saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 22/07/2014

Pahit, manis ekspedisi

TAHIRA Majmunisaa dan Abdul Rahman mengibar Jalur Gemilang setelah melalui ekspedisi dengan jayanya

EKSPEDISI Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 telah menamatkan misi penjelajahan ke Greenland, iaitu wilayah paling sejuk di dunia dan kembali ke tanah air 3 Jun lalu.

Penjelajahan yang mengambil masa 27 hari untuk tiba di lokasi penamat di Hill 660 Kangerlusuaq, sepenuhnya melalui pelbagai kesukaran oleh semua anggota ekspedisi namun dapat ditempuhi dengan kejayaan.

Pada ekspedisi inilah dua pasangan suami isteri, Tahira Majmunisaa Mohd. Zaid, 25, dan suaminya, Abdul Rahman Abu Hassan, 31, meninggalkan keluarga dan dua orang anak mereka, Ahmad Amin Alhamidin, 4, dan Sharifah Aliya, 2, demi menjayakan misi berkenaan.

Selain Tahira Majmunisaa dan Abdul Rahman enam anggota ekspedisi lain ialah Yanizam Mohamad Supiah, 29, dari Felda Keratong 9, Pahang yang kemudian dilantik sebagai ketua ekspedisi; Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz,25, dari Felda Gedangsa Wilayah Trolak. Kedua-duanya kini bertugas di Unit Tindakan Khas, Polis Diraja Malaysia, Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25; dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25.

Syukur, adalah kata-kata yang terkeluar daripada mulut pasangan suami isteri ini apabila tiba ke tanah air dengan keadaan yang selamat.

Ketika pasangan ini ditemui selepas ekspedisi berkenaan bagi menanyakan pengalaman yang dilalui mereka, Tahira Majmunisaa banyak bercerita mengenai pengalaman terutama kesukarannya ketika mengalami melecet yang teruk di bahagian kaki sehingga menyukarkannya bergerak.

“Dalam saat-saat ini suami sayalah yang banyak memberikan dorongan dan membantu. Dia tidak pernah sesekali meninggalkan saya dan sentiasa berada di belakang. Memandangkan dalam ekspedisi berkenaan dia sihat, suami saya yang membawa beg bekalan, ketika saya mengalami kecederaan," tutur Tahira Majmunisaa mengimbas kembali pengalamannya ketika menyertai ekspedisi berkenaan.

Menurut Tahira Majmunisaa, mereka bertolak dari London ke Iceland pada 18 April dan terkandas di Kulusuk, greenland pada 24 April akibat salji mencair kerana cuaca yang agak panas dan menyebabkan kabus.

Pada 28 April kumpulan ini ke titik permulaan di Hansglacier, Greenland. Perjalanan penjelajahan keseluruhannya mengambil masa selama 27 hari dengan ditemani dua orang jurupandu dari Iceland.

“Sepanjang perjalanan apa yang kami lihat hanyalah putih, permukaan naik turun tiada, seolah-olah hanya datar sahaja tetapi sebenarnya kami menaiki perjalanan yang menaik dalam 50 meter sehari. Pada waktu itu kami memakai tiga lapisan pakaian yang sesuai dan but ski.

“Angin yang teramat sejuk bertiup dengan purata suhu - 35 darjah celcius, sehinggakan dalam keadaan ini kami perlu bergerak setiap kali agar anggota badan tidak sejuk dan membeku. Bila hendak pasang khemah pun kena bergerak dengan banyak supaya tidak kaku. Kami dirikan empat buah khemah di base camp.

“Dalam khemah udara agak panas. Saya bersama suami dalam satu khemah," kata Tahira Majmunisaa seorang atlet dan aktif dalam sukan lasak seperti triathlon dan aktiviti kembara lain yang berasal dari Tanjung Malim, Perak.

Dalam pada itu ketika ditanya apakah makanan yang dimakan sepanjang ekspedisi berkenaan, Tahira Majmunisaa menjelaskan mereka hanya mengisi perut dengan kepingan nasi kering (nasi segera) yang ditambah air panas.

Sepanjang ekspedisi berkenaan ahli-ahli penjelajah perlu berjalan dengan kadar 10 jam sehari dengan setiap seorang membawa bebanan sebanyak 60 kilogram sehingga 80 kilogram yang ditarik menggunakan sledge.

Di dalam perjalanan mereka perlu minum air selalu agar tidak terhidrat.

Dalam pada itu Abdul Rahman berkata, bajet bekalan makanan yang dibawa kumpulan itu sebenarnya adalah untuk 25 hari tetapi akibat faktor cuaca dan terkandas di kawasan-kawasan tertentu ahli-ahli ini kekurangan bekalan untuk dua hari, justeru bagi mencukupkan bekalan, ahli-ahli ekspedisi mengambil keputusan untuk berjimat cermat.

“Untuk sarapan kami akan mengambil bijirin, tengah hari pula dibekalkan dengan lunch box biskut. Mungkin makanan ini tidak mengenyangkan tetapi memadai bagi sokongan tenaga yang kami perlukan. Air pula akan dimasak oleh jurupandu yang berpengalaman memasak air di atas salji.

“Bagi makan malam pula kami diberikan makanan dalam pek berupa sama ada nasi kering atau pasta kering. Sepanjang perjalanan kami juga akan memakan snek seperti coklat dalam membantu mendapat tenaga dan sedikit haba. Itu pun kami perlu makan sedikit demi sedikit," jelasnya.

Katanya, sebaik sampai di puncak Greenland pada waktu itu angin bertiup dengan sangat kuat (ribut kecil). Ketika itu semua benda yang dilihat hanya berwarna putih sahaja dengan kadar jarak penglihatan setakat lima meter sahaja.

Pada waktu seperti itu ahli-ahli kumpulan perlu berjalan dengan rapat dan tidak boleh berpisah selain kesukaran untuk mendengar percakapan masing-masing, justeru, ahli-ahli kumpulan banyak menggunakan isyarat tangan.

Namun Abdul Rahman menjelaskan ekspedisi itu berlangsung dengan selamat kerana tiada rekahan ais yang boleh membahayakan perjalanan.

Pada ekspedisi kali ini ramai dalam ahli kumpulan penjelajah yang tidak berapa sihat. Ada yang hampir pitam, batuk berdarah, buasir dan sebagainya dalam perjalanan. Namun mereka semua tidak patah semangat dan sentiasa bersedia untuk meneruskan perjalanan.

“Tetapi Tahira mengalami kemelecetan kaki yang agak kronik sehingga menyebabkan dia sukar untuk bergerak. Kaki yang melecet itu berlarutan sehingga berdarah. Tetapi isteri saya memang mempunyai semangat yang kuat. Selalunya apabila kami tarik sledge lima minit kemudian berhenti untuk memberi ruang kepada Tahira memulihkan sedikit kesakitan kakinya.

“Kami juga tidak boleh berhubung dengan keluarga di tanah air kerana kesukaran penghubung komunikasi. Hanya sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini pihak keluarga di tanah air akan akan dimaklumkan menerusi syarikat jurupandu," kata Abdul Rahman, anak kelahiran Klang, Selangor, yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bahagian pasukan khas (Paskal) sejak 10 tahun lalu.

Tidak dikenal anak

Apabila ditanya apabila berjumpa dengan anak kali pertama selepas lebih sebulan tidak berjumpa, Tahira menjelaskan ahli keluarga yang menjaganya memberitahu pada dua minggu pertama anak-anaknya asyik bertanya mengenai ketiadaan mereka berdua dan seterusnya jarang-jarang pada minggu berikutnya.

“Bila kami balik berjumpa mereka, mula-mula mereka macam tidak kenal untuk seminit dua, selepas itu baru mereka menjerit memanggil kami dan kemudian merajuk sekejap," kata Abdul Rahman.

Amalan berbuka, sahur

Apabila ditanya mengenai Ramadan, Tahira menjawab dia tiada masalah melakukan latihan lasak dalam bulan Ramadan kerana selalu melakukan latihan berat ketika berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis malah dia mengakui staminanya semakin meningkat.

“Apabila bersahur akan mengambil kurma dan bijirin sahaja. Bila berbuka pula saya lebih gemar makan salad buah dengan kuantiti yang banyak juga kurma dan kismis. Bagi protein saya mengambil ikan dan ayam namun saya tidak mengambil nasi dalam diet saya.

“Bagi Abdul Rahman pula dia berbuka seperti biasa tetapi mengambil juadah dalam kuantiti yang sikit," katanya yang bakal menjelajah Kutub Utara dan Selatan pada ekspedisi yang akan datang. - Rosmah Dain

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.