saya nak baca ..

RENCANA SUKAN


ARKIB : 10/02/2014

Piala FA 2014, mungkinkah menjadi milik pasukan kelab?

APAKAH Johor Darul Ta’zim (JDT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), PKNS atau Felda mampu menjulang Piala FA yang dipertandingkan sejak 1990?.

Perjalanan ke final masih jauh. Peringkat suku akhir hanya akan membuka tirainya pada 11 Februari, diikuti suku akhir kedua pada 18 Februari. Separuh Akhir pula berlangsung pada 6 dan 20 Mei, sementara final pada 7 Jun 2014.

Namun lapan pasukan yang telah melangkah ke suku akhir cukup menarik untuk dibuat perbandingan. Empat pasukan negeri bertemu empat pasukan kelab.

Dalam sejarah Piala FA, belum ada kelab muncul juara, namun kancah bola sepak tanah air pernah melakar sejarah apabila MPPJ muncul kelab pertama menjuarai Piala Malaysia pada 2003 selepas menewaskan Sabah 3-0.

Skuad bimbingan Dollah Salleh itu kemudian menjuarai perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 pada aksi pembuka tirai musim 2004.

Bagi Piala FA, dua kelab hampir merungkai dilema itu secara berturut-turut. Tahun lalu JDT yang berakar umbi daripada kelab Johor FC ke final dan tahun sebelumnya Sime Darby juga ke final. Kedua-duanya tewas tipis 0-1 kepada Kelantan.

Tahun ini, JDT mara ke suku akhir setelah diberi kemenangan 3-0 ekoran insiden bertemu T-Team di Johor Bahru. Skuad berbelanja besar itu akan bertemu Kedah, juara Piala FA tiga kali (1996, 2006-07, 2007-08) yang mencipta rekod tanpa kalah dalam aksi Liga Perdana dan Piala FA.

Dalam empat aksi itu skuad Helang Merah meledak 14 gol dan hanya bocor sekali, catatan yang dilihat dapat menggerunkan JDT, yang terakhir tewas 2-3 kepada Pahang dalam Liga Super.

Pasukan bimbingan bekas pemain tengah Selangor 1995-96, David Mitchell berjaya menggandingkan pemain import dan tempatan untuk membentuk skuad mantap.

Kekuatan benteng pertahanan diketuai Adam Griffiths, bekas pemain Selangor. Ketajaman gandingan Billy Mehmet dan Khyrill Muhymeen pula menerajui serangan. Setakat ini Mehmet bekas pemain bawah 21 tahun Ireland, telah menjaringkan 5 gol.

Di bahagian tengah, Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Faizal Abu Bakar kian serasi dengan Adriano Pellegrino atau Jose Franco Gomez.

Pemenang dua pasukan suku akhir ini akan berdepan di antara PDRM atau Pahang. Dua pasukan yang berkait rapat dengan Dollah Salleh.

Pahang dilihat berada di landasan terbaik. Setelah menjulang Piala Malaysia ternyata mereka mampu meneruskan momentum kejayaan dengan dua kali menjinakkan LionsXII dan menewaskan JDT. Bagaimanapun mereka tewas kepada Selangor dan Sime Darby.

Dollah memiliki terlalu banyak rahsia Pahang. Di mana kekuatan dan kelemahan pemain Pahang berada dalam koceknya. Barang diingat Pahang tidak banyak menukar pemain tahun ini hanya membawa masuk dua pemain import Dickson Nwakaeme (penyerang) dan Zeshan Rehman (pertahanan).

PDRM mempunyai rekod bersih dalam lima perlawanan (dua Piala FA/tiga Liga Perdana) dengan meledak 12 gol dan bolos dua gol. Bobby Gonzales dan Ali Ashtaq menjadi penyumbang gol terbanyak setakat ini.

Pahang pula dilihat semakin menjadi di bahagian tengah. Gandingan Hafiz Kamal, Azidan Sarudin dan Fauzi Roslan kian berbisa.

Pertahanan, Damian Stewart, Zeshan Rahman dan Razman Roslan sentiasa menjadi pelindung terbaik kepada penjaga gol tumpuan masa kini, Khairul Azhan Khalid.

Sementara pertemuan Kelantan dan PKNS di Stadium Sultan Mumammad IV, esok memberi makna tersendiri kepada kedua-dua pasukan.

Selepas tewas 1-2 kepada Perak dalam aksi terakhir Liga Super, Sabtu lalu, Kelantan pasti mahu menebus hampa apabila beraksi di depan penyokong The Red Warriors. PKNS juga mahu bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Sarawak dalam saingan liga.

Namun sedikit kegusaran penonton di Kelantan melihat formasi tiga pemain pertahanan Steve Darby mungkin terjerat dengan kehadiran Patrik Ronaldinho dan Karlo Primorac dibantu back-up striker, Fauzan Dzulkifly.

Rekod menunjukkan sejak 2010 kedua-dua pasukan bertemu lapan kali dengan Kelantan menang lima, seri sekali dan PKNS menang dua kali. Kedua-dua kemenangan Liga Super 2013 dan 2014 dengan Fauzan Dzulkifly tersenarai sebagai penjaring.

Lawan di separuh akhir mungkin Sarawak yang berdepan anak didik Irfan Bakti, Felda United. Selepas menyingkirkan juara Piala FA lima kali, Selangor Sarawak tampak cukup mantap.

Sentuhan pemain import , Milorad Janjus dan Gabor Gyepes amat berbisa. Mereka menjaringkan gol dalam dua perlawanan Liga Super berturut-turut. Jangan lupa dua sayap Zamri Morsidi dan Joseph Kallang Tie yang menerpa seperti burung kenyalang dari bahagian tepi.

Irfan pula memiliki kombinasi pemain import dan pemain berpengalaman tempatan. Felda ada Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Shahrulnizam Mustafa, Nasriq Baharom dan Farizal Haron. Pemain-pemain ini cukup masak dengan Liga Malaysia.

Ditambah dengan Zah Rahan Krangar import dari Liberia yang sejak 2004 hingga tahun lalu beraksi di Liga Indonesia. Pemain itu diganding pula dengan rakan senegaranya Edward Junior Wilson juga beraksi lama di Indonesia.

Lapan pasukan suku akhir FA ada kekuatan tersendiri, namun jangan ditolak bulat-bulat kemungkinan juara daripada pasukan kelab. Malah saya bermimpi kelab bertemu kelab di final Piala FA 2014 … ahhh mimpi hanya mainan tidur !!!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.