saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/10/2014

Pernah berpisah

CINTA Farhan dan Ahmad Rashadan akhirnya termeteri di di Masjid Al-Hasanah,
Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor, Jumaat lalu.

Lapan tahun menyulam cinta, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengekalkannya apatah lagi hubungan itu tidak mempunyai ikatan yang sah.

Namun, berkat kesabaran menempuh pelbagai dugaan, dengan sekali lafaz penyanyi, Farhan Azizan, 30, akhirnya sah bergelar isteri kepada Ahmad Rashadan Suhaimi, 30.

Ditemui selepas majlis pernikahan itu, jelas Farhan, dia bersyukur kerana akhirnya selama lapan tahun menyulam kasih, mereka berdua kini sudah bergelar suami isteri.

“Pada mulanya memang seakan tidak percaya kerana akhirnya saya kini sudah bergelar isteri.

“Saya sangat bersyukur kerana lapan tahun bukan masa yang pendek. Pelbagai dugaan kami tempuhi tetapi akhirnya bersatu juga," jelasnya.

Bagi Ahmad Rashadan pula, sepanjang lapan tahun itu, dia terpaksa meninggalkan Farhan selama tiga tahun untuk menyambung pengajian di Universiti Coventry, United Kingdom.

“Saya menyambung pelajaran selama tiga tahun pada tahun 2009 dan ketika itu, memang kami berhubung jarak jauh sahajalah.

“Tetapi, sehingga saya menamatkan pengajian, dia masih setia menanti saya dan itu yang buat saya fikir sudah tiba masanya untuk saya menjadikan dia seorang isteri," katanya.

Mereka berdua telah diijab kabulkan kira-kira pukul 10.15 pagi di Masjid Al-Hasanah, Bangi, Selangor, Jumaat lalu.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan, Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Yusof dengan berwalikan bapa Farhan, Azizan Mohd. Akhir.

Ahmad Rashadan telah memberikan mas kahwin berjumlah RM300 namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pada majlis yang dihadiri oleh rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat kedua-dua pasangan itu, pihak perempuan telah memberi sembilan dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak lelaki.

Antara yang diberikan oleh pihak lelaki termasuklah sebentuk cincin, barangan set penjagaan wajah, wangian, telekung, senaskhah Al-Quran dan seutas jam tangan.

Pihak perempuan pula memberi barangan hantaran termasuklah sebentuk cincin, sirih junjung, kelengkapan solat, seutas jam tangan, bunga rampai, manisan, buah-buahan, sejadah dan coklat.

Pasangan tersebut sebelum ini telah bertunang pada Februari 2012. Majlis resepsi pasangan itu pula berlangsung pada hari yang sama dan diadakan pada sebelah malam di Dewan Seri Endon, Putrajaya.

Pernah putus hubungan

Bagi Farhan, dia juga tidak terlepas daripada dugaan tetapi dikuatkan semangat untuk meneruskan hubungan.

Malah, pernah satu ketika, mereka masing-masing putus hubungan dan membawa haluan sendiri sebelum akhirnya bersatu kembali. Kalau sudah jodoh, memang tidak ke mana.

“Selama lapan tahun itu memang macam-macam dugaan tapi kami masing-masing kena ada persefahaman dan akhirnya berbaik semula.

“Bagi saya, persefahaman antara satu sama lain dalam hubungan memang perlu. Kasih sayang itu sudah memang ada, tetapi persefahaman itu yang perlu dicari.

“Bila sudah ada persefahaman, barulah kita boleh bertolak ansur antara satu sama lain," katanya.

Selain daripada itu, jelas Farhan, salah satu lagi dugaan adalah daripada keluarganya sendiri apatah lagi Farhan adalah anak sulung dalam keluarganya.

“Bila sulung ni lain macam sikit. Tambah pula saya seorang wanita, lagilah macam-macam desakan meminta saya untuk berkahwin segera.

“Bukan tidak mahu, tetapi disebabkan ada ketika kami masing-masing sibuk. Saya dengan kerjaya dan dia pula menyambung pelajaran dan itu yang buat keluarga mendesak," jelasnya.

Bercerita mengenai perancangan untuk berbulan madu pula, jelas Ahmad Rashadan, buat masa ini mereka belum lagi menetapkan bila tarikhnya.

“Buat masa ini kita tidak menetapkan lagi bila hendak pergi kerana masing-masing pun masih sibuk selepas berkahwin.

“Tetapi lokasi itu sudah ada. Mungkin kami akan pergi ke Pulau Maldives. Bila sudah selesai semua baru kami akan pergi mungkin pada hujung tahun atau tahun hadapan," jelasnya.

Tentang anak pula, jelas Farhan, dia dan suaminya tidak merancang apa-apa sebaliknya menyerahkan segalanya kepada rezeki Allah.

“Dengan usia yang sebegini, saya rasa tidak perlu pun untuk kami merancang sebaliknya berserah kepada rezeki. Jika dapat dalam masa terdekat, Alhamdulillah," jelasnya.

Tidak halang kerjaya seni

Sudah pastinya bila berkahwin dengan seorang anak seni, kerjaya seni itu mungkin sesuatu yang susah untuk difahami oleh orang luar terutamanya.

Bagi Ahmad Rashadan, dia tidak akan menghalang kerjaya seni Farhan malah akan menyokongnya untuk mencapai impiannya.

“Bidang seni adalah impian Farhan, jadi saya tidak boleh halang. Asalkan dia tahu batas dan kedudukannya itu sudah cukup," jelasnya.

Ditanya apa tarikan utama Farhan padanya, jelas Ahmad Rashadan, dia melihat isterinya sebagai tulang belakang kepada kerjanya.

Ahmad Rashadan yang kini bekerja di jabatan pembangunan perniagaan di sebuah syarikat gas dan minyak itu menyifatkan motivasi daripada Farhan banyak membantunya.

“Dengan Farhan, saya lihat dia sebagai orang yang banyak menyokong saya. Ada kalanya saya rasa mustahil untuk melakukan sesuatu, dia yang memberi pesanan hingga saya berasa yakin.

“Selain itu dia juga seorang yang bertanggungjawab dan mampu berdikari. Selain daripada itu, pada saya dia memang istimewa," katanya sambil tertawa.

Perkenalan pasangan ini bermula pada majlis hari lahir Farhan yang ke-23, anjuran kelab peminat Farhan.

Pada ketika itu, Ahmad Rashadan pergi bukanlah kerana dia minat terhadap Farhan, tetapi disebabkan oleh ajakan daripada salah seorang rakannya.

Setahun selepas itu, mereka mula berkenalan dan akhirnya menjalinkan hubungan cinta sebelum akhirnya kini bergelar pasangan suami isteri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.