saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 13/09/2014

FitMalaysia pemangkin negara bersukan

BERDASARKAN penyelidikan bertajuk ‘Kajian Penglibatan Belia dan Masyarakat Dalam Sukan 2009’, ia mendedahkan kepada kita bahawa tahap budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi rendah iaitu sekitar 30 peratus berbanding dengan kesedaran rakyat di negara-negara maju.

Keadaan ini dilihat bertambah parah apabila sebuah kajian perubatan British, The Lancet mengumumkan bahawa Malaysia mempunyai kadar obesiti paling tinggi di Asia dengan 44 peratus terdiri daripada lelaki serta 49 peratus wanita dan secara keseluruhan 45.3 peratus rakyat negara ini berdepan masalah tersebut.

Meskipun secara umum, rakyat Malaysia berminat dan mengambil peduli tentang perkembangan pasukan kebangsaan serta sukan komersial antarabangsa, namun penglibatan masyarakat dalam bidang sukan kurang memberangsangkan.

Menyedari perkembangan kurang baik ini, Kementerian Belia dan Sukan telah melancarkan sebuah gerakan besar-besaran di seluruh negara yang dinamakan sebagai FitMalaysia. Tujuan utama kempen ini adalah untuk membawa Malaysia daripada sebuah negara pencinta sukan kepada negara bersukan, selain mendidik lebih 28 juta rakyat untuk membuat perubahan menyeluruh terhadap gaya hidup yang diamalkan selama ini.

Umumnya, masyarakat mempunyai persepsi bahawa amalan kecergasan dan bersukan hanya tertumpu kepada atlet dan golongan tertentu. Tahap kesedaran untuk mengamalkan rutin dan pemakanan yang sihat amat rendah berikutan komitmen terhadap pekerjaan, keluarga dan faktor usia.

FitMalaysia memberi fokus bukan sahaja terhadap amalan hidup sihat tetapi memberi inspirasi kepada rakan dan keluarga untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat melalui penganjuran aktiviti berasaskan komuniti seperti menubuhkan kumpulan berbasikal, berlari, berjalan dan bersenam secara mingguan.

Bukan itu sahaja, pendekatan FitMalaysia lebih bersifat komuniti sentral di mana aktiviti yang dilaksanakan tidak semestinya memerlukan fasiliti atau peralatan khusus tetapi boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada berseorangan atau berkumpulan. Malah, ia juga tidak memerlukan masa yang lama serta kos tinggi.

Pada kempen itu, selain acara larian dan kayuhan basikal, terdapat pelbagai aktiviti riadah lain yang diadakan seperti senamrobik, papan selaju, seni mempertahankan diri dan berkasut roda yang turut disertai oleh golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut menterinya, Khairy Jamaluddin, beliau berhasrat menjadikan budaya bersukan melalui kempen FitMalaysia sebagai salah satu polisi kerajaan bagi membendung masalah obesiti rakyat yang kritikal.

“Kita menyasarkan untuk melihat kesan kempen beriadah itu dalam masa empat hingga lima tahun dari sekarang. Sasaran itu akan mengambil masa yang sederhana kerana tahap budaya bersukan dalam kalangan rakyat negara ini masih rendah.

“Melalui polisi tersebut, saya juga mencadangkan agar semua kakitangan agensi kerajaan mesti terbabit dalam kempen menjaga kesihatan seperti FitMalaysia. Sektor swasta juga harus terlibat kerana kalau boleh, kita mahu gelombang ini sampai ke akar umbi," katanya selepas melancarkan kempen larian FitMalaysia anjuran kementerian itu yang disertai kira-kira 5,000 peserta di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Katanya, daripada kempen seperti itu juga, negara dapat mencungkil bakat-bakat baharu setanding dengan Datuk Lee Chong Wei (badminton) atau Nicol David (skuasy) apabila majoriti rakyat mempunyai asas kecergasan yang baik.

Sementara itu, salah seorang peserta acara larian lima kilometer TM Fan Run pada pelancaran FitMalaysia, Mohd. Syafiq Asyraf Sulaiman, 20, berkata, penganjuran FitMalaysia dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang pentingya melakukan aktiviti kecergasan dalam mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

“Aktiviti kecergasan tidak semestinya perlu ke kompleks sukan dan gimnasium tetapi hanya berpakaian sesuai dan melakukan senaman serta joging pada waktu pagi atau petang di taman rekreasi.

“Selain itu, FitMalaysia juga mendidik rakyat bagaimana menjaga tahap kesihatan dengan bajet rendah dan tidak membebankan kewangan mereka," ujarnya yang menamatkan acara larian lima kilometer dengan catatan masa selama 50 minit.

Bagi Nur Hafzan Kamil, 20, yang sekadar berkunjung untuk meluangkan masa hujung minggu pula memberitahu, kesedaran melalui kempen itu boleh diterapkan dalam diri individu dan masyarakat melalui pengaruh rakan-rakan dan ahli komuniti.

“Sebagai contoh, apabila mereka melihat rakan sebaya berjaya mengamalkan gaya hidup sihat, mereka turut merasakan gaya kehidupan yang sama patut diamalkan segera," katanya

Melalui kempen FitMalaysia, kementerian berharap 50,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kaum hadir menjayakan acara larian dan kayuhan basikal untuk tahun ini dengan purata penyertaan seramai 2,000 hingga 5,000 peserta dalam setiap enam siri jelajah yang akan diadakan di seluruh negara. - DHIYA’ZULHILMI DAUD

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.