saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 04/09/2014

Keramahan bumi Kelabit

Wanita Kelabit lengkap berpakaian tradisional 'Sapa Arit' dan bertopi manik 'Peta' ketika ditemui di rumah panjang Bario Asal.

Bario? Di mana tempat ini? Apa ada di Bario? Itu adalah antara persoalan yang terdetik dalam fikiran penulis tatkala menerima tugasan ke dataran tanah tinggi berdekatan Kalimantan, Indonesia ini.

Berpeluang ke Bario bersama beberapa lagi pengamal media lain melalui rombongan Kembara Media 1Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia baru-baru ini memberi pengalaman baru.

Bario adalah penempatan bagi masyarakat Kelabit, yang terkenal dengan sifat rajin bekerja, dan sumber bagi beras wangi Bario. Selain itu, ia terkenal dengan nanasnya yang segar dan manis.

Bario mempunyai kira-kira 1,500 penduduk dan 90 peratus daripada mereka adalah masyarakat Kelabit, selain bakinya Penan, Melayu dan Cina.

Siapa sangka, masyarakat Kelabit yang dahulunya dikenali sebagai pahlawan serta pemburu kepala yang berani dan digeruni, kini amat pemurah dengan sapaan mesra dan senyuman menawan.

Kemesraan dan kesantunan masyarakat pribumi itu jelas dirasai apabila rombongan media yang menjejakkan kaki ke rumah panjang di Bario Asal dirai dalam sambutan yang cukup kaya dengan tradisi.

Di hadapan muka pintu, penghuninya yang tidak putus-putus menguntumkan senyuman, berbaris panjang bagi menyambut ketibaan tetamu dan ada yang menyua minuman buah nanas kepada mereka untuk terus diminum menggunakan penyedut minuman.

Tetamu juga dikalungkan dengan seutas rantai bermanik halus sebelum diajak menari, dengan berpegang pinggang atau bahu beramai-ramai sambil menghayun derap langkah penuh gemalai mengikut alunan lagu tradisional Kelabit.

Tarian ’Makasor’, yang bermaksud long dance, adalah sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran tetamu ke rumah panjang yang kukuh berdiri sejak tahun 1963 lagi.

Anggap sebagai hero

Tidak cukup dengan itu, kumpulan wanitanya yang lengkap berpakaian tradisional `Sapa Arit' dan bertopi manik ’Peta’ kemudian turut menyanyikan lagu epik kaum Kelabit, `Adih’ kepada tetamu.

Menurut Pun Ngalinuh Karuh, yang usianya hampir menginjak 100 tahun, lagu sarat sejarah itu mengisahkan mengenai wira Kelabit, Angan Tandun yang amat mereka agungi.

“Masyarakat Kelabit amat menghargai dan menganggap tetamu yang berkunjung ke Bario sebagai hero seperti Angan Tandun kerana untuk masuk ke Bario bukan mudah," katanya.

Rumah panjang moden namun tetap mengekalkan ciri-ciri keaslian itu mempunyai 23 unit pintu yang setiap pintu secara purata diduduki seramai enam orang sekeluarga.

Setiap pintu dihiasi potret wajah keluarga dari kecil hingga dewasa, malah turut dilengkapi dengan bilik privasi masing-masing, ruang tamu dan dapur memasak terbuka yang masih menggunakan kayu api.

Ketua kaum Bario Asal Kelabit, Laju Balang berkata, masyarakat Kelabit yang tinggal di Bario kebanyakkannya adalah generasi tua dan mereka mudah dikenali dengan tatu ukiran tradisional serta subang logam berat tergantung di cuping telinga yang panjang.

“Golongan belia kebanyakannya meninggalkan Bario selepas tingkatan tiga untuk menyambung pelajaran di bandar seperti di Miri dan Kuching kerana di sini tidak menawarkan pendidikan menengah atas," katanya.

Beliau berkata meskipun hidup jauh dari arus pemodenan, ia tidak menjadi batu penghalang untuk anak Kelabit berjaya, buktinya ramai yang memegang pelbagai jawatan professional antaranya doktor, peguam, jurutera, arkitek dan dalam badan kerajaan.

Katanya, antara nama besar yang berjaya dilahirkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala dan Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Robert Lian Balangalibun.

Laju berkata sejak turun temurun masyarakat Kelabit, tanpa mengira lelaki atau wanita, amat kuat bekerja, malah aktiviti ekonomi utama komuniti itu ialah penanaman, terutama padi yang menghasilkan beras Bario dan nanas.

“Sayur-sayuran juga ditanam sendiri, malah makanan harian dimasak menggunakan bahan-bahan segar yang dipetik sendiri," katanya.

Permainan tradisional

Kelabit juga mempunyai beberapa permainan tradisional yang rata-ratanya bertujuan untuk mengukur dan membuktikan keperkasaan pemuda bagi menarik perhatian kaum wanita.

Permainan Melakut Karat yang membawa maksud tarik dan tolak misalnya, benar-benar menguji kekuatan seseorang lelaki, apabila mereka perlu menarik kayu balak yang hujungnya ditanam dalam tanah dengan sekuat hati dan sejauh yang boleh.

Jarak tarikan kayu balak tersebut kemudian akan diukur dan pemuda yang berjaya menarik paling jauh akan menjadi sebutan dan perhatian wanita.

Permainan lain yang menguji kekuatan adalah matitiew batuh atau baling batu, di mana seseorang pemuda itu perlu membaling sebiji batu yang amat besar dan berat ke tanah, sebelum jarak balingan itu diukur.

Selain itu, dalam permainan tebpak apo yang bermaksud cucuk atas, pemuda perlu melompat tinggi sambil cuba mencucuk atap nipah dengan menggunakan lidi.

Kebanyakan pengamal media yang mencuba permainan yang diaturkan oleh para guru dan pelajar di Sekolah Menengah Bario itu tidak berjaya kerana ketinggian atap amat sukar dijangkau.

Kunjungan ke Bario tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke lokasi pembuatan garam yang diambil secara manual dari telaga masin Main Kerambut di Kampung Pa’Umor, yang terletak kira-kira 1,100 di atas paras laut.

Garam itu dikatakan memiliki pelbagai khasiat tersendiri berbanding garam biasa, antaranya zat besi, kalsium, pottasium, kalium dan magnesium semulajadi, selain digunakan secara tradisional bagi mengubati penyakit beguk.

Bagi mengunjungi telaga semulajadi itu, yang terletak di sebuah bangsal kecil, ia memerlukan seseorang itu merentas kawasan hutan yang agak berlumpur dan berbukit kira-kira 30 minit.

Telaga air masin itu menjadi lubuk rezeki kepada masyarakat setempat.

Beberapa keluarga mengambil giliran setiap minggu mengusahakan garam berkenaan sebelum menjualnya kepada penduduk Bario dan Miri, selain untuk kegunaan sendiri. - Bernama

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:13
Asar 4:31
Maghrib 7:20
Isyak 8:31



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.