REKREASI
ARKIB : 14/08/2014
Kayuhan kemanusiaan

Lazimnya, tamat sahaja pengajian, kebanyakan rakyat Malaysia yang belajar di luar negara seakan tidak sabar untuk mengambil penerbangan pulang dan secepat mungkin mahu bekerja.
Bagaimanapun, lain pula halnya dengan Badrul Hisham Burhanuddin, 24, yang baharu sahaja menamatkan ijazah sarjana kejuruteraan mekanikal di Universiti Sheffield di United Kingdom (UK).
Beliau tidak memilih jalan pulang seperti rakan-rakannya yang lain, sebaliknya akan berbasikal dari Sheffield, UK untuk pulang ke kampung halamannya di Klang, Malaysia.
Di sepanjang perkayuhannya, beliau mahu mempromosi Malaysia serta menyebarkan mesej kemanusiaan.
’Perjalanan pulang’ Badrul Hisham akan melibatkan beliau menyeberangi sempadan lebih daripada 22 negara.
Beliau akan mengayuh basikal melalui persekitaran yang berbahaya dari jalan kampung yang dilitupi salji di Eropah kepada padang pasir Iran yang panas membakar.
Bagaimanapun, Badrul Hisham tidak akan bersendirian dalam perjalanannya kerana tiga pengayuh basikal dari Kelab Sick Siders Malaysia (SSMY), sebuah kelab berbasikal dari Johor Baharu akan turut serta.
Pengembaraan kumpulan ini yang dijangka memakan masa 17 bulan dijadualkan bermula 1 Ogos.
Bagaimana impian ini bermula?
Menurut Badrul Hisham, yang akan mengetuai pengembaraan itu, semuanya bermula pada musim sejuk lepas setelah beliau mengalami kemalangan sewaktu berbasikal ke IceSheffield, arena ais yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya.
“Sewaktu tempoh penyembuhan selama seminggu, saya hanya duduk santai, sepanjang masa menonton televisyen.
“Suatu hari, ada dokumentari tentang orang yang berbasikal di seluruh dunia.
Saya beritahu diri saya bagusnya kalau saya boleh buat yang sama," Badrul Hisham memberitahu Bernama dalam satu wawancara.
Sejak itu, beliau memendamkan dulu impiannya dan mula mencari maklumat berbasikal menjelajah dunia sehinggalah berjumpa kumpulan di Facebook yang membincangkan kegiatan luaran iaitu Malaysian Backpackers.
Beliau berkenalan dengan tiga ahli SSMY, Mohd Hafidz Hamid, 22, Muhammad Adib Mohamad Ali, 25 dan Mohd. Azrulhan Mohd Shafei, 25.
Badrul Hisham tidak membuang masa untuk mengutarakan cadangannya yang pada masa itu boleh dianggap sebagai gila kepada ahli-ahli Sick Siders.
Memandangkan semuanya mempunyai minat yang mendalam dalam mengayuh basikal, bagi mereka berbasikal dari UK ke Malaysia bukan sahaja untuk memburu impian tetapi juga peluang untuk menghulur sumbangan.
“Saya masih ingat ketika memberitahu idea saya ini kepada seorang kawan semasa makan di sebuah restoran.
“Kawan saya ketawa besar seolah-olah keinginan saya berbasikal balik ke Malaysia sebagai satu lawak jenaka. Bagaimanapun, selepas kami beredar dari restoran itu, kawan saya memberitahu bahawa idea saya itu memang menarik jika boleh dilaksanakan," kata Badrul Hisham.
Apabila ditanya mengenai matlamatnya, anak muda ini berkata beliau mahu mengumpul dana dan menyebarkan maklumat mengenai pelarian Palestin.
Melalui pengembaraannya juga, beliau mahu mempromosikan “Amal Antarabangsa untuk Gelandangan".
“Orang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Keadaan ini berlaku di seluruh dunia. Misi kami adalah untuk membantu menyelesaikan isu sejagat kemiskinan, gelandangan dan pelarian, terutamanya rakyat Palestin. Kami mahu semua pihak menjadi sebahagian daripada pengembaraan kami.
“Secara tidak langsung, masyarakat dunia akan tahu Malaysia adalah negara yang cintakan keamanan, mengamalkan kesederhanaan serta sikap kita terhadap orang miskin dan gelandangan.
“Semuanya ini akan dilaksanakan melalui interaksi kami dengan masyarakat tempatan di setiap tempat persinggahan," kata Badrul Hisham sambil menyatakan sesetengah penduduk kampung kecil di Eropah tidak pernah mendengar nama Malaysia.
Tambahnya, keempat-empat mereka akan mengibarkan bendera Malaysia dan Palestin di basikal mereka bagi meningkatkan kesedaran mengenai kedua-dua negara.
Dengan cara itu juga, dia berharap lebih ramai orang tampil untuk bertanya mengenai Malaysia dan perjuangan rakyat Palestin. - BERNAMA
Skuba muslimah tampil i-divers
Hutan Temenggor kaya khazanah alam
Rekod 1,000 roller-coaster
Teroka Sungai Chiling hujung minggu
Floorball makin berkembang
Misi amal bantu Orang Asli
Apabila bikers main paintball
Kereta klasik Volkswagen masih diminati
Ziarah amal sambil uji fizikal, mental
KLM 2014 redah 1,000 kilometer
Dimensi baru skaters Malaysia
FitMalaysia pemangkin negara bersukan
Tambah pendapatan di hujung minggu
Skuter gegar litar
Main kasut roda di tengah malam
Kayuhan kemanusiaan
Berbasikal untuk sihat
Beramal dengan basikal Beramal
Nikmati keindahan Royal Belum
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||












