti ada lendiran melekit-lekit di lorong kerongkong dan halkum. Perutnya kosong tetapi bergoncang bagai badai yang menggeser tingkap di luar pesawat. Beginikah apa yang dirasai oleh wanita hamil tiga bulan, lebih getir lagi apabila dikejutkan dengan letupan demi letupan? Dia membayangkan sendiri kejerihan itu, menutup mulut dengan tangan kanan, menahan rasa mual.

"Jangan muntah. Jangan muntah sekarang. Tolong tekak. Tolong perut," pintanya dalam hati mengikut rentak jantung.

Semakin ditahan semakin mendugalkan.

"Kenapa dik?" soal seorang wanita gempal yang duduk tenang di sebelahnya. "Mual ya? Ada rasa pening-pening? Loya-loya?"

Indrasyawal menjeling wanita itu sekilas.

"Nah, ambil ini," tanpa diminta wanita itu menghulurkan sekeping beg kertas yang diambil daripada tempat duduk di hadapannya.

Indrasyawal menjeling lagi, kali ini lebih tajam. Wanita itu seperti patung di muzium menunggu Indrasyawal menerima beg kertas pemberiannya itu. Kelopak matanya terkebil-kebil menunggu respon.

"Dik, kalau awak muntah di sini semua orang susah nanti!"

Indrasyawal terasa semakin loya. Mungkin lebih loya dengan kata-kata wanita itu.

"Kak, boleh bagi laluan untuk saya ke tandas?"

Wanita itu menjebikkan bibir dan menoleh ke arah lain. Ternyata wanita yang duduk selesa di bahagian aisle itu enggan memberi laluan kepada Indrasyawal.

Ya Allah, beginikah agaknya keadaan Palestin ditindas? Gaza dikepung dengan tembok batu. Asal Palestin yang dijarah itu akhirnya tinggal menjadi tanah kepungan menghadap lautan. Mereka dikawal dari semua arah. Dari laut, darat dan udara. Tetapi rakyat Palestin yang dihalau dari tanah sendiri tidak pernah menghalalkan walau seinci tanah mereka yang dirompak itu.

"Akak pernah pergi Gaza?" Indrasyawal tetap bertanya walaupun mualnya semakin menjadi-jadi. Dia cuba mencari jalan supaya wanita itu memberikannya laluan untuk ke tandas.

Sepantas kilat wanita itu memandang wajah Indrasyawal yang berkerut-kerut.

"Ga… Gaza? Negara apa?" soal wanita itu.

"Astaghfirullah," Indrasyawal mengulang istighfar sambil menahan muntahnya yang boleh melimpah keluar bila-bila masa saja.

Inilah yang cukup membuatkan hatinya berdukacita. Kadang-kadang terasa loya seperti sekarang apabila ramai yang tidak mengetahui tentang tawarikh Palestin. Seksa benar apabila tekak terasa loya saat sedang berpuasa. Ketika perut kosong dan tekak sekering padang pasir, usus, hati, hempedu, jantung dan organ-organ lain, segala-galanya terasa seperti hendak keluar dari mulut!

"Boleh benarkan saya ke tandas?" pinta Indrasyawal lagi.

"Kenapa tidak muntahkan di sini saja? Daripada tadi saya hulur beg kertas tapi awak tak nak!" dengus wanita itu.

"Minta maaf, saya lebih selesa muntah di tandas. Kenapa Akak tidak mahu berikan laluan sebentar pada saya?"

"Pesawat ni kecil, Dik. Awak tak nampakkah? Laluannya sempit," wanita gempal itu terus berdalih.

"Akak, bukannya Akak perlu berdiri berjam-jam untuk beri saya laluan ke tandas. Sesaat dua sahaja. Kenapa begitu berat untuk 'tolong' saya?"

Ya Allah, beginikah rasanya bahang api penindasan? Minda Indrasyawal seperti sebuah bilik berdinding cermin yang memantul-mantulkan perasaan. Rasa mualnya tidak tertahan lagi, ibarat empangan air yang hampir pecah. Pada masa yang sama, bunyi aneh bersiut di dalam perut.

Menikam

"Tunggu dulu, tunggu," pandangan mata wanita setajam pedang itu menikam mata hitam Indrasyawal. "Awak belum ceritakan lagi pada saya, di mana letaknya tempat yang awak sebutkan tadi. Apa dia tadi? Zaga? Gaga? Ga… Apa tadi?"

"Ga-Za. Ga… Za..." sebut Indrasyawal sebutir-sebutir.

"Gaza?" Wanita itu mengulang, menunggu kalau-kalau Indrasyawal mahu membetulkan sebutannya.

"Ya. Gaza," jawab Indrasyawal tegas. "Sekarang boleh beri saya laluan atau bantuan? Sebelum saya termuntah di sini. Dan sebelum satu pesawat ini berbau muntah dan semua penumpang berasa mual juga."

Indrasyawal menanggalkan tali pinggang keselamatan dan berdiri.

"Cop… cop…" halang wanita itu. "Awak mahu ke mana? Awak belum ceritakan lagi, di mana letaknya tempat yang awak sebutkan tadi," wanita itu menunjukkan minat yang mendalam terhadap Gaza. "Sekarang ceritakan di mana tempat itu."

Indrasyawal berasa cukup letih dengan situasi ini. Terasa seperti hendak muntah di dalam pesawat itu sekarang juga ketika dia sedang berpuasa dan perutnya kosong. Malangnya ada penghalang besar sedang menyekatnya. Indrasyawal memandang tingkap pesawat. Kalaulah tingkap pesawat ini boleh dibuka, mahu saja dia buka dengan segera.

"Okey, begini. Saya mahu bertanya. Kenapa Akak terlalu banyak menyoal pada saya sejak tadi? Akak mahu menyoal atau mempersoalkan?"

"Sebab Akak mahu tahu segalanya. Awak jangan cerita separuh-separuh."

"Tapi Akak, cubalah fahami keadaan saya sekarang ini. Tekak saya sedang loya. Saya boleh muntah bila-bila masa sahaja. Lepas saya kembali dari tandas nanti, saya akan ceritakan pada Akak semua. Semuanya!" Indrasyawal membuat perjanjian.

"Ishh, mana boleh Dik. Awak kena ceritakan sekarang juga."

Ya Allah, beginikah hari-hari yang dilalui oleh saudara-saudara di Gaza? Dalam keadaan serba kekurangan, mereka dibedil dengan misil dan peluru. Di tembak bertubi-tubi. Saat ditembak dengan soalan yang bertubi-tubi oleh wanita ini, mungkinkah pada detik yang sama ini saudara-saudara di sana diserang rejim Zionis lagi?

"Saya janji akan cerita. Tapi minta jasa baik bagi laluan pada saya dahulu," Indrasyawal tidak mahu mengalah dengan perjanjiannya.

"Awak berjanji-janji, awak ingat ini gencatan senjatakah?" soal wanita itu serius.

Ya Allah, beginikah rasanya dikhianati? Gencatan senjata yang diuar-uarkan oleh rejim Zionis buat sekian kalinya tidak lebih hanyalah permainan; persis kanak-kanak bermain dengan rakannya, bertelagah dan cuba melarikan diri. Gencatan senjata sengaja si rejim keluarkan secara tidak rasmi, sebagai satu petanda bahawa mereka boleh menyerang kembali pada bila-bila masa lalu menghalalkan setiap tindakan ganas mereka. Kononnya mereka sudah memberi amaran sebelum serangan supaya orang awam menyelamatkan diri. Tetapi, ke mana lagi boleh mereka melarikan diri di tanah yang dikepung hingga akhirnya jadi seinci?

"Baiklah. Nampaknya Akak memang tidak akan memberikan saya laluan," Indrasyawal menarik nafas sedalamnya. Dia tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakannya. Letih benar mahu melayani golongan penyekat seperti wanita ini.

"Akak tahu Israel?" Indrasyawal menukar soalan.

"Hei, mestilah tahu. Itu negara di Timur Tengah, kan?"

Perasaan Indrasyawal bagaikan sekolah, hospital dan bangunan awam yang diletupkan oleh rejim Zionis, berkecai-kecai lalu menerbangkan debu kekecewaannya.

"Bagaimana Akak boleh tahu kewujudan Israel, tetapi tidak Gaza?"

"Akak pernah melancong ke sana, Dik. Gaza pula ada di mana? Daripada tadi awak asyik sebut Gaza. Tentu ia tempat yang istimewa, bukan?"

Indrasyawal terasa seperti matanya berair, "Bagaimana Akak boleh melancong ke Israel sedangkan pada muka surat pertama pasport kita tertulis - 'Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel'?"

Wanita itu membisu seribu kata.

"Baiklah, kenapa Akak naik pesawat ini dan Akak mahu ke mana nanti?" soal Indrasyawal.

"Kenapa awak mahu tahu?"

"Saja. Akak mahu ke mana?"

"Ini hal peribadi."

"Kenapa terlalu peribadi?" sengaja Indrasyawal mengasak dengan soalan lagi.

Dengusan

Wanita itu menggantikan jawapan dengan dengusan angin yang keluar dari lubang hidungnya. Indrasyawal mula mengesan perubahan air muka wanita itu. Ternyata dia juga sudah mula berasa jengkel dengan serangan soalan bertubi-tubi.

"Baiklah, Akak jawab secara umum. Akak mahu pergi melancong. Akak suka melancong."

Indrasyawal mengangguk. Sudah dapat diterkanya sejak awal wanita itu gemar melancong. Setelah beberapa patah kata terpacul daripada mulutnya wanita itu menceritakan perjalanan kembaranya. Dia pernah mengembara hampir ke kesemua negara di seluruh dunia.

Tetapi apa yang membuatkan Indrasyawal berasa aneh dan bingung, bagaimana seorang pengembara seluruh dunia ini tidak pernah mendengar nama sebuah tempat yang dipanggil Gaza? Tidakkah pernah dia mendengar nama Palestin di televisyen atau Internet?

Gaza - sebuah tanah yang dikurung bagai sebuah penjara. Penjara terbesar dunia, jerijinya tembok batu yang tinggi. Palestin sekian lama diratah Zionis, tetapi rakyatnya cukup mesra dan peramah. Mereka rakyat Palestin melayan tetamu dengan begitu baik tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama.

Inilah pengalaman yang dilalui oleh para aktivis seluruh dunia di Gaza. Setiap kali Indrasyawal mendengar perkongsian ceramah daripada aktivis-aktivis yang berkelana mencari cinta di Gaza, begitulah kisah yang dialunkan suara mereka.

"Awak tak rasa loya dah?" Tanya wanita itu, sambil memasukkan kembali beg kertas ke dalam poket di hadapannya.

Indrasyawal seakan-akan terlupa tadi, dia hampir saja termuntah. Rasa mualnya beransur hilang: "Bila teringatkan Gaza, saya terus terlupa loya di tekak."

Wanita itu menegakkan kerusinya. Sekarang, dia harus mendengar cerita tentang Gaza daripada mulut lelaki itu. Lelaki itu tentu tahu banyak perkara tentang Gaza. Entah jika ada rezeki, bulan depan boleh dia melancong ke Gaza pula. Bulan ini masa untuk dia menghabiskan sisa-baki cutinya di Eropah.

"Gaza sebuah pulau, bukan? Apa yang menarik di Gaza? Pantai? Hutan? Sungai?" Tanya wanita itu sambil membayangkan pemandangan tempat-tempat indah yang pernah dilawatinya sebelum ini. Dia membayangkan Gaza sebuah pulau kecil yang tidak begitu terkenal. Mungkin saiznya jauh lebih kecil daripada Hawaii atau Fiji.

"Gaza sebuah penjara," jawab Indrasyawal bersahaja.

Wanita itu tersentak. Dia menegakkan kerusi. Matanya membulat.

"Dik, awak jangan tipu saya."

"Saya tidak tipu, tetapi Akak yang sudah lama tertipu dengan media massa. Tiada sebab untuk saya menipu."

Seorang pramugari muncul dan bertanya, "teh atau jus?"

"Jus," jawab wanita itu diselubungi sedikit rasa serba salah.

Pramugari itu memandang Indrasyawal sambil menuang jus.

"Oh, tak apa," Indrasyawal menjawab.

Pramugari itu membalas dengan senyuman dan berlalu pergi.

"Jadi, Akak pernah melancong ke sebuah penjara?"

"Awak sudah gilakah?" Ketawa wanita itu mengejutkan beberapa orang penumpang yang tidur dengan nyenyak dan selesa.

Indrasyawal mengetap bibir. Daripada saku jaketnya, dia mengeluarkan beberapa keping gambar. Wanita itu berhenti ketawa dan meneliti perbuatan Indrasyawal.

"Hari kita, kita hidup dalam dunia yang penuh ketidakadilan, Kak. Kemanusiaan diratah dan dilapah kebinatangan saban hari. Tetapi ironi, dunia inilah yang begitu kita cintai seolah-olah kita akan hidup di dalamnya buat selama-lamanya," kata Indrasyawal dengan rendah hati sambil menghulurkan gambar-gambar tersebut. Perlahan-lahan wanita itu menyambut.

Satu persatu gambar itu dilihat. Gambar tembok batu. Inikah penjara Gaza? Gambar kanak-kanak dan wanita terbunuh. Apakah salah mereka?

Realiti

"Tidak mungkin semua ini berlaku," wanita itu menggeleng-geleng kepala, tidak percaya tetapi harus menerima realiti. Sekeping demi sekeping gambar di tangannya ditenung. Jemarinya menggeletar, mengalirkan kesedaran ke akar jiwa. "Mengapa semua ini berlaku?"

Wanita itu tergamam.

"Bagaimana harus saya jawab soalan-soalan ini, Kak? Semuanya kerana kita. Kita menjadi saudara yang tidak peduli akan saudara sendiri. Wanita, kanak-kanak, wartawan serta paramedik yang terkorban dalam gambar ini ialah saudara-saudara kita meskipun tiada pertalian darah."

"Jadi, salah Akak tidak ambil tahu soal ini, bukan?" kata wanita itu, seperti seorang yang baru dilahirkan semula. Suaranya basah saat tebing matanya digenangi air.

"Pada saya, ini bukan soal mencari salah siapa, tetapi soal muhasabah dan kesedaran. Islam mementingkan hubungan ukhuwah dan kasih sayang. Saya, yang tahu soal ini bertanggungjawab menyampaikan pada Akak. Dalam lautan manusia ini, entah berapa ratus juta manusia lagi yang tidak menyedari penjarahan kemanusiaan oleh rejim Zionis ini."

Indrasyawal disapa inti kata-kata Rasulullah dalam sebuah hadis. Umat Islam pada zaman ini bilangannya ramai. Tetapi, ibarat buih-buih di lautan.

"Buih-buih di lautan?" soal wanita itu ingin tahu.

"Kita lemah, Kak! Buih, kalau bergesel atau ditiup angin sedikit saja pun, terus pecah! Banyak, tetapi lemah."

Indrasyawal segera teringatkan sekeping risalah yang diterimanya daripada seorang aktivis Palestin di KLIA sebelum masuk ke perut pesawat beberapa jam yang lepas. Di muka hadapan risalah itu tertulis: Mahu menyumbang untuk saudara-saudara kita di Gaza? Berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjadi Muslim yang benar-benar mengamalkan Islam dalam kehidupanmu…

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami. Untuk orang-orang yang bersabar, sinar kemenangan pasti tiba. Pasti. Mereka berdua diam di kerusi masing-masing, menunggu waktu berbuka. Air mata mengguyur laju. Pada indera dengar, indera lihat dan indera sukma Indrasyawal, kedengaran sayup-sayup takbir kemenangan yang sering dilaungkan pada pagi satu Syawal.

"Indrasyawal, sehingga bertemu syawal nanti, akan mengalirkah lagi air mata ini?"

"Suka atau duka, kita akan terus menangis, Kak, hingga akhirnya… kita semua bertemu Sang Pencipta."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.