saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 09/10/2014

Buku masakan tingkap ke Gaza

Laila El Haddad bersama buku hasil karyanya, The Gaza Kitchen.

PADA awal bulan September lalu, Viva Palestina Malaysia (VPM) telah menganjurkan Festival Filem Kuala Lumpur-Palestin (KLPFF) buat kali ketiga. Festival yang telah dimulakan sejak tahun 2012 itu berjaya mendedahkan penonton kepada realiti krisis kemanusiaan di Palestin.

Filem-filem bercorak drama dan dokumentari yang dipilih itu telah menonjolkan kisah bagi memperingati perjuangan semua lapisan rakyat Palestin menentang kekejaman rejim zionis Israel.

Selain itu, beberapa aktiviti menarik yang lain telah turut diadakan seperti demonstrasi memasak masakan Gaza, pelancaran buku, ceramah, pameran fotografi dan tarian kebudayaan.

Di antara tetamu jemputan khas ke KLPFF 2014 termasuklah rakyat Australia berketurunan Palestin, Sameeha Ehwan, salah seorang penulis buku berjudul Remember Us, penerbit dan pengarah filem The Stones Cry Out dari Itali, Yasmine Perni, penulis, penganalisa politik serta aktivis sosial dari Amerika berketurunan Palestin, Laila El-Haddad dan jurugambar dari Algeria Belgium Seba Asmaa.

Salah seorang daripada mereka yang sempat ditemui, Laila El-Haddad, 36, sempat berkongsi pengalaman beliau menerbitkan dua buah buku yang beliau anggap boleh menjadi sebagai ‘tingkap’ ke Gaza, di mana orang luar boleh mengetahui lebih mendalam mengenai Gaza.

Buku pertama beliau berjudul Gaza Mom: Palestine, Politics, Parenting and Everything in Between telah diterbitkan pada tahun 2010. Sementara buku kedua berjudul The Gaza Kitchen pula diterbitkan pada tahun 2013.

Beliau yang berada di Malaysia selama 10 hari itu telah menceritakan mengenai buku-buku beliau dan situasi yang berlaku di Gaza.

Gaza Mom ditulis berdasarkan daripada penulisan beliau dalam blog semasa berada di Gaza dan dikumpul sehingga cukup bagi dijadikan sebuah buku.

“Waktu itu saya bekerja sebagai wartawan di Gaza dan tinggal di sana bersama anak saya yang masih kecil. Suami saya, Dr. Yassine Daoud (pakar bedah mata) tinggal di Amerika Syarikat (AS) kerana dia merupakan pelarian Palestin dan dibesarkan di perkhemahan. Oleh kerana dia seorang pelarian, dia tidak dibenarkan memasuki Palestin.

“Jadi saya yang akan pulang ke Amerika Syarikat. Oleh kerana sering menghadapi masalah dokumentasi, saya sering ditahan. Pernah sekali saya terkandas selama 55 hari di Kaherah bersama anak lelaki saya yang masih kecil.

“Pengalaman sering menunggu sama ada mengenai dokumentasi atau sempadan dibuka membuatkan saya terfikir untuk menulis isu yang dihadapi oleh rakyat Palestine pada hari ini.

“Pada tahun 2006, saya berpindah ke AS bersama suami, sementara ibu bapa saya masih di Gaza. Pada tahun 2008 apabila Israel melancarkan serangan selama tiga minggu ke atas Gaza, saya masih berhubung dengan ibu bapa saya yang terperangkap di Gaza City," kata ibu kepada Yousuf Daoud, 10, Noor Daoud, 6, dan Malaak Daoud, 2.

Laila dilahirkan di Kuwait pada tahun 1978. Beliau dibesarkan di Arab Saudi di mana ibu bapa beliau bekerja di sana.

Beliau ke AS untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Duke dan kemudian ke Harvard’s Kennedy School of Government dan diberikan biasiswa Clinton bagi pelajar-pelajar Palestin yang menuntut di situ.

Tambah anak kepada pasangan doktor itu, bapa beliau, Dr. Moussa El-Haddad, 70, dan ibu, Dr. Maii El-Farra, 69, ini lagi, pada ketika itu, tidak ramai yang menulis blog dan beliau bimbang tiada yang membaca tulisannya.

Objektifnya cuma supaya suami dapat pulang ke Palestin. Bagaimanapun, blog tersebut kemudian mendapat sambutan dan melalui blog tersebut, orang mengetahui mengenai Gaza.

“Semasa saya menulis blog tersebut, belum ada orang lain yang menulis di blog. Setelah itu, saya mendapat banyak permintaan daripada media untuk menulis mengenai Palestin. Saya berasa bangga kerana dapat menyumbang untuk Palestin dan memberi inspirasi kepada penulis-penulis blog muda.

“Pada tahun 2007, saya kembali ke AS untuk bersama suami yang bertugas sebagai pakar bedah mata di Hospital John Hopkins, Baltimore, Maryland. Masa itu juga sempadan Gaza ditutup selama tiga tahun dan saya tidak boleh masuk ke sana.

“Pada tahun 2010, apabila saya berpeluang masuk semula ke sana, saya mengambil kesempatan menulis buku kedua The Gaza Kitchen yang diinspirasikan daripada golongan wanita muda Palestin yang bercerita mengenai kehidupan mereka.

Ini berkonsep buku masakan dokumentari dengan pendekatan etnik disertai dengan hidangan autentik tradisional Gaza. Bagi mendapatkan bahan untuk buku ini, saya berpeluang bercakap dengan pelbagai lapisan masyarakat mengenai resipi mereka. Saya menggunakan makanan sebagai alat untuk pembaca mengetahui mengenai rakyat dan tanah Gaza.

“Semasa pembuatan buku ini, bahan-bahan makanan yang digunakan untuk memasak dihantar oleh sebuah karavan. Ini kerana di sana sukar untuk mendapatkan bahan makanan yang lengkap," kata Laila yang turut menulis untuk laman sesawang Inggeris al-Jazeera dan The Guardian.

Menurut Laila, dalam buku ini terdapat 120 resipi yang termasuk hidangan utama, jeruk, salad dan sebagainya. Walaupun banyak kawasan di Gaza tidak lagi wujud namun keunikan masakan Gaza masih lagi bertahan. Adalah penting bagi generasi muda Palestin untuk mengenali dan mengetahui makanan tradisional mereka.

Katanya, terdapat beberapa persamaan antara hidangan Gaza dan hidangan Malaysia seperti penggunaan cili, tomato dan makanan laut yang disukai oleh masyarakat di sana.

“Saya berharap akan dapat menerbitkan buku ketiga saya dalam masa terdekat. Kini buku ini dalam proses suntingan. Ia merupakan kompilasi esel yang ditulis oleh rakyat Palestin semasa serangan Gaza baru-baru ini," kata Laila yang boleh dihubungi di [email protected]

Sementara itu, pengarah filem The Stones Cry Out yang ditayangkan semasa KLPFF 2014, Yasmine Pernie berkata, kebanyakan media massa sering melaporkan konflik di Palestin sebagai perjuangan antara orang Islam dan Yahudi. Sedangkan hakikat sebenar bahawa agama Kristian juga dilahirkan di Palestin dua ribu tahun yang lalu.

“Suara rintihan penduduk Kristian Palestin termasuk 3,000 daripadanya yang tinggal di Gaza sering tenggelam dalam kegawatan pertelingkahan di sana. Saya buat filem ini selepas melakukan banyak kajian," katanya mengenai filem dokumentari yang mengambil masa tayangan selama 55 minit ini.

Perni merupakan rakyat Itali yang berpindah ke Asia Barat semasa berumur 13 tahun.

Beliau pernah tinggal di Sudan, Mesir, Arab Saudi, Syria, Jordan dan Jerusalem. Lulusan University of London’s School of Oriental dan African Studies, Yasmine pernah bekerja sebagai wartawan, jurugambar dan penerbit televisyen.

- MERAN ABU BAKAR

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.