saya nak baca ..

SAINS & TEKNOLOGI


ARKIB : 15/09/2014

Kelangsungan pengetahuan tradisi

G. Palanivel merasmikan seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi herba baru-baru ini sambil diperhatikan Dr. Abdul Rahim (kanan) dan Abdul Latif (dua dari kanan).

Di Malaysia, masyarakat Orang Asli antara komuniti yang masih mengekalkan amalan perubatan tradisional sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, komuniti itu juga kini sedang berdepan dengan kemerosotan ilmu pengetahuan tradisi atas pelbagai faktor.

Menurut penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Norini Harun, antara faktor yang menyebabkan ilmu pengetahuan itu semakin merosot adalah kerana generasi masa kini tidak lagi begitu berminat untuk mempelajarinya.

Jelasnya lagi, kemudahan seperti hospital, klinik dan ubat-ubatan moden menjadikan ilmu perubatan tradisional semakin dilupakan.

“Malah ada sesetengah pengamal perubatan tradisional sendiri sukar untuk berkongsi maklumat dan amalan mereka kerana khuatir ia akan menjejaskan pendapatan mereka sebagai pengamal perubatan.

“Selain itu, kurang atau hampir tiada usaha mendokumentasikan amalan serta pengetahuan perubatan tradisional juga menyebabkan ia (amalan) semakin pupus ditelan zaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Orang Asli: Satu Model Dunia sempena seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar tersebut dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha kementerian terbabit, Datuk Dr. Abdul Rahim Nik dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod.

Ujar Dr. Norini yang juga Timbalan Ketua Pengarah FRIM , kekayaan sumber biologi dan asimilasi pengetahuan tradisi masyarakat majmuk merupakan khazanah yang amat bernilai dan perlu dipertahankan daripada pupus.

“Justeru, FRIM mengambil langkah proaktif untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisi terutamanya aspek penggunaan tumbuhan ubatan oleh komuniti Orang Asli Semenanjung Malaysia sejak tahun 2007 lagi," katanya.

Usaha tersebut disusuli beberapa lagi projek dokumentasi komprehensif pengetahuan tradisi masyarakat Melayu pula pada tahun 2013.

Apa yang menarik adalah, kajian yang dipelopori institut tersebut adalah unik kerana penyelidik turut mengambil maklum hak komuniti sasaran selaku empunya pengetahuan tradisi selaras dengan garis panduan yang dimuktamadkan pada konvensyen kepelbagaian biologi.

Pengetahuan tradisi merupakan kepelbagaian ilmu yang diamalkan oleh sesebuah komuniti dan diwariskan dari generasi ke generasi.

Kebiasaannya, pengetahuan tersebut hanya disampaikan melalui lisan menerusi kaedah penceritaan, amalan harian, undang-undang, pantang larang, budaya, upacara dan kepercayaan.

Proses pendokumentasian pengetahuan tradisi bukan suatu usaha yang mudah dan ia turut diakui Dr. Norini yang telah mendepani pelbagai cabaran dalam usaha tersebut.

“Sebelum mula mengusahakannya (pendokumentasian) satu kajian serta penyelidikan berkenaan komuniti itu perlu dilakukan dan dalam ini komuniti yang terlibat adalah masyarakat Orang Asli.

“Setelah kita memahami sosiobudaya mereka, perkara pertama yang dilakukan adalah meminta kebenaran dan persetujuan daripada pemilik ilmu untuk mendokumentasikannya," ujarnya.

Tambah Dr. Norini, adalah amat penting bagi mendapatkan kebenaran tersebut agar pemberi ilmu dan penanya dapat bekerjasama dengan baik.

Selain itu, mereka juga perlu menghormati ilmu dan pengamal perubatan tradisional itu sendiri agar wujudkan kepercayaan dalam hubungan yang dibina.

Bagaimanapun katanya, biarpun maklumat serta ilmu yang telah dikongsikan itu amat bernilai serta boleh menguntungkan negara namun komuniti tersebut perlu juga mendapat manfaat daripadanya.

“Apa pulangan yang akan diperolehi oleh komuniti yang menawarkan ilmu perubatan herba sehingga boleh dikomersialkan secara besar-besaran?

“Di sini pentingnya peranan institut dalam mencari satu mekanisme perkongsian faedah agar kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada usaha ini (pengdokumentasian)," katanya.

Sehingga kini, menerusi usaha pendokumentasian tersebut, hampir 18 herba telah dikenal pasti yang sering digunakan oleh Orang Asli dari suku kaum Semelai berpotensi untuk dikomersialkan.

Namun, apa pulangan yang boleh diberikan kepada suku kaum tersebut bagi membantu serta membangunkan sosio ekonomi mereka khasnya apabila herba-herba tersebut berjaya dikomersialkan.

Projek dokumentasi yang diusahakan oleh FRIM itu bermula dengan perbincangan secara mendalam bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) seterusnya bersama tok batin dan ketua kampung yang terlibat.

Setelah mendapat kebenaran daripada tok batin, satu bengkel khas diwujudkan dalam kalangan masyarakat orang asli bagi menerapkan pemahaman akan peri pentingnya pengetahuan tradisi tersebut didokumentasikan.

Bengkel tersebut dikenali sebagai Bengkel Kesedaran dan juga usaha bagi mendapatkan keizinan sub etnik untuk melibatkan diri dalam projek (prior informed consent).

Bengkel khusus itu diadakan sebanyak dua fasa bagi melatih masyarakat orang asli mengenai kaedah kutipan sampel tumbuhan ubatan sebagai koleksi herbarium dan bagaimana proses pengdokumentasian dilakukan.

Masyarakat Orang Asli turut diberi penerangan bahawa betapa pentingnya memulihara dan memastikan penggunaan tumbuhan herba dari hutan secara tidak keterlaluan.

Seterusnya, mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri untuk memasuki kawasan hutan simpan bagi mendapatkan spesimen tumbuhan herba untuk tujuan rekod dan simpanan.

Pada masa yang sama satu analisis daripada pihak yang berkepentingan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat serta masyarakat Orang Asli serta agensi kerajaan turut dilakukan.

Hasil spesimen yang telah dikumpulkan itu juga akan dianalisis di makmal bagi menyaring fitokimia dan bioaktiviti seperti sebatian saponins, flavonoids, tannin, triterpenes dan sterols pada tumbuhan herba yang telah dikumpulkan.

Bagi penyaringan bioaktiviti, antara sebatian yang ditentu sahkan sebagai agen therapeutic dan kosmoseutikal adalah seperti antimicrobial, antiinflammatory, antiooksidan, antidiabetik, biopesticidal dan sitotoksiti (cytotoxicity).

Setelah mengenal pasti sebatian aktif yang diperlukan, satu prototaip produk kesihatan akan dihasilkan sehingga ke peringkat ia boleh dikomersialkan.

Hasil pengkomersialan produk kesihatan tersebut akan disumbangkan kepada komuniti Orang Asli bagi membantu membangunkan sosio ekonomi masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Kini, satu mekanisme yang telus dan tepat perlu dibangunkan agar sebahagian besar masyarakat Orang Asli perlu mendapat manfaat daripada pengkomersialan tersebut.

Namun, segalanya memerlukan persetujuan daripada kedua-dua belah pihak dengan menjadikan tok batin mahupun wakilnya duduk bersama sebagai sebahagian daripada ahli atau komuniti penyelidikan FRIM bagi menjayakan usaha tersebut.

Ia bukan sahaja dapat memudahkan lagi usaha mendokumentasikan pengetahuan tradisi malah dapat menjalinkan satu kerjasama yang lebih erat di antara agensi kerajaan iaitu

FRIM dan masyarakat orang asli.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.