saya nak baca ..

SAINS & TEKNOLOGI


ARKIB : 06/10/2014

Mesin bantu ibadah korban

Alat penyembelihan yang membantu mengurangkan penggunaan tenaga kerja.

Ibadah korban merupakan antara ibadah yang dilaksanakan oleh umat Islam dan disambut pada Hari Raya Aidiladha

Ia hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Di Malaysia, ibadah korban tidak kurang hebat juga disambut oleh masyarakat Islam dengan melaksanakan sembelihan lembu dan kambing untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun setelah sekian lama, ibadah tersebut dilaksanakan keadaan menjadi semakin sukar apabila petugas serta penyembelih terpaksa berhadapan dengan jumlah sembelihan yang meningkat saban tahun.

Perkara tersebut turut diakui oleh seorang jemaah masjid Ar-Raudhah, Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis, Hamzan Hashim, 45, yang terlibat secara langsung dalam proses penyembelihan lembu korban setiap tahun.

Ujarnya, kesukaran menumbangkan lembu serta masa yang diambil terlalu lama akhirnya mendorongnya mencipta sebuah sangkar khas untuk memudahkan proses tersebut.

"Alat ini saya namakan sebagai sangkar sembelih mudah alih di reka berdasarkan pengalaman sendiri mengendalikan lembu korban sepanjang tahun.

"Jika tanpa peralatan khas seperti ini, kerja-kerja penyembelihan akan mengambil masa yang panjang," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelas Hamzan, proses menyembelih seekor lembu menerusi kaedah biasa mengambil masa 20 hingga 30 minit.

Bagaimanapun jika menggunakan alatan khas tersebut, masa yang diambil cuma lapan hingga 10 minit.

"Bayangkan jika jumlah lembu korban sebanyak 20 ekor dan ke atas bagi satu-satu masjid, proses melapah dan membahagi-bahagikan daging korban juga akan menjadi lebih lama," katanya.

Dilantik sebagai ketua biro inovatif di masjid tersebut, Hamzan telah mereka sangkar sembelihan tersebut untuk kegunaan mereka pada Hari Raya Aidiladha 2011.

"Pada asal sangkar yang direka menggunakan kaedah manual melibatkan beberapa ahli kariah masjid perlu menurunkan sangkar tersebut sendiri.

"Biarpun secara manual namun rekaan tersebut telah memudahkan kerja-kerja penyembelihan lembu dan kambing pada waktu itu," katanya.

Penggunaan sangkar sembelihan tersebut dilihat lebih mudah kerana ia tidak memerlukan lembu atau kambing diikat.

Selain itu, haiwan yang ingin disembelih juga tidak tertekan kerana hanya beberapa orang sahaja ahli kariah yang diperlukan untuk menggunakannya.

"Berbanding kaedah sebelum ini, haiwan yang ingin disembelih kelihatan tertekan apabila orang ramai mengerumuninya.

"Lebih buruk jika haiwan tersebut bertindak ganas sehingga boleh mencederakan orang di sekelilingnya atau terlepas lari," ujarnya.

Setelah sekian lama digunakan, potensi sangkar sembelihan tersebut telah mendapat perhatian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi sebuah agensinya iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Rekaan Hamzan telah terpilih menyertai pertandingan yang dikelolakan oleh YIM lalu berjaya memenang tempat pertama yang melayakkan dia menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.

Bermula saat itu, rekaannya telah menarik minat Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. (TPM) juga sebuah agensi di bawah MOSTI untuk membantunya mengkomersialkan rekaan tersebut.

"Menerusi TPM rekaan sangkar sembelih tersebut telah dipertingkatkan keupayaannya menggunakan hidraulik bagi menggantikan tenaga manusia," katanya.

TPM juga telah menyediakan dana untuk mencipta sebuah sangkar sembelihan daripada keluli tahan karat dan menambah kemudahan hidraulik yang mampu menampung berat haiwan sehingga dua tan.

Diperkenalkan di Masjid Ar-Raudhah pada Mei lalu, sangkar tersebut beroperasi secara hidraulik dan mudah alih.

"Kini proses menyembelih haiwan korban boleh dilaksanakan seramai tiga orang sahaja berbanding kaedah tradisional yang memerlukan seramai lima orang," katanya.

Tambah Hamzan, peralatan tersebut mudah untuk dioperasikan dan boleh diturunkan sehingga 180 darjah.

Selain itu, lubang untuk memuatkan kepala haiwan sembelihan juga boleh dilaras mengikut kesesuaian dan saiz kepala dan dipasang empat buah tayar untuk memudahkan pergerakannya.

Sangkar itu telah sedia untuk dikomersialkan pada kadar harga RM30,000 dan telah dipatenkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Alat tersebut juga diluluskan penggunaannya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.