saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 12/10/2014

Indahnya Hong Kong

DISNEYLAND Hong Kong.

PADA 19 April 2013, kami berlepas dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Saya dan suami berlepas ke Hong Kong untuk menyambut ulang tahun pertama perkahwinan kami iaitu pada setiap 21 April. Apabila tiba di Lapangan Terbang pada pukul 10 malam, kami terus mencari jalan untuk ke hotel iaitu Hotel Emperor di Happy Valley.

Menariknya di Hong Kong, rata-rata rakyatnya pandai berbahasa inggeris, banyak papan tanda dan arah jalan dalam bahasa Inggeris yang memudahkan kami mencari jalan sendiri dari lapangan terbang ke stesen kereta api. Kebanyakan rakyat Hong Kong berjalan kaki atau menaiki kereta api dan tidak menggunakan kereta. Nilai mata wang Hong Kong juga tidak terlalu berbeza daripada Ringgit Malaysia. Bandar raya Hong Kong terletak di dalam pulau yang terasing (secluded) dan tidak terlalu luas.

Selepas menaiki kereta api ke Bandar Happy Valley, kami menikmati keindahan malam bandar Hong Kong yang dilatari pencakar langit dan kompleks beli-belah pelbagai produk berjenama. Apabila hujan renyai, tidak terasa kerana struktur susunan bangunan pencakar langit yang rapat antara satu sama lain. Kami asyik melihat panorama malam dalam kesibukan orang ramai mencari jalan pulang ke destinasi masing-masing.

Sampai saja di hotel dengan menaiki trem dan berjalan kaki, kami berehat pada hari pertama kerana sudah lewat malam.

Esoknya, hari pertama di Hong Kong, seperti pelancong yang lain, kami berjalan ke stesen kereta api dan terus menaiki tren ke Avenue of Stars. Untungnya di Hong Kong, semua tempat pelancongan agak berdekatan antara satu sama lain. Tidak perlu menukar tren di setiap stesen kerana setiap tarikan pelancong telah ditetapkan di stesen. Jadi pelancong hanya perlu turun terus ke stesen yang dikehendaki.

Di Avenue of Stars, terdapat pelbagai lintasan bintang, momento kenangan dan kesan tapak tangan artis terkenal Hong Kong seperti Andy Lau, Jackie Chan, dan banyak lagi. Kami juga sempat mengabadikan kenangan dengan monumen Bruce Lee yang sangat menarik, berlatar belakangkan bangunan pencakar langit Hong Kong.

Selepas puas bergambar, kami teruskan perjalanan ke destinasi seterusnya di Tsim Sha Tsui untuk bersiar-siar dengan menaiki tongkang.

PENULIS dan suami bergambar dengan Donald dan Daisy Duck.

Destinasi seterusnya ke Ocean Park, taman tema yang terletak di atas gunung di Hong Kong. Pada kami Ocean Park ialah satu destinasi yang paling terbaik di Hong Kong kerana ia menempatkan taman tema dalam dan luar bangunan yang unik.

Ia bukan saja taman tema biasa tetapi terdapat taman-taman tema lain seperti Zoo Panda, Zoo Penguin, Permainan Ice World, permainan roller coaster outdoor dan paling menarik terdapat bandar kecil Hong Kong lama seperti yang selalu dilihat di dalam filem-filem Hong Kong lama.

Namun, kami hanya dapat meluangkan masa tiga jam di sini kerana harus berangkat ke tempat seterusnya. Tetapi jika diberikan peluang lagi, kami pasti akan meluangkan sekurang-kurangnya sehari di Ocean Park kerana banyak lagi tempat untuk diterokai. Dinasihatkan pelancong yang ingin berkunjung ke Ocean Park memakai kasut yang selesa kerana perlu banyak berjalan di sini.

Seterusnya kami berkunjung ke Madame Tussaud's. Seperti biasa, pelancong hanya perlu menaiki tren ke stesen seterusnya yang ditetapkan untuk ke Madame Tussaud’s. Tanyalah sesiapa saja peminat filem tegar, pasti sangat seronok apabila dapat meluangkan masa di sini. Menempatkan pelbagai patung lilin selebriti terkenal seperti Presiden Amerika Barrack Obama, Putera William dan Kate Middleton, pelakon Hong Kong seperti Aaron Kwok, pelakon Bollywood seperti Amitabh Bachan, pelakon Hollywood, atlet dan ramai lagi.

Pasti pelancong akan asyik bergambar dengan patung lilin yang sangat ‘real’ tanpa menyedari masa berlalu. Tiket ke Madame Tussaud's agak mahal tetapi sangat disyorkan kerana berbaloi dan wajar dikunjungi.

Tamat lawatan di Madame Tussaud's kami meluangkan masa di Bandar Kowloon. Menikmati sendiri pandangan malam di bandar Hong Kong yang memaparkan pelbagai gerai seperti di pasar malam. Rata-rata peniaga gigih menjual barangan mereka. Tapi yang hairannya, sekitar pasar dan laluan sangat bersih dan tidak kotor. Melihat suasana malam di Bandar Kowloon dengan teksi merah yang sibuk mencari penumpang seperti salah satu babak dalam filem New Police Story.

Pada hari seterusnya, kami meneruskan perjalanan pada awal pagi ke Disneyland Hong Kong. Ini adalah pertama kali kami menjejakkan kaki ke Disneyland. Sebagai peminat filem Disney seperti Toy Story, Mickey Mouse, Lilo dan Stich serta banyak lagi, kami sangat teruja untuk ke sini. Tidak perlu susah mencari tiket ke Disneyland kerana ada dijual oleh ejen pelancongan atau di hotel tempat anda menginap.

Untuk ke Disneyland, anda kena menaiki tren di stesen khas yang bercorak Mickey Mouse yang akan terus membawa anda memasuki satu terowong khas ke Disneyland Resort. Kami difahamkan lokasi Disneyland ini di sebuah pulau yang terasing dari bandar Hong Kong.

Sampai saja di Disneyland kami beruntung kerana tidak terlalu sesak dengan pengunjung. Mungkin kerana kami tiba awal pagi. Selepas beberapa langkah dari pintu masuk kami menemui maskot Donald dan Daisy Duck yang sedia bergambar percuma dengan peminat.

Selepas bergambar kami meneruskan perjalanan ke istana Cinderella sebelum memasuki teater 4D Mickey Mouse. Selesai di situ kami melawat ke taman Toy Story dan Jungle Book serta melihat persembahan Tarzan. Menariknya pada hari itu, tepat pukul 3.00 petang semua pengunjung diminta untuk tunggu di sisi laluan pejalan kaki.

Pelacong dipersembahkan dengan perarakan karakter Disney yang terkenal seperti Snow White and Seven Dwarf, Buzz the Light Year, Lilo and Stich dan pelbagai lagi. Lebih kurang 10 kereta perarakan membuat perarakan dan persembahan untuk tontonan pengunjung. Kami sangat bertuah kerana dapat melihat sendiri perarakan Disney.

Selesai satu hari suntuk di Disneyland, kami menghabiskan malam terakhir di Hong Kong dengan berjalan ke Sky Park. Untuk ke Sky Park, kami menaiki trem khas yang berdekorasi vintaj zaman silam Hong Kong. Sky Park terletak di lereng bukit yang tinggi di Bandar Hong kong, ia menempatkan taman langit untuk melihat Hong Kong dari puncak tertinggi.

Suasana sangat sejuk dan romantik di sini seperti di Cameron Highland. Menariknya terdapat juga pusat beli-belah dan restoran makan malam yang bercita rasa tinggi untuk pasangan. Kami makan di sini sebelum pulang memandangkan malam itu adalah malam terakhir kami di Hong Kong. Terasa sayang sekali untuk tinggalkan Hong Kong kerana kenangan yang tercipta sangat indah.

Pada kami, Hong Kong ialah salah satu destinasi pelancongan yang paling menarik pernah kami kunjungi. Ia kerana ia sangat mesra pelancong dengan banyak papan tanda dan risalah yang memberikan info mudah kepada pelancong. Ia menjimatkan masa mencari destinasi kerana setiap pusat tarikan pelancong berdekatan, tidak banyak pergerakan dan lokasi pula menarik. Insya-Allah jika diberikan peluang tahun hadapan kami mahu pergi ke Hong Kong lagi dengan seisi keluarga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.