saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 15/10/2014

Ragam hidup berjiran

LUAHAN perasaan seorang wanita, Asmah (bukan nama sebenar) melalui panggilan telefon pada suatu petang ke pejabat Utusan Melayu dilayan baik walaupun waktu itu penulis agak sibuk.

Memahami mungkin dia tidak tahu saluran yang sesuai bagi meluahkan perasaan lalu sanggup memberanikan diri menelefon, membuatkan penulis bersimpati dan rela mendengar keluhannya itu.

Asmah tinggal di sebuah taman perumahan di Bandar Baru Sungai Buluh bersama suami dan empat orang anak. Tiga orang anaknya telah berkahwin dan tinggal di rumah berasingan.

Bagaimanapun mereka sering datang ke rumah selang dua hari. Jika pada hari Sabtu dan Ahad, rumahnya memang riuh rendah dengan kehadiran anak menantu dan cucu-cucu yang seramai empat orang.

Oleh kerana rumah Asmah merupakan lot tepi maka tiada masalah bagi kereta-kereta anak menantu hendak diparkir. Kereta boleh diparkir di depan rumah atau di kawasan tepi rumah.

Memang kawasan tersebut sudah menjadi parkir kereta keluarga mereka. Jiran-jiran pun memahami dan tidak memarkir kereta mereka di situ.

Bagaimanapun masalah mula timbul apabila ada jiran baharu yang baru berpindah selang lima buah rumah dari rumahnya. Jiran baharu ini mempunyai empat orang anak yang sudah meningkat dewasa. Masing-masing mempunyai kereta sendiri. Ditambah dengan kereta jiran tersebut bersama-sama kereta suaminya, semua berjumlah enam buah kereta.

“Apa yang tidak sedapnya ialah tanpa segan-silu jiran tersebut meletakkan kereta miliknya dan kereta anak-anaknya di hadapan rumah saya. Jadi apabila anak-anak hendak mengundur kereta memang agak sukar dan perlu berhati-hati supaya tidak terlanggar keretanya atau terlanggar tembok.

“Bukan setakat sebuah kereta malah empat buah keretanya diletakkan sepanjang jalan di hadapan rumah saya. Tempat yang saya biasa meletak kereta sudah menjadi seperti parkir tetap dia. Keretanya tidak berganjak-ganjak dari situ kadang-kadang hingga seminggu. Agaknya dia takut kalau dia mengeluarkan keretanya dari situ, saya akan mengambil tempat tersebut.

“Ada juga hari-hari tertentu parkir tersebut kosong mungkin kerana kereta tersebut digunakan. Jika saya balik kerja cepat, saya akan terus parkir di situ. Seronok rasanya kerana dapat balik parkir saya dan tidak perlu parkir jauh.

“Saya harap dia faham dan tidak akan parkir di situ lagi. Tetapi apabila kereta saya keluar sahaja dibawa oleh anak saya dan tempat itu kosong, cepat-cepat dia memarkir keretanya di situ supaya anak saya tidak dapat parkir di situ lagi. Nampak sangat sifat dengkinya.

“Kalau saya ambil pun memang patut sebab tempat itu memang tempat saya parkir kereta sejak tinggal di situ dan sebelum dia pindah ke taman itu lagi. Sebaliknya, dia yang baharu tinggal di situ, selamba sahaja tanpa segan atau memikirkan orang lain.

“Selalu juga saya melihat jika dia mahu mengeluarkan kereta yang telah seminggu diparkir itu, kereta satu lagi sudah sedia menunggu. Kelbuar sahaja kereta yang sudah lama diparkir itu, kereta satu lagi akan masuk. Geram betul saya.

“Oleh kerana jiran, saya sabarkan hati. Saya hendak lihat bila dia akan sedar. Bagaimanapun, dia dan anak-anaknya tetap dengan muka selamba buat tidak tahu saja. Dia tidak mahu parkir di depan pintu pagar rumahnya kerana hendak memudahkan kereta anaknya yang di dalam kawasan pagar keluar.

“Sebaliknya, saya dan anak-anak apabila hendak mengeluarkan kereta yang ada di dalam terpaksa mengundurkan kereta yang di depan pagar dan terpaksa mencari tempat lain yang agak jauh juga.

“Apabila anak atau menantu saya hendak keluar masuk motorsikal pun susah kerana perlu mencelah-celah di tengah-tengah kereta yang ada di hadapan pintu pagar. Cucu-cucu hendak keluar bermain pun susah kerana sukar hendak membuka pintu pagar. Jika ibu bapa saya yang sudah uzur itu datang, mereka terpaksa memarkir kereta agak jauh dan termengah-mengah berjalan ke arah rumah.

“Jiran tersebut nampak ini semua namun saya hairan kerana mereka tidak melakukan apa-apa pun untuk mengalihkan kereta mereka.

“Oleh kerana tidak tahan lagi melihat sikap mereka yang saya rasa hanya mementingkan diri sendiri, saya mengumpul keberanian untuk menegur cara baik. Lagipun saya telah menunggu sehingga setahun dan berharap mereka sedar.

“Sebelum menyatakan tujuan saya, pertama sekali saya telah meminta maaf dan jangan berkecil hati. Kemudian baru saya beritahu mereka bahawa tempat mereka memarkir kereta selama ini adalah tempat saya. Saya meminta mereka mengalihkan kereta ke tempat lain. Si isteri mengangguk memahami dan berjanji akan menyuruh suaminya mengalihkan kereta. Nampak dia faham.

“Tetapi puan hendak tahu, saya sangkakan dia boleh menerima dengan baik. Sebaliknya sejak itu saya sudah menjadi musuhnya pula.

“Jika dahulu dia sering juga menegur apabila hendak pergi atau balik kerja atau sekurang-kurangnya tersenyum, sekarang dia tidak lagi menegur atau tersenyum.

“Walaupun dia akan lalu di depan rumah saya setiap kali pergi atau pulang kerja, dia tidak akan menoleh ke arah rumah saya walaupun saya ada di depan. Kereta-keretanya pula memang dialihkan," cerita Asmah.

Menurutnya, itulah susahnya masyarakat hari ini, jika tidak ditegur mungkin pihak yang satu lagi itu tidak menyedari kesilapannya tetapi apabila ditegur kita pula menjadi musuh.

Tambahnya lagi, dia tidak mahu bermusuh dengan sesiapa apatah lagi dengan sesama jiran kerana jiran umpama saudara-mara kita juga. Setiap hari berpandangan muka tetapi tidak bertegur sapa.

Tujuannya menceritakan perkara ini adalah supaya kita sesama jiran janganlah bermasam muka atau berkecil hati hanya kerana perkara yang remeh-temeh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zuhur 1:13
Asar 4:35
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.