saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 07/07/2014

Pulihara ikan Kampung Kopuron

Maklus Miting memberi makan ikan yang terdapat di salah satu kawasan sungai berhampiran kampungnya yang terlibat dalam pelaksanaan Sistem Tagal.

“Saya tidak mahu ikan di sungai kampung ini pupus sehingga menyebabkan generasi muda tidak tahu jenis ikan yang pernah wujud di sini," kata Maklus Miting, Pengerusi Jawatankuasa Sistem Tagal Kampung Kopuron di Telupid, kira-kira 100 kilometer (km) dari bandar Sandakan.Sabah.

Itu adalah satu daripada tiga sebab yang mendorong guru Sekolah Menengah Kebangsaan Entilibon Togod itu melaksanakan Sistem Tagal pada 2011 di Sungai Kopuron yang mengalir di kampung berkenaan.

Sistem itu adalah strategi serampang dua mata dalam memulihara sungai dan melindungi spesies hidupannya.

Menerusi sistem itu, aktiviti menangkap ikan di sungai dapat dikawal mengikut tiga zon berdasarkan kepada sejuah mana seriusnya masalah yang berlaku.

Maklus berkata, dua lagi perkara yang mendorongnya melaksanakan Sistem Tagal di sungai berkenaan adalah ikan semakin berkurangan dan kejayaan sistem itu di Kampung Luanti Ranau, kira-kira 120km dari Sandakan, yang membawa pelancong dan menjana pendapatan bagi penduduk kampung.

Ketiga-tiga alasan ini menjadi pembakar semangat kepada Maklus melaksanakan sistem itu di kampungnya.

Maklus berkata, ketika membuat cadangan melaksanakan Sistem Tagal di kampung Kopuron yang dihuni kira-kira 500 orang, penduduk kampung memberi maklum balas yang positif dan sokongan kepadanya.

Kerjasama daripada penduduk kampung memudahkan penubuhan satu jawatankuasa bagi melaksanakan Sistem Tagal di Kampung Kopuron.

Jawatankuasa itu kemudian mengenal pasti kawasan-kawasan di sepanjang Sungai Kopurun untuk dibahagikan mengikut zon Sistem Tagal.

Sebanyak empat kawasan di sungai itu dikenal pasti sebagai zon merah dan satu daripadanya terletak berhampiran kawasan perumahan penduduk kampung, satu-satunya kawasan sungai dengan kemudahan jambatan gantung di situ.

“Kawasan itu dipilih sebagai zon merah untuk tujuan pemuliharaan dan pembiakan ikan," katanya sambil menambah bahawa empat stesen untuk zon merah itu ialah Bangus, Tansugai, Liwatong dan Bistaria.

Bagi zon kuning pula, tiada stesen diletakkan dan hanya diletakkan papan tanda dan begitu juga untuk zon hijau.

Aktiviti menangkap ikan di zon kuning yang dilakukan sekali dalam dua tahun dengan kali terakhir baru-baru ini pada 26 Jun.

Sebelum kegiatan menangkap ikan dilaksanakan, satu mesyuarat akan diadakan dan peraturan menangkap ikan ditetapkan antaranya daripada segi saiz ikan dan saiz pukat yang dibenarkan.

Maklus berkata, buat masa sekarang, hasil perlaksanaan Sistem Tagal menunjukkan keputusan positif berdasarkan peningkatan spesies ikan khususnya di zon merah.

Satu daripada stesen di zon merah iaitu Liwatong memiliki keunikan tersendiri disebabkan banyaknya spesies ikan keli yang biasanya hanya hidup di kawasan air berpaya dan kolam.

Hasil perkembangan positif perlaksanaan Sistem Tagal di kampung itu, Maklus bersama jawatankuasanya sedang berusaha memajukan satu daripada kawasan sungai dalam zon merah untuk tujuan pelancongan bertemakan rekreasi.

Menurut Maklus, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Land Empowerment Animals People (Leap) dan Sabah Forever telah tampil membantu usaha mereka itu daripada segi penyediaan khidmat nasihat dan dana.

Dua pertubuhan bukan kerajaan itu bersama Jabatan Perhutanan Sabah akan mengadakan bengkel untuk memberi kefahaman kepada penduduk kampung mengenai pentingnya usaha mengekalkan persekitaran yang asli menerusi sistem pemuliharaan itu.

Maklus berharap usaha mereka dapat direalisasi seperti perlaksanaan sistem di Kampung Luanti Baru Ranau, yang kini menjadi antara produk pelancongan di kawasan Ranau dan menjana pendapatan bagi penduduk kawasan itu.

Sistem Tagal di kampung itu dilaksanakan di Sungai Muroli pada 2002 menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa Tagal.

Selain dapat melihat ikan kelah di kawasan sungai yang di Tagal itu pelancong yang berkunjung ke kampung itu, disediakan kemudahan penginapan seperti rumah panjang serta rumah tradisional yang diperbuat daripada buluh.

Ketua Kampung Kopuron Malisau Ukil berkata, penduduk kampung memberi kerjasama penuh kepada perlaksanaan Sistem Tagal.

Sejak dilaksanakan pada 2011, tiada laporan diterima mengenai pencerobohan di kawasan zon merah dan kuning.

“Dahulunya kebanyakan kawasan sungai di kampung Kopuron kekurangan ikan tetapi sekarang ini keadaan adalah berbeza disebabkan jumlah ikan yang bertambah khususnya di zon merah," katanya.

Sistem itu juga akan dapat memajukan aktiviti pelancongan di kampung itu dan memberi manfaat kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan serta peluang pekerjaan.

Malisau berkata terdapat juga tiga kawasan air terjun berhampiran kampung itu yang boleh menjadi tarikan tambahan bagi menggamit pelancong.

Beliau turut berharap usaha Maklus melaksanakan Sistem Tagal berjaya kerana ia memberi manfaat kepada penduduk kampung seterusnya menyumbang kepada kemajuan kampung itu.

Baginya, apa yang penting agar generasi akan datang dapat melihat ikan dan sungai di kampung itu menerusi perlaksanaan Sistem Tagal. - Bernama

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.