saya nak baca ..

RENCANA SUKAN


ARKIB : 31/05/2014

Fakta menarik Piala Thomas

RASHID Sidek ( kiri ) merupakan antara tonggak utama yang membawa Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1992.

KEJOHANAN Piala Thomas adalah pertandingan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki yang dinamakan sempena nama bekas Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Sir George Alan Thomas.

Kejohanan pertama yang berlangsung pada 1949 di Queen's Hall, Preston, England telah dimenangi Malaya yang menewaskan Denmark 8-1.

Mulai 1984, kejohanan itu telah diadakan dua tahun sekali berbanding tiga tahun sekali sebelumnya dan format pertandingan juga ditukar kepada lima perlawanan sahaja berbanding sembilan sebelum ini iaitu tiga perseorangan dan dua beregu.

Berikut adalah fakta-fakta menarik mengenai kejohanan itu yang diadakan di Stadium Siri Fort, New Delhi, India, baru-baru ini.

- RASHID PERNAH RANGKUL KEJUARAAN

Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, 46, adalah salah seorang pemain yang bertanggungjawab membantu Malaysia merangkul Piala Thomas terakhir pada 1992 dengan menundukkan Indonesia 3-2.

Pada perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, Rashid sebagai pemain perseorangan pertama telah mengalahkan lawannya dari Indonesia, Ardy Wiranata.

Turut sama menyumbang bakti ketika itu ialah adik beradik beliau, Razif dan Datuk Seri Jalani Sidek selain Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Soo Beng Kiang dan Kwan Yok Meng. Kejayaan itu dikatakan berpunca daripada semangat berpasukan dan tidak mudah patah semangat, sesuai dengan lagu rasmi pasukan iaitu iaitu ‘Fikirkan Boleh’ walaupun Malaysia tidak dianggap pasukan yang kuat.

Beliau turut bertanding ketika Malaysia menjadi naib juara piala berkenaan pada 1988, 1990 dan 1994.

- NASIB PARK JOO BONG

Kemenangan Jepun cukup bermakna buat Ketua Jurulatihnya, Park Joo Bong, 50. Ini kerana sepanjang zamannya, beliau adalah pasukan beregu handalan Korea Selatan. Beliau tidak pernah mendakap trofi keagungan badminton dunia itu.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Jurulatih Malaysia dari 2000 hingga 2003. Pada 2002, beliau berjaya membantu Malaysia menjadi naib juara Piala Thomas.

Joo Bong hampir kembali ke pangkuan Malaysia pada awal 2013 sebagai pengarah kejurulatihan sebelum membuat pusingan U pada saat akhir selepas menerima tawaran lanjutan kontrak hingga 2016 daripada Persatuan Badminton Jepun.

- JURULATIH MALAYSIA

Kejayaan Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Thomas 2014 adalah hasil bimbingan majoriti jurulatih tempatan.

Selain Rashid, jurulatih perseorangan ialah Tey Seu Bok, Wong Tat Meng manakala jurulatih beregu ialah Pang Cheh Chang, Rosman Razak, Tan Kim Her dan Jeremy Gan.

Bekas pemain badminton Indonesia, Hendrawan turut membantu melatih perseorangan negara.

Ini berbeza ketika merangkul Piala Thomas pada 1992 yang menyaksikan jurulatih terdiri daripada gandingan anak tempatan dan asing.

Ketua Jurulatih ketika itu ialah legenda badminton negara, Datuk P. Punch Gunalan manakala jurulatih pula adalah dari China iaitu Han Jian, Chen Changjie dan Yang Yang.

- PERLU MENUNGGU 24 TAHUN

Kekalahan kepada Jepun menyebabkan Malaysia terpaksa menunggu dua tahun lagi atau 24 tahun sejak 1992 untuk mencuba nasib sekali lagi.

Jika Malaysia dapat merangkul Piala Thomas pada 2016, ia adalah rekod yang lebih baik berbanding penantian 25 tahun sejak 1967 untuk menang semula pada 1992.

- KEJUARAAN PERTAMA JEPUN

Kejayaan menjadi juara Piala Thomas 2014 adalah kali pertama bagi Jepun. Dalam tempoh 65 tahun piala itu dipertandingkan, ia hanya dimenangi oleh tiga negara secara bergilir-gilir iaitu Indonesia (13 kali), China (sembilan) dan Malaysia (lima).

Kemampuan Jepun untuk mencipta ‘tsunami’ sudah dijangka lebih awal apabila menewaskan China 3-0 pada aksi separuh akhir walaupun negara itu mempunyai rekod cemerlang menjadi juara lima kali berturut-turut sehingga 2012.

Turut kecundang dibaham tsunami ialah jaguh nombor dua dunia, Chen Long, 25, serta jaguh nombor enam dunia, Du Pengyu, 26.

Kejayaan Jepun itu adalah sesuatu yang menakjubkan memandangkan badminton bukan sukan popular di negara itu.

- BARISAN PEMAIN MUDA JEPUN

Pemain yang membawa kejayaan kepada negara matahari terbit itu majoriti berusia 25 tahun dan ke bawah.

Antara pemain yang berusia 25 tahun ialah Takuma Ueda yang mengalahkan Liew Daren, 27, dari Malaysia dalam perlawanan penentuan dan jaguh nombor empat dunia, Kenichi Tago yang telah mengalahkan Chen Long.

Seorang lagi ialah juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2012, Kento Momota yang telah mengalahkan Du Pengyu yang baru berusia 19 tahun.

Individu yang bertanggungjawab menggilap bakat Momota ialah jurulatih remaja Kelab Badminton Nihong dari Malaysia, Izuan Ibrahim.

- PERLAWANAN TERAKHIR CHONG WEI

Jika Malaysia meletakkan harapan untuk mendakap Piala Thomas pada 2016, ia tidak boleh bergantung harap kepada jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, 32, yang dijangka tidak bertanding. Dalam perlawanan akhir kali ini, Chong Wei telah mengalahkan Tago 21-12, 21-16.

Ketiadaan beliau sudah pasti memalapkan harapan Malaysia kerana rata-rata ranking pemain pelapis jauh ketinggalan seperti Daren yang kini pada kedudukan ke-66 terbaik dunia.

Yang berada dalam senarai 10 terbaik dunia hanyalah beregu lelaki negara, Thien How Hoon dan Wee Kiong Tan iaitu ranking ketujuh dan beregu campuran Malaysia, Peng Soon Chan dan Liu Ying Goh pada kedudukan kelapan terbaik dunia.

- NAIB JUARA KALI KESEMBILAN

Walaupun kalah, Malaysia boleh berbangga kerana dapat menjadi naib juara untuk kali kesembilan iaitu paling banyak. Malaysia juga pernah menjadi naib juara pada 2002, 1998, 1994, 1990, 1988, 1976, 1970 dan 1958. Denmark pula menjadi naib juara sebanyak lapan kali, diikuti Indonesia (lima), China (dua), Korea Selatan (dua), Thailand (satu) dan Amerika Syarikat (satu).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.