saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/10/2014

Tugasan besar menanti Malaysia di UNSC

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada Malaysia atas kejayaan dipilih sebagai anggota tidak tetap (non-permanent member) dalam Majlis Keselamatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Security Council - UNSC). Dalam pemilihan pada kali ini, Malaysia yang merupakan calon tunggal Asia, berjaya mendapat undi tertinggi iaitu sebanyak 187 daripada 192 negara anggota PBB yang mengundi dalam pemilihan pada kali ini.

Sepintas lalu, UNSC adalah satu unit terpenting dalam PBB yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal keamanan dan keselamatan dunia sejagat. UNSC berkuasa menyiasat pertikaian yang boleh menyebabkan pergeseran antarabangsa serta menentukan ancaman atau tindakan ganas yang boleh menggugat keamanan dan memutuskan bentuk tindakan yang perlu diambil oleh PBB.

UNSC dianggotai oleh 15 negara dengan lima daripadanya iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, Rusia dan China, berstatus negara anggota tetap (permanent member) yang mempunyai kuasa veto, manakala 10 negara anggota lain yang berstatus anggota tidak tetap dipilih secara undian sulit untuk tempoh dua tahun. Kerusi UNSC ini dianggap penting kerana ia memberikan peluang kepada negara anggotanya suara bersuara dalam menangani isu berkaitan keamanan dan keselamatan dunia sejagat.

Untuk rekod, ini adalah kali keempat Malaysia berjaya dipilih menduduki kerusi sebagai anggota tidak tetap UNSC untuk tempoh selama dua tahun iaitu 2015-2016. Sebelum ini, Malaysia menduduki kerusi ini sebanyak tiga kali iaitu 1965 (era pentadbiran Tunku Abdul Rahman) di mana ia berkongsi dengan Czechoslovakia, 1989-1990 dan 1999-2000 (kedua-duanya dalam era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad).

Antara faktor-faktor yang menyumbang terhadap kejayaan pemilihan Malaysia ini ialah imej dan track-recordnya yang sangat baik di peringkat antarabangsa. Malaysia, secara umumnya, diterima baik oleh masyarakat antarabangsa kerana pembabitan dan sumbangan aktifnya dalam pelbagai aktiviti antarabangsa yang bersifat multilateral khasnya aktiviti yang membabitkan misi keamanan global dan turut terbabit dalam beberapa usaha penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa.

Sebagai sebuah negara anggota PBB sejak tahun 1957, Malaysia sentiasa menyokong penuh idea, piagam dan segala usaha badan dunia itu dalam memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara. Dalam konteks misi keamanan global, Malaysia adalah antara negara peserta dan penyumbang utama anggota pengaman (peacekeeper) dalam pelbagai misi pengaman antarabangsa (peacekeeping), sama ada misi anjuran PBB ataupun badan bukan PBB (seperti NATO dan Kesatuan Eropah).

Sejak 1960an hingga sekarang, Malaysia telah menyertai sebanyak 35 misi pengaman antarabangsa khasnya anjuran PBB di beberapa negara yang sedang bergolak di serata pelosok dunia. Ia turut menyumbang seramai 29,000 orang anggota pengaman yang terdiri daripada tentera dan polis dalam kesemua misi pengaman tersebut.

Antara 1991 hingga 1996 sebagai contoh, Malaysia mencatatkan satu rekod yang sangat membanggakan di mana telah tersenarai sebagai antara 10 negara penyumbang utama dari segi anggota pengaman dalam misi pengaman antarabangsa anjuran PBB. Malaysia pada ketika itu telah menugaskan seramai kira-kira 2,000 orang anggota pengaman dalam tiga misi pengaman penting PBB iaitu misi pengaman PBB di Kemboja (UNAMIC dan UNTAC), misi pengaman PBB di Bosnia (UNPROFOR) dan misi pengaman PBB di Somalia (UNOSOM II).

Selain menyertai misi pengaman PBB, Malaysia turut menyertai beberapa misi khas politik (special political mission) anjuran di beberapa negara seperti di Iraq (UNAMI), Afghanistan (UNAMA), Nepal (UNMIN) dan Timor Leste (UNIOTIL). Ia juga diamanahkan untuk menerajui satu misi pemerhati antarabangsa, International Monitoring Team (IMT), di Pulau Mindanao, Selatan Filipina yang masih berjalan hingga sekarang.

Malaysia juga terbabit sebagai negara pengantara (mediator) dalam rundingan damai antara kerajaan Filipina dan MINL yang telah pun berjaya. Pada masa sama, ia sedang mengusahakan pendekatan diplomasi tersebut di Selatan Thailand yang keadaannya semakin tidak menentu.

Semua pembabitan dan sumbangan ini sememangnya sering menjadi perhatian dunia, sama adanya dalam kalangan negara kuasa besar dunia, mahupun PBB. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, dalam lawatan rasminya ke Malaysia beberapa tahun lalu memuji usaha dan komitmen negara ini dalam menyokong segala usaha yang dilakukan oleh badan dunia tersebut bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara.

Beliau menyifatkan Malaysia sebagai sebuah 'negara contoh'. AS sebagai sebuah negara kuasa besar dunia turut memuji usaha dan komitmen Malaysia dalam hal ini.

Selepas ini, banyak tugasan besar bakal menanti Malaysia di PBB termasuk di UNSC. Walaupun tugasan ini belum lagi bermula, beberapa aspek penting bakal menjadi fokus utama Malaysia di UNSC.

Antara aspek-aspek tersebut ialah seperti, pertama, usaha untuk mempromosi keamanan dunia global menerusi pendekatan kesederhanaan (Wasatiyyah) dan peaceful settlement of disputes; kedua, mempromosi keamanan dunia sejagat menerusi kerjasama dan bantuan teknikal kepada negara-negara yang terkesan dengan konflik antarabangsa (peacebuilding dan post-conflict development); ketiga, merubah dan mentransformasikan PBB khasnya UNSC dari segi tatacara pengurusan dunia dan konflik antarabangsa; keempat, mempromosi isu-isu antarabangsa selaras dengan peranan Malaysia dalam beberapa pertubuhan dan institusi antarabangsa seperti OIC, NAM dan ASEAN; dan akhir sekali, sudah pasti usaha untuk mencapai matlamat kepentingan nasional Malaysia sama ada di peringkat serantau mahupun dalam dunia global.

Pun begitu, untuk merealisasi semua tugasan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kerana di sana, banyak cabaran yang bakal menanti Malaysia.

Antara cabaran tersebut ialah, pertama, cabaran dari aktor negara (state actor), seperti negara-negara kuasa besar dunia dan sekutunya di PBB dan UNSC; kedua, cabaran dari aktor bukan negara (non-state actor) seperti UNSC, organisasi dan institusi antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia, serta badan-badan bukan kerajaan antarabangsa (NGO) seperti Amnesty International, Human Right Watch, syarikat multinasional yang berpengaruh, agensi media antarabangsa (seperti CNN, BBC and al-Jazeera), dan 'pelobi-pelobi' Yahudi (Jewish lobby); ketiga, cabaran yang wujud hasil daripada impak perubahan dunia global dan pewujudan secara tidak rasmi 'Order Baru Dunia' yang kerap kali menjejaskan usaha murni negara-negara anggota PBB untuk menyumbang di peringkat antarabangsa.

Pun begitu, cabaran akhir dan yang paling penting sekali dalam hal ini ialah bagaimana untuk tidak terjebak sebagai 'pak turut' kepada negara-negara kuasa besar dunia yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dan signifikan di PBB dan juga di UNSC. Malaysia, dalam hal ini mesti mempamerkan satu pendirian yang tersendiri dan tegas supaya segala idea, saranan dan usaha kita akan terus dihormati oleh negara-negara dunia di PBB dan juga di UNSC.

Harapan kita, pemilihan Malaysia sebagai anggota tidak tetap dalam UNSC kali ini mampu membawa sedikit perubahan dan transformasi kepada PBB dan UNSC khasnya dari segi pembentukan satu tatacara pengurusan dunia dan konflik antarabangsa yang baru dan bersesuaian dengan keadaan semasa pada ketika ini.

Malaysia juga diharap dapat menggunakan peluang ini untuk mempromosikan sebanyak mungkin kepentingan dunia Islam, negara-negara membangun, serta kepentingan nasional Malaysia secara amnya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berbangga dengan pencapaian negara yang sebegini. Ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah pun mencapai satu taraf yang tinggi di peringkat antarabangsa kerana diterima beberapa kali untuk menduduki kerusi sebagai anggota tidak tetap di UNSC.

PENULIS ialah Pensyarah Bidang Politik dan Hubungan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.