saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/10/2014

Usaha memacu kecemerlangan universiti

DALAM beberapa siri jerayawara Universiti Penyelidikan yang bermula di Universiti Malaya (UM), diikuti oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan terkini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh telah memberikan beberapa kenyataan penting dan menunjukkan data-data kejayaan universiti penyelidikan di negara ini sehingga kini dari segi penghasilan penerbitan yang diiktiraf, pengurusan bakat, kerjasama dengan industri melalui penyelidikan dan inovasi mahupun sumbangan dari segi pengkomersialan hasil penyelidikan yang memberi faedah kepada negara.

Siri jelajah tersebut bukan sekadar mempamerkan apa yang dihasilkan selama ini oleh universiti-universiti awam dalam menunaikan tanggungjawabnya, tetapi turut menunjukkan kemampuannya untuk terus memainkan peranan yang berterusan dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan melalui pelbagai disiplin dalam proses pembinaan dan pembangunan negara untuk dikongsi dengan masyarakat.

Malah pelancaran Malaysia Laboratories Academia - Business Collaboration (MyLAB), penganugerahan Pusat Kecemerlangan Kementerian Pendidikan kepada beberapa pusat penyelidikan di universiti-universiti dan penganugerahan Penyelidik Cemerlang kepada empat saintis yang diiktiraf dunia baru-baru ini adalah antara kelangsungan usaha meneruskan agenda memastikan universiti dapat terus memainkan peranan dalam perkongsian kepakaran secara bersama.

Usaha-usaha begitu banyak dilakukan melalui pelbagai inisiatif kerajaan termasuk melalui Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara dengan pelaksanaan pelbagai agenda kritikalnya untuk memacu kecemerlangan pengajian tinggi dalam perspektif negara dan dunia.

Memacu kecemerlangan universiti memerlukan kesungguhan untuk bekerja bersama-sama dalam kalangan seluruh institusi yang ada merentasi pelbagai disiplin ilmu, berkongsi peralatan dan kemudahan untuk pelbagai tujuan melalui tindakan-tindakan yang berfokus, berstrategi, terus membina nilai dan budaya kecemerlangan, membina kepimpinan pelapis, melaksanakan program-program intervensi dan secara berstrategi bersama-sama dalam satu ekosfera yang saling bersinergi termasuk dengan industri untuk menggembleng segenap kekuatannya, tidak hanya bergantung kepada individu.

Bekerja secara silo tidak lagi sesuai dengan proses transformasi pendidikan tinggi sekarang ini.

Kejayaan usaha ini perlu diukur berasaskan impak yang diberikan kepada masyarakat, negara dan dunia, sikap realistik terhadap persekitaran, kesediaan untuk menerokai dunia masa hadapan secara lebih inovatif, kreatif dan berdaya maju dengan menguasai keupayaan bersaing dalam semangat keusahawanan dan pengurusan persepsi yang baik berteraskan kepada asas atau fundamental keilmuan universiti yang perlu dipertahankan.

Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya telah menetapkan sembilan teras yang perlu dipegang oleh seluruh warganya dalam memastikan usaha memacu kecemerlangan dapat berjalan sekali dengan keperluan pembinaan negara dan kelangsungan dunia seluruhnya. Nilai-nilai ini perlu dihayati sepenuhnya dalam perjalanan mencapai kecemerlangan, sekaligus memastikan pencapaian universiti adalah seimbang untuk mendekatkan jurang yang ada dengan membawa secara berstrategi seluruh warga akademik dan pentadbiran melalui program-program khusus.

Sembilan teras tersebut ialah keilmuan, masa hadapan, kelainan, kelestarian, kemanusiaan, kesejagatan, perubahan, pengorbanan dan kesejahteraan. Ini perlu dizahirkan melalui kefahaman terhadap enam nilai utama lain iaitu kualiti, kesaksamaan, kesediaan, kebolehdapatan, kemampuan dan kesesuaian yang akan menyokong kepada usaha mencapai kecemerlangan.

Pada asasnya, pegangan kepada semua teras ini akan membantu dalam memperkukuhkan roh pengajian tinggi yang bukan sahaja untuk melahirkan siswazah yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif, berdikari dan berdaya saing tinggi tetapi memastikan dihayati dan diterjemahkan sama oleh para penyelidik dan warga lainnya untuk menggemblengkan segenap kekuatan mereka dalam merealisasikan agenda pendidikan tinggi negara dengan realistik.

Dalam dunia yang pesat berubah dan penuh cabaran, universiti perlu berpegang kepada teras-teras ini untuk terus relevan dan mampu memenuhi tuntutan yang ada serta mencari jalan terbaik dalam melakukan usaha libat sama dengan orang lain.

Universiti perlu sentiasa melihatnya secara holistik, bukan hanya dalam kalangan pelajar tetapi juga para pensyarah dan penyelidiknya dengan meningkatkan lagi akauntabiliti dan integriti dalam setiap usahanya.

Para mahasiswa pula perlu menguasai nilai-nilai ini untuk keluar dari zon selesa dan sikap mengambil mudah dalam menguasai ilmu pengetahuan baharu malah melengkapkan diri dengan segala kemahiran untuk masa hadapan. Pelbagai mekanisme tersedia daripada kepimpinan kelab dan persatuan, aktiviti kesukarelawanan dan sebagainya sehinggalah kepada adanya parlimen mahasiswa untuk melatih diri menjadi pemimpin masa hadapan.

Kedua-dua komponen utama universiti ini - mahasiswa dan pensyarah/penyelidik tidak boleh lagi melihat dunia yang ideal semata-mata, tetapi perlu bersikap realistik dalam melakukan apa jua usaha sama ada dalam penerokaan ilmu, penyelidikan mahupun pembangunan sahsiah diri yang kedua-duanya saling mengukuhkan di antara satu dengan yang lain.

Keseluruhan warga universiti masa kini perlu melihat kepada usaha untuk menguasai daya saing (competitive edge) dan atribut yang membezakan mereka daripada orang lain untuk terus bersaing dan membina satu jenama kuat dalam pelbagai bidang.

Universiti bukan lagi menara gading yang hidup terasing daripada masyarakat, sebaliknya perlu melibat sama dengan sebanyak mungkin pihak melalui pelbagai jaringan kerjasama termasuk dalam kalangan negara serantau apatah lagi dunia untuk menggembleng kekuatan dan memberikan sumbangan yang berterusan.

Universiti adalah menara ilmu yang perlu berganding bahu dengan sesiapa sahaja dalam memastikan pada akhirnya apa yang ada - ilmu pengetahuan dan kepakaran, sumber manusia dan sumber-sumber lainnya benar-benar dapat digembleng dalam pembangunan dan pembinaan negara bangsa serta dunia seluruhnya.

PENULIS ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.