saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/09/2014

Setiap undi amat bermakna di Pengkalan Kubor

KEDAI makan Abdullah Yahya dan isteri Noriyah Ghazali hanyalah sebuah kedai biasa, tempat penduduk terutama nelayan di Kampung Geting, Pengkalan Kubor bersantai sambil minum kopi pada waktu lapang. Kawasan ini juga menjadi tempat memproses ikan kering. Keunikan kedai ini adalah kerana ia mendapat perhatian pemimpin negara. Menurut Noriyah, 28 tahun lalu, ketika usianya 20 tahun, Dr. Mahathir Mohamad pernah berkunjung ke kedainya. Baginya, itu satu sejarah. Jumaat lalu, sejarah berulang apabila Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pula berkunjung ke situ. Tidak putus-putus Noriyah bercerita. Begitulah kebanggaan wanita ini yang nampak begitu gembira dan berseri-seri menyambut Muhyiddin untuk minum petang. Antara juadahnya ialah pulut kelapa lauk ikan kering. Muhyiddin meluangkan masa bersama penduduk di situ minum petang sambil mendengar keluhan pemimpin nelayan yang duduk semeja bersamanya.

Pada masa yang sama Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Mustapa Mohamed lebih selesa bersama-sama kelompok nelayan di khemah khas bagi menampung kehadiran ramai 'pelanggan' pada petang itu. Tok Pa lebih suka bersantai dalam majlis seumpama itu termasuk ketika jamuan rakyat selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Hidayatul Mustaqim, Pak Kerai. Walaupun disediakan tempat khas, Tok Pa lebih selesa bersama-sama penduduk bagi memudahkannya mendengar masalah mereka secara langsung. Begitu juga calon BN, Ustaz Mat Razi Mat Ail turut mengambil pendekatan yang sama menemui sebanyak mungkin pengundi. Begitulah corak kempen turun padang yang lebih mesra rakyat selain ceramah di pentas terbuka.

Satu undi amat bernilai di Pengkalan Kubor. Tidak hairanlah jentera parti yang bertanding sama ada BN atau Pas melakukan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian pengundi. Menjelang hari mengundi pada 25 September ini, jentera pilihan raya parti terus berusaha mendekati pengundi di setiap pelusuk kawasan di Pengkalan Kubor. Khamis lalu juga, ketika singgah mengisi minyak di stesen minyak Petronas dekat Tumpat, Ketua Biro Utusan di Kelantan, Azran Fitri Rahim tiba-tiba memberitahu saya: "Itu calon Pas''. Kebetulan, pemandu kenderaan yang dinaiki calon itu baru selesai mengisi minyak. Semasa kami keluar dari kereta, pemandu calon Pas itu segera mengetuk cermin keretanya dan Wan Rosdi Wan Ibrahim keluar dari kenderaannya untuk bersalam dengan kami. Begitulah kemesraan yang ditunjukkan oleh calon PRK Pengkalan Kubor itu. Walaupun tidak mengenali kami dan bukan pula sebagai pengundi, setiap calon yang bertanding akan berusaha mendekati siapa sahaja untuk 'memancing undi'. Lain pula kaedah calon Bebas yang menggunakan lambang pen. Di beberapa kawasan, Izat Bukhary Ismail Bukhary memasang poster dengan kata-kata seperti 'Pegang pen ingat saya; Selitkan poket anda dengan pen dan Tinggalkan kesan pen di N1'.

Setiap pengundi harus didekati lebih-lebih lagi rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pernah menunjukkan kemenangan calon tidak melebihi 1,000 undi. Di mana ada peluang, calon-calon akan bersalam dan bertanya khabar dengan mesej memilih mereka pada PRK nanti. Kadang-kadang calon yang bertanding akan bertembung di kawasan yang sama. Setakat semalam, kempen berjalan dengan baik. Suasana kempen amat meriah. Pelbagai kaedah digunakan untuk menarik perhatian pengundi. Ada ketikanya ceramah yang diatur Pas dimeriahkan dengan kehadiran peniaga-peniaga menjual makanan, minuman dan pakaian. Bagaikan pasar malam. Memang PRK ini memberi peluang rezeki juga kepada peniaga-peniaga. Cuma ada juga rungutan berkaitan harga yang melambung tinggi pada musim kempen ini.

Walaupun BN menunjukkan kempen yang agak agresif dengan kehadiran pemimpin-pemimpin di peringkat pusat, BN tidak boleh ambil mudah. Jentera Pas mungkin akan bertambah agresif selepas berakhirnya muktamar parti itu kelmarin. BN tidak boleh selesa dengan 'gelora' yang berlaku di dalam parti itu. Setakat ini tidak diketahui sejauh mana jentera PKR dan DAP turut membantu Pas. Mungkin kehadiran mereka tidak diperlukan kerana Pas awal-awal lagi menyatakan hasrat untuk 'mengambil balik' kerusi yang diserahkan kepada parti itu pada PRU lalu.

Seperti yang pernah diselak sebelum ini, kebanyakan kawasan yang ditandingi PKR adalah kerusi Pas. Disebabkan untuk menunjukkan kesepakatan, maka sebahagian kecil kerusi terpaksa diserahkan kepada PKR. Sebagai sebuah parti baharu, PKR ibarat menumpang sokongan rakan-rakan yang lebih lama terutama Pas, lebih-lebih lagi di kawasan majoriti pengundi Melayu. Parlimen Permatang Pauh misalnya adalah kawasan yang pernah dimenangi oleh Pas. Parti itu tidak pernah mengalah untuk bertanding di kerusi tersebut walaupun terpaksa berhadapan dengan calon yang mulanya dijangka menyertai parti itu iaitu Anwar Ibrahim. Kembali ke Pengkalan Kubor, masih terlalu awal untuk mencongak siapa yang bakal memenangi kerusi itu. Adakah Pas mampu mengambil alih atau BN mempertahankannya? Banyak faktor yang dijangka mempengaruhi kemenangan BN atau Pas termasuk kriteria calon. BN bertanding bagi mempertahankan kerusi tunggal DUN dalam Parlimen Tumpat sementara Pas pula mahu menguasai semua empat kerusi DUN di Parlimen Tumpat yang diketuai oleh Menteri Besar, Ahmad Yakob. Pada peringkat awal, memang terdapat andaian jika PKR yang bertanding, saingannya kurang sengit tetapi jika Pas menawarkan diri, keadaan jauh berbeza.

Adakah kekalahan PKR pada PRU lalu disebabkan rasa tidak senang pengundi terhadap pemilihan PKR? Adakah ketika itu, ramai penyokong Pas tidak mengundi? Apa pula tindakan penyokong PKR apabila calonnya tidak dipilih? Adakah akan berlaku protes senyap dalam kalangan penyokong PKR? Persoalannya sejauh mana pula pengaruh sebenar PKR di kawasan itu? Jika diselak kembali keputusan beberapa PRU lalu, pada tahun 1999, calon Pas, Tok Imam Wan Husain menang dengan majoriti 2,432 undi tetapi pada 2004, beliau kalah kepada Noor Zahidi Omar @ Datuk Haji Di yang menang dengan majoriti 714 undi.

Pada 2008, kerusi itu ditandingi pula oleh PKR sementara BN mengekalkan Noor Zahidi yang menang dengan majoriti 100 undi. Pada PRU lalu, calon PKR sekali lagi tewas dengan majoriti 1,736 undi yang dimenangi Noor Zahidi. Adakah majoriti undi yang diperoleh BN pada PRU lalu dipengaruhi kurangnya sokongan penyokong Pas?

Ketika ini tidak banyak isu yang dapat dimainkan oleh Pas dan sekutunya kecuali royalti minyak. Isu-isu berkaitan pembangunan tidak mampu diterjemahkan oleh pihak kerajaan negeri. Tidak banyak yang dapat dijanjikan oleh kerajaan negeri Pas. Apabila pemimpin Pusat turun berkempen, maka banyaklah masalah yang dikemukakan.

Ketika Muhyiddin berkempen di Kampung Geting, kumpulan nelayan di situ mengharapkan kerajaan Pusat membina jeti konkrit bagi menggantikan jeti kayu yang hanya menunggu masa untuk roboh. Muhyiddin mendengar masalah itu dan berjanji memberi perhatian. Cuma katanya, biarlah menang PRK dulu. Tentulah, pembangunan di kawasan itu akan lebih rancak jika BN mengekalkan kedudukannya.

Sebelum ini, ketika BN diwakili Datuk Haji Di, banyak yang dilakukan untuk penduduk menikmati hasilnya sama ada secara langsung atau tidak langsung. Projek itu termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Jalan Kesban - Pengkalan Kubor, Pengkalan Kastam Pengkalan Kubor, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk Berasaskan Ikan, Rancangan Tebatan Banjir Tumpat, Projek Penapisan Air 1 Malaysia dan Masjid Kubang Sawa.

Mungkin lebih banyak projek yang akan menemui penduduk di kawasan itu sekiranya BN terus menjadi pilihan.Sesuai dengan tema BN, Pengkalan Kubor BN Sokmo-sokmo! Kepada pengundi-pengundi gunalah kesempatan ini untuk memilih yang terbaik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:35
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.