saya nak baca ..

SAINS & TEKNOLOGI


ARKIB : 29/09/2014

Dunia ternakan Asmah

Peningkatan kadar serangan penyakit tidak berjangkit seperti arteri koronari, kanser, dan penyakit yang melibatkan sistem cerebo vaskular dalam kalangan masyarakat kini amat membimbangkan.

Sejak beberapa tahun yang lalu penyakit tidak berjangkit telah dikenal pasti sebagai punca utama kematian di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Pengimejan diagnostik nuklear

Kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar kos bagi merawat pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit, namun ia semakin meningkat saban tahun selain peningkatan harga ubat-ubatan di pasaran.

Justeru, terdapat satu kaedah baharu bagi menangani masalah tersebut iaitu dengan mengesan penyakit tidak berjangkit pada peringkat awal bagi tujuan pencegahan.

Antara teknologi yang boleh digunakan dalam proses tersebut adalah pengimejan molekul.

Ini merupakan teknologi pengimejan perubatan moden yang bercirikan visualisasi proses biologi di peringkat awal dalam tubuh manusia.

Menurut Ketua Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear (PPDN) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Abdul Jalil Nordin, seperti juga penyakit lain, pengesanan dan rawatan awal merupakan langkah pengubatan yang lebih berkesan.

Jelasnya, atas fakta tersebut, UPM telah menubuhkan PPDN pada 1 April 2010 dan ia mula beroperasi setelah kelengkapan Pengimejan Hibrid (PET-CT) pertama dipasang di bawah program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ketika itu bagi tujuan diagnostik, latihan dan penyelidikan.

“Penubuhan PPDN dicadangkan dalam tempoh rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2008 dan sejak mula dibuka, pusat ini telah mengimbas kira-kira 500 pesakit," katanya pada majlis memperkenalkan kemudahan tersebut di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Dr. Abdul Jalil, bidang tersebut mengeksploitasi fungsi molekul tertentu sebagai sumber kontras dalam proses pengimejan.

“Proses ini dapat divisualisasi dengan menggunakan teknologi pengimejan termaju seperti alat PET-CT.

“Ia sekali gus membolehkan penyakit dapat dikesan sebelum perubahan sistem morfologi yang terlibat dapat dilihat dengan mata kasar menerusi kaedah konvensional (biasa)," katanya.

Dalam erti kata lain, kaedah pengimejan molekul dapat mengesan penyakit lebih awal daripada kaedah pengimejan konvensional.

“Bidang ini juga dapat meningkatkan pemahaman kita tentang mekanisme pembentukan sesuatu penyakit.

“Malah, ia juga meningkatkan keupayaan kita mengesan penyakit pada peringkat awal untuk pencegahan dan rawatan yang lebih berkesan," katanya.

Kaedah itu juga dijangka dapat menambah baik hasil rawatan klinikal sedia ada dan juga boleh digunakan kepada pesakit yang menghidap penyakit berjangkit.

Pengimejan molekul merupakan bidang yang melibatkan visualisasi fungsi sebenar dalam tubuh badan manusia menerusi teknik imbasan termaju.

Bidang itu juga dapat memainkan peranan yang besar dalam mediagnosia penyakit kanser, jangkitan, keradangan, sistem kardiovaskular dan saraf.

Ia meliputi pelbagai teknik pengimejan diagnostik antaranya penggunaan bahan nuklear seperti Pengimejan Hibrid (PET-CT, molecular-MR dan SPECT-CT) serta pengimejan fungsi MRI berkuasa tinggi.

Teknik klinikal tersebut diguna pakai untuk mengesan penyakit, menilai keberkesanan rawatan serta memantau penyakit sewaktu rawatan susulan.

Pengimejan molekul berbeza daripada pengimejan konvensional melalui penggunaan penjejak biologi (biology tracer) yang dapat dilihat dan dibaca melalui imej yang terhasil.

Keupayaan bidang tersebut membuka peluang dan ruang untuk menginovasi bidang pengimejan perubatan melalui integrasi pelbagai bidang justeru menjurus kearah bidang baharu iaitu sasaran terapi (target therapy).

Sebagai sebuah pusat yang ditubuhkan di pusat pengajian tinggi awam (IPTA), fungsi pusat tersebut dikembangkan menerusi pelbagai aktiviti seperti pengajaran, latihan amali, penyelidikan dan penawaran perkhidmatan klinikal kepada pesakit.

Antara mereka yang terlibat dalam proses pengembangan tersebut adalah kumpulan pakar perubatan klinikal, doktor pelatih dalam Sarjana Pengimejan Diagnostik dan Sarjana Perubatan Nuklear.

Tidak ketinggalan saintis daripada pelbagai disiplin termasuk bidang biomolekul, kejuruteraan bio perubatan, biokimia, farmakologi, fizik perubatan serta radiasi.

Pada peringkat universiti, pusat tersebut merupakan entiti yang mengetuai program penyelidikan Translational Imaging and Nuclear Medicine di bawah kluster Kesihatan dan Kesejahteraan UPM.

Aktiviti penyelidikan dan pengembangan (R&D) berjalan seiring dengan program sarjana dan doktor falsafah sains dalam bidang pengimejan molekul yang dipelopori oleh UPM.

Pada peringat kebangsaan, pusat tersebut berperanan mengembangkan pengetahuan penggunaan secara optimum peralatan PET-CT melalui projek tajaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Terbahagi kepada dua unit utama iaitu Unit Klinikal serta Praklinikal dan Teknikal.

Setiap unit pula terbahagi kepada empat bahagian iaitu pengimejan onkoloji, pengimejan infeksi dan inflamatori, pengimejan kardiovaskular dan pengimejan neurologi.

Unit klinikal menyelaras aktiviti perkhidmatan klinikal yang pakar klinikal dalam ke empat-empat proses pengimejan tersebut.

Bagi unit praklinikal dan teknikal, ia mengkoordinasi aktiviti dalam bidang selain daripada perubatan klinikal seperti protokol dan tatacara pengimejan, kualiti imej yang terhasil, perlindungan sinaran mengion.

Malah, ia juga melibatkan kerja-kerja kalibrasi (tentu ukur) peralatan serta aktiviti yang menglibatkan penggunaan bahan isotop.

Selain melibatkan pakar tempatan, pusat tersebut turut bekerjasama dengan pakar klinikal dan ahli fizik dari Universiti Milan Bicocca dan Ospedale Niguarda, Milan, Itali.

Tatacara pemeriksaan PET-CT untuk bidang onkologi, infeksi, dan inflamasi adalah hasil kerjasama dengan Universiti Hospital Zurich, Switzerland; Hospital Klagenfurt, Austria dan Kolej Universiti London, United Kingdom juga menerusi tajaan IAEA.

Tatacara untuk pemeriksaan PET-CT bagi kardiologi, pusat tersebut bekerjasama dengan Klinik Cleveland, Cleveland, Amerika Syarikat, Institut Jantung Ottawa, Kanada dan Universiti Perubatan Salzburg (Univerisiti Paracelsus), Salzburg Austria serta Ospedale Monaldi, Napoli, Itali atas tajaan UPM.

Terakhir, tatacara pemeriksaan PET-CT bagi neurologi adalah hasil kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Groningen, Netherland atas tajaan PPDN UPM.

Pusat tersebut menyasarkan mereka yang terlibat dalam bidang sama seperti pakar klinikal, saintis yang berkecimpung dalam bidang pengimejan perubatan, farmasi dan farmakologi untuk inovasi ubat baharu serta ahli fizik perubatan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.