saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 14/10/2014

Sopak sejenis penyakit kulit

Sopak bukan penyakit berjangkit. - Gambar hiasan

SOPAK atau dalam bahasa perubatannya vitiligo merupakan sejenis penyakit kulit yang membuatkan penghidapnya mempunyai kulit bertompok-tompok putih yang tidak mempunyai pigmen.

‘Kehadirannya’ dipercayai berpunca daripada masalah pigmentasi, yang mana sel-sel yang menghasilkan pigmen, iaitu melanosit, dirosakkan oleh auto antibody atau antibodi yang dihasilkan oleh pesakit itu sendiri.

Tanda utama penyakit ini ialah timbulnya tompok-tompok putih di atas kulit, tetapi ia juga boleh melibatkan kawasan yang mempunyai rambut atau bulu seperti kening, misai, bulu roma dan sebagainya, selain boleh menukarkan rambut menjadi putih.

Penyakit vitiligo ini tidak menyebabkan rasa sakit atau gatal.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Mazlin Mohd. Baseri, kebanyakan kes yang melibatkan penyakit sopak ini sering berlaku kepada mereka yang berumur di bawah 20-an,

Namun, ia boleh ‘menyerang’ sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia atau jantina.

Walaupun sopak bukanlah suatu penyakit berjangkit ataupun penyakit yang boleh mengancam nyawa, Dr. Mazlin memberitahu, ia boleh merosakkan kehidupan penghidapnya.

"Penyakit sopak ini walaupun pada dasarnya bukanlah satu penyakit yang berbahaya, tetapi ia mampu memberi kesan negatif kepada psikologi seseorang pesakit

"Sekiranya penyakit ini melibatkan bahagian muka atau mana-mana bahagian yang tidak boleh ditutup, pesakit akan berasa malu dan rendah diri dengan keadaan mereka.

"Tompokan putih di atas kulit juga kelihatan lebih ketara sekiranya pesakit mempunyai kulit yang gelap kerana kontras warna akan menjadi lebih jelas kelihatan.

"Untuk pengetahuan semua, penyakit sopak ini boleh menyerang beberapa kawasan badan secara serentak atau secara berperingkat-peringkat," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut, Dr. Mazlin memberitahu ‘kelakuan’ penyakit ini susah diramal kerana sesetengah pesakit mempunyai penyakit yang cepat merebak ke kawasan lain dan ada sesetengah pesakit yang mempunyai penyakit yang stabil, iaitu tompokan sopak tidak berubah menjadi lebih besar atau banyak.

Punca sebenar terjadinya sopak tidak diketahui secara sahih sehingga hari ini, bagaimanapun para doktor dan penyelidik masih terus menjalankan pelbagai kajian untuk mengesan punca atau asal-usul penyakit ini.

Setakat ini apa yang boleh disimpulkan daripada hasil kajian dan penyelidikan ialah faktor genetik didapati memainkan peranan dalam penghasilan penyakit ini.

Sopak terjadi akibat daripada penghasilan antibodi yang menyerang melanosit di kulit pesakit menyebabkan kemusnahan melanosit tersebut.

Kemusnahan melanosit akan menjejaskan penghasilan pigmen di kawasan yang terlibat dan menyebabkan kulit tiada pigmen (warna).

Menyentuh tentang rawatan untuk penyakit ini, Dr. Mazlin berkata, rawatan yang sedia ada perlu diteruskan untuk jangka masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun dan pesakit perlu faham akan hakikat ini.

"Rawatan penyakit ini terdapat dalam beberapa bentuk bergantung kepada beberapa faktor. Faktor pesakit termasuklah keluasan permukaan kulit yang terlibat dan jenis sopak itu sendiri sama ada ia jenis stabil (tidak berubah) atau sebaliknya.

"Rawatan first line ialah dengan menggunakan krim yang mengandungi bahan immunomodulator yang akan mengurangkan atau memberhentikan kerosakan melanosit yang disebabkan oleh antibodi. Ini sekaligus memberi peluang untuk pigmen kembali mewarnai tompokan yang terlibat.

"Rawatan foto terapi iaitu rawatan yang menggunakan pancaran cahaya ultra violetjuga boleh dilakukan di hospital-hospital yang mempunyai kemudahan tersebut.

"Kini, terdapat juga rawatan laser excimer dan rawatan pembedahan yang melibatkan kaedah pemindahan sel kulit atau melanosit yang diambil dari kulit normal pesakit itu sendiri.

"Namun, kaedah pemindahan sel atau kulit ini memerlukan kepakaran dan belanja yang tinggi.

"Oleh sebab itu, penggunaan kosmetik untuk menutup bahagian terlibat amat digalakkan, kerana proses untuk tompokan putih kembali ke warna asal akan mengambil masa. Penutupan kawasan putih dengan ‘concealer’ dan ‘sun block" boleh digunakan sementara menunggu pigmen itu kembali kelihatan pada mata kasar , Tompokan sopak perlu dilindungi dari terdedah kepada matahari kerana tanpa pigmen, kulit yang terlibat tiada pelindung dari kerosakan yang boleh disebabkan oleh matahari " tuturnya lanjut.

Sopak bukanlah panau dan ia juga bukan albino - walaupun pada peringkat awal, penyakit sopak boleh menyerupai beberapa penyakit kulit yang lain. Di akhir wawancara, Dr. Mazlin menasihatkan orang ramai yang ragu-ragu dengan tompokan putih yang ada pada mana-mana bahagian tubuh badan masing-masing agar berjumpa dengan doktor kerana rawatan yang dimulakan pada peringkat awal akan memberikan hasil yang lebih baik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zuhur 1:13
Asar 4:35
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.