IMPAK ALAM
ARKIB : 26/05/2014
Taman Laut Labuan

MENJADI tarikan bagi hidupan marin seperti penyu untuk singgah dan bertelur sebelum kembali ke habitatnya, Taman Gugusan Pulau Kuraman yang merangkumi tiga pulau di barat daya Labuan dikenal pasti boleh dijadikan produk baharu pelancongan pulau bebas cukai tersebut.
Selain menjadi tempat persinggahan penyu untuk bertelur, pelbagai usaha turut dilakukan dalam memastikan tiga pulau tersebut iaitu Kuraman, Rusukan Kecil dan Rusukan Besar tidak dicemari dan terjejas dengan aktiviti merosakkan hidupan marin akuatik.
Menurut Pengarah Jabatan Taman-Taman Laut Labuan, Mohd. Fazli Long, berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Petronas Carigali dalam usaha meningkatkan bilangan hidupan laut itu yang dilihat kini semakin terancam.
“Usaha pemuliharaan dan penjagaan kawasan berkenaan yang bermula tiga tahun lalu masih dalam proses peningkatan bagi memastikan hidupan marin tersebut dilindungi sebaik-baiknya.
“Pihak kami sentiasa memantau kawasan-kawasan ini dalam usaha memastikan ketiga-tiga pulau terus menjadi tapak persinggahan dan penetasan penyu," katanya ketika ditemui pada Program Kembara Bersama Media, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Labuan baru-baru ini.
Taman Gugusan Pulau Kuraman yang merangkumi tiga buah pulau berkeluasan 1.47 kilometer persegi merupakan antara 32 pulau yang telah diwartakan kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai Taman Laut itu, Mohd. Fazli memberitahu pelbagai usaha sedang dijalankan dalam memastikan hidupan marin itu terus terpelihara seperti mewujudkan Pusat Penetasan Penyu bagi mengumpul telur-telur penyu yang ditinggalkan.
Di samping itu, pusat tersebut juga merupakan tempat berlindung bagi penyu daripada ancaman kepupusan sekali gus mengembalikan semula habitat semulajadinya.
Di sana, aktiviti seperti pengeraman, penetasan, pelepasan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut diperhebatkan bagi melindungi spesis marin yang terancam itu.
Selain itu, taman laut turut bekerjasama dengan penduduk kampung pulau berkenaan untuk memulihara dan menjaga persekitaran kawasan persinggahan dan penetasan penyu.
“Jika tiada kerjasama daripada masyarakat setempat mustahil bagi kami untuk memastikan hidupan marin dapat dipelihara.
“Di samping itu juga pihak taman laut turut bertanggungjawab untuk menjadi pengantara kepada masyarakat dalam memberi maklumat dan kesedaran mengenai pentingnya pemuliharaan hidupan marin khususnya penyu yang semakin pupus kini," ujarnya lagi.
Antara spesies penyu yang mendarat di pantai Pulau Kuraman ialah penyu agar yang nama saintifiknya, Chelonia mydas dan penyu karah atau nama saintifiknya Eretmochelys imbricata.
Pulau Kuraman yang kini dalam proses pewartaan sebagai Taman Laut Malaysia didiami lebih 80 keluarga pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
Selain tiga buah pulau ini, pelawat dan pelancong turut berpeluang untuk melawat beberapa tukun kapal karam menerusi aktiviti menyelam.
Tukun yang ditenggelamkan satu setiap tahun itu dijadikan tarikan utama bagi pelancong dan juga pelajar yang ingin menjalankan kajian terhadap taburan batu karang.
Masa yang sesuai untuk berkunjung ke Taman Laut Labuan adalah di antara bulan Februari hingga Oktober setiap tahun.
Tambah baik pengurusan air
Berkayuh bersama alam semula jadi
Air bawah tanah
Taman Laut Labuan
Perhebat amalan konsep 3R
Tradisi pencemaran pasar malam
Kempen hijau UMW
Populasi burung upeh kian terancam
Mengurus sisa pepejal
Kanyon Imbak khazanah alam berharga
Tapir makin pupus
Antara cuaca & alam
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||












