saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 12/08/2014

Berbasikal untuk sihat

Johari Basri (empat dari kiri) bersama rakan-rakan yang menyertai program berbasikal Seremban 2, Tower Mountain Bike Hash (S2TMBH) anjuran Bikezone Negeri Sembilan, baru-baru ini.

BERBASIKAL memang sentiasa dekat di hati saya, malah saya mula berbasikal sejak dari bangku sekolah lagi," ujar Datuk Dr. Ir. Johari Basri, bekas ketua pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Beliau yang baru sahaja menamatkan perkhidmatannya sebagai kakitangan awam, ditemui dalam program berbasikal Seremban 2, Tower Mountain Bike Hash (S2TMBH) anjuran Bikezone Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Kata beliau, sewaktu diberi kepercayaan mengemudi JKKP, selain isu keselamatan seperkara lagi yang menjadi keutamaan ialah tahap kesihatan kakitangan secara khusus.

Daripada situ maka tercetus idea untuk mewujudkan hobi berbasikal di kalangan kakitangan sejak enam tahun yang lalu, dengan hasrat untuk melihat mereka sihat dan selamat bekerja.

“Kemalangan mungkin berlaku akibat kakitangan yang tidak sihat untuk melaksanakan tanggung jawab yang sepatutnya," jelasnya yang mengakui faktor usia bukan penghalang untuk dirinya aktif berbasikal.

Bagi Johari, berbasikal bukan sekadar menyihatkan badan malah satu aktiviti riadah yang baik.

Secara umumnya sebagai pekerja semua berhadapan dengan stres atau tekanan dan berbasikal merupakan salah satu riadah untuk mengurangkan tekanan tersebut.

“Boleh dikatakan kadar pengambilan sijil cuti sakit di kalangan kakitangan di JKKP menurun semenjak aktiviti berbasikal ini diperkenalkan enam tahun lalu," ujarnya yang telah menyertai lebih 30 kali program berbasikal di seluruh Malaysia.

Galak kakitangan kerajaan

JKKP sentiasa mempromosikan aktiviti berbasikal ini bukan sahaja sebagai riadah hujung minggu, malah dijadikan sebagai medium pengangkutan untuk ke pejabat bagi sesetengah kakitangannya yang duduk di sekitar Putrajaya.

Menurutnya lagi, jabatan ini seharusnya menjadi contoh ikutan bagi jabatan-jabatan lain dengan mempromosikan gaya hidup sihat yang salah satunya adalah dengan berbasikal ke tempat kerja.

Ia bukan sahaja dapat memberi kecergasan sebelum memulakan kerja, malah dapat mengurangkan tekanan kerana dapat mengelak daripada memandu dalam kesesakan dan mencari parkir.

“Ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan harian dengan mengurangkan belanja untuk petrol di samping dapat melestarikan alam sekitar.

“Pihak jabatan kini berasa bangga kerana kesemua 13 cawangan JKKP di seluruh negara mempunyai pasukan berbasikal masing-masing," jelas beliau.

Johari secara peribadi menggemari off road cycling di mana mereka berbasikal masuk ke dalam hutan yang adakalanya trek basikal pun mereka terpaksa terokai sendiri.

Melalui cara ini katanya, pengayuh basikal dapat menikmati keindahan alam sekitar sambil menghirup udara yang segar dalam hutan, malah jika bernasib baik mereka dapat singgah ke perkampungan Orang Asli sambil berbual mesra dengan mereka.

“Kalau memandu kita takkan dapat lihat apa yang ada di dalam hutan, sebaliknya berbeza jika berbasikal kita dapat mengetahui segala bentuk kehidupan lain di situ," kata beliau lagi.

Jarang ambil MC

Sementara itu, salah seorang peserta dalam aktiviti berbasikal anjuran S2TMBH, Muhammad Amin Rozak berkata, semasa di alam sekolah rendah beliau memang berbasikal sejauh 20 kilometer dari rumahnya ke sekolah.

“Bagi saya berbasikal adalah salah satu gaya hidup sihat yang dapat membentuk kecergasan fizikal dan menjadi satu latihan yang akan mengurangkan ketegangan fikiran.

“Di samping dapat menguatkan otot dan membakar kalori, aktiviti berbasikal juga menyumbang ke arah kesihatan secara efektif. Ia sesuai untuk semua peringkat umur malah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan (aktiviti luar bersama keluarga).

“Berbasikal memberi satu kepuasan kepada saya kerana ia melibatkan pengembaraan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Dari segi kecergasan pulan, berbasikal meningkatkan tahap metabolisme dan stamina tubuh saya.

“Aktiviti yang mengeluarkan peluh ini menunjukkan bahawa organ dan tubuh saya berfungsi dengan baik dan ini memberi suatu kepuasan.

“Di samping itu, berbasikal dapat menambah kenalan dan meningkatkan tahap komunikasi dengan semua ahli berbasikal yang lain. Bak kata orang jauh perjalanan luas pemandangan," katanya yang mengakui jarang mengambil cuti sakit (MC) kerana tubuhnya berada dalam keadaan sihat dan bertenaga.

Kebaikan berbasikal dari aspek kesihatan

Jerry Travers dari adultbicycling.com mengatakan berbasikal boleh menguatkan otot dan membina stamina.

“Sebenarnya bukan anggota kaki sahaja yang terlibat apabila basikal malah keseluruhan tubuh terlibat apabila berbasikal.

“Dengan berbasikal juga risiko terseliuh dikurangkan malah mempertingkatkan proses penguatan otot.

“Berbasikal paling baik untuk membina kekuatan paha dan sendi lutut. Apabila seseorang berbasikal secara rutin anda akan dapati bentuk otot di bahagian kaki anda akan lebih kemas," ujarnya.

Berbasikal memang satu cara yang terbaik juga untuk membina stamina, ini kerana ia boleh dijalankan dalam masa yang lama tanpa membosankan dan begitu memenatkan.

Siapa pun tidak akan sedar sejauh mana mereka telah berbasikal dan telah mendapat manfaatnya juga.

“Denyutan jantung seseorang yang berbasikal juga akan menjadi lebih baik dan sekali gus mempertingkatkan kesihatan sistem kardiovaskular. Kajian menunjukkan bahawa kesihatan kardiovaskular seseorang akan meningkat sebanyak tiga hingga tujuh peratus dengan berbasikal," ujarnya.

Berbasikal juga boleh membakar kalori dan dengan berbasikal selama sejam setiap hari anda boleh membakar kira-kira 300 kalori.

Menurut Persatuan Perubatan British, berbasikal sejauh 20 batu seminggu boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak 50 peratus.

“Satu kajian dilakukan ke atas 10,000 kakitangan awam mendapati bahawa mereka yang berbasikal 20 batu sepanjang tempoh seminggu telah berkurang sebanyak 50 peratus risiko sakit jantung berbanding mereka yang tidak berbasikal.

“Berbasikal memperbaiki koordinasi anggota kiri dan kanan dan yang lebih utama, apa-apa senaman boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan dan meningkatkan kesejahteraan dan harga diri.

“Berbasikal di luar rumah juga merupakan cara yang baik untuk menjadi satu dengan alam dan untuk merasakan nafas bumi. Ia mengambil minda seseorang daripada tekanan setiap hari kehidupan dan meremajakan jiwa," ujarnya. - NOOR FAZRINA KAMAL

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.