saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 13/09/2014

Dimensi baru skaters Malaysia

ABDULAZEEZ Wan Ruslan berbangga dapat memberi satu lembaran baru dalam industri sukan lasak ini.

Permainan skateboard atau papan selaju bukanlah satu sukan yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia seperti bola sepak yang dimainkan segenap lapisan masyarakat tidak kira tahap umur.

Namun populariti sukan ini dilihat semakin lama semakin meningkat dengan adanya pertandingan bertaraf antarabangsa yang dipertandingkan di negara ini dalam tempoh 15 tahun.

Paling mencuri tumpuan legenda pemain papan selaju negara, Pa’Din atau nama sebenarnya Ahmad Fadzil Musa yang berjaya memenangi pingat emas di Asian X Games pada 2000 dan 2004.

Dengan kemenangan itu, ia menjadi titik tolak kepada generasi muda negara dalam menceburi sukan lasak yang berasal dari California, Amerika Syarikat ini untuk mencapai satu tahap yang lebih membanggakan.

Namun begitu, pelbagai kekangan masih dihadapi oleh mereka terutamanya dari segi infrastruktur yang bertaraf antarabangsa kerana skatepark yang sedia ada tidak mencukupi dan mencapai standard yang sebenar.

Ini terbukti apabila satu ketika dahulu pemain Malaysia digeruni dan gah di mata pemain papan selaju rantau Asia Tenggara, namun kini kita telah tertinggal jauh oleh kerana tidak mempunyai pelapis yang berbakat serta kemudahan yang baik.

Infrastruktur juga dilihat tidak cukup untuk membolehkan penggiat sukan ini pergi lebih jauh kerana spesifikasi dan tahapnya masih lagi rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Justeru, peranan kerajaan dilihat sangat penting dalam memberikan kemudahan dan sokongan terhadap sukan ini kerana satu hari nanti, para pemain papan selaju negara boleh mengangkat nama negara di mata dunia.- AMIRUL/RIDHUAN

Hellbent bawa dimensi baru

Ramai yang beranggapan bahawa permainan papan selaju tidak menjamin masa depan, namun usaha yang ditonjolkan oleh Hellbent memberi inisiatif kepada pemain dalam sukan ini harus diberi pujian.

Hellbent Skateboarding, antara syarikat pengeluar barangan berasaskan papan selaju tempatan telah melangkah seiring jenama besar antarabangsa dengan menaja bukan sahaja dari segi barangan tetapi juga pendapatan kepada pemain-pemain papan selaju.

Pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdulazeez Wan Ruslan, 28, berkata, beliau sendiri merupakan pemain sukan ini dan kesemua staf yang ada juga adalah pemain papan selaju.

Justeru, katanya, mereka lebih memahami mereka dalam soal seumpama ini.

“Kami ditaja oleh tiga pihak sebagai profesional yang mana salah seorang daripadanya ialah Parock Luis, selain tiga orang amatur dan beberapa pemain papan selaju kategori junior.

“Setiap mereka diberikan elaun tetap bulanan, barangan dan kelengkapan untuk bermain skate serta pengambaran video sebagai bahan-bahan promosi. Kerja mereka cumalah bermain dan mengukuhkan lagi skil dan nama di dalam sukan ini," jelasnya.

Hellbent juga pernah menjalankan akademi papan selajunya sendiri dan ia mendapat maklum balas yang memberangsangkan, bukan sahaja daripada golongan pelapis, bahkan juga ibu bapa.

Menurutnya, ibu bapa kini tidak lagi seperti dahulu yang memandang sukan ini sebagai satu sukan yang tidak mempunyai masa depan. Malah katanya, ibu bapa sekarang lebih bersikap terbuka.

Dengan adanya jenama-jenama tempatan yang kian berkembang dengan baik seperti Hellbent, satu set papan selaju siap bersama deck, grip tape, tayar, truck, bearing dan sebagainya boleh dibeli dengan harga serendah RM300.

Hellbent sendiri di bawah syarikatnya turut mengeluarkan barangan seperti pakaian, kasut dan topi, selain aksesori serta kelengkapan permainan sukan ini di bawah jenama Principle dan Maker.

Bagi mereka yang mahu pergi jauh dalam bidang ini, komitmen yang diberikan amat penting, bukan sahaja skil yang hebat tetapi disiplin antara faktor penyumbang untuk mereka bergerak jauh ke hadapan.

Tidak mustahil satu hari nanti kita mampu melahirkan seorang yang menjadi pemain papan selaju bertaraf dunia yang mampu menjana pendapatan sehingga puluhan ribu ringgit bukan sahaja melalui tajaan, bahkan juga klinik dan pembelajaran yang mereka berikan.

Skatebording sebagai punca pendapatan

Tidak pernah terlintas dalam diri Hairulzain Fauzi,30, bahawa dia akan menjadikan permainan papan selaju ini sebagai mata pencariannya sehingga hari ini.

Dia pernah bekerja di dalam pejabat, bahagian jualan dan sebagainya, namun minat dalam sukan lasak ini bagai memberinya galakan untuk pergi lebih jauh.

Sebagai seorang pemain skateboard, Hairul merasakan bahawa dia perlu bergerak jauh ke hadapan dalam sukan ini bukan sahaja sebagai pemain, bahkan sebagai pengeluar barangan sukan lasak itu.

Justeru, bermulalah bab baru dalam kehidupannya apabila dia merantau ke Australia selama tiga bulan untuk bermain bersama pemain profesional di negara itu.

Setelah pulang, dia mula menjalankan perniagaan menjual barangan sukan ini sehingga datang seorang pelancong dari Switzerland ke kedainya.

“Dia melihat barangan yang saya jual adalah barangan yang diimport dari luar negara dan dia bertanyakan pada saya, adakah saya ada menjual jenama-jenama tempatan atau jenama sendiri.

“Dari situlah, saya terpanggil untuk membina jenama sendiri dalam sukan ini kerana permintaan bukan sahaja dari pelancong luar, bahkan juga pemain-pemain dalam negara," jelasnya.

Pada percubaan pertama, dia gagal untuk bertemu dengan orang yang dihubunginya bagi urusan itu membuatkan dia pulang dengan tangan kosong.

Selepas itu, barulah dia membuat kajian sendiri dengan menghubungi kilang pembuat papan selaju di sana dan pergi sendiri untuk membuat tempahan sehingga lahirlah jenama papan selajunya sendiri yang diberi nama HZ (H-Zee), singkatan namanya.

Inisiatif itu membuahkan hasil yang mana rekaan papan atau lebih dikenali sebagai deck yang dicipta bersama rakannya, Haffizi Abu Bakar itu menerapkan unsur-unsur budaya Melayu dalam setiap rekaannya.

Setiap rekaan HZ ditampilkan dengan dua rekaan iaitu rekaan HZ sendiri yang menampilkan logo HZ serta rekaan klasik dengan menampilkan corak papan congkak, keris, kuda kepang dan sebagainya.

“Apabila pelancong datang ke negara ini, mereka pasti mahukan cenderahati yang tidak ada di negara mereka, lebih-lebih lagi jika dia juga seorang pemain skateboard, pasti mereka ingin mencari barangan seperti ini," katanya.

Kini, dia boleh berbangga apabila menerima tajaan daripada pengeluar minuman bertenaga Drive M7 di bawah bahagian Drive M7XTeam yang diuruskan oleh Syidi Ibrahim bagi menonjolkan bakatnya dalam permainan itu.

Perlu lima hingga 10 tahun lagi

Sasaran legenda skatebording, Pa’Din merasakan pemain skateboard negara boleh mencapai tahap profesional dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi jika mereka benar-benar berusaha ke arah itu.

Paling penting adalah sokongan kerajaan dan diri mereka sendiri untuk menjadi pemain papan selaju bertaraf antarabangsa dengan berhijrah ke California, Amerika Syarikat untuk melihat sendiri permainan itu di sana.

“California merupakan tempat lahirnya permainan ini dan di sana mereka akan lebih cepat belajar apabila bermain bersama mereka yang lebih handal dan profesional.

“Jika di sini, mereka merasakan sudah hebat tetapi apabila bermain di sana, kita akan mengetahui bahawa kita masih jauh terbelakang dari mereka seperti apa yang dialami oleh saya dahulu," jelasnya.

Walaupun kini Pa’Din sedang giat membangunkan perniagaannya dalam bidang modifikasi motosikal, Abah & Sons Motoworks di Cheras, namun dia tetap menyokong sukan ini dengan penganjuran pertandingan skateboard.

Pa’Din merasakan sudah tiba masanya, setiap skatepark perlu mempunyai piawaian antarabangsa agar pemain-pemain kita lebih cepat belajar dan mampu bersaing dengan mereka di peringkat antarabangsa.

“Kadang-kadang ada di antara pertandingan yang dibuat mengikut spesifikasi luar negara, namun tidak ramai pemain tempatan mampu bersaing. Sepatutnya, mereka mengambil cabaran sebegini bagi memberi pendedahan buat mereka.

“Melalui pengalaman seperti ini, mereka akan lebih belajar dan lama-kelamaan tahap permainan papan selaju negara akan lebih ke hadapan setelah ditinggalkan oleh negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.