saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 12/10/2014

Tempias cinta Uqasha & Nelydia

PERKONGSIAN dua wanita ini ternyata tidak cuma pada darah yang sama. Mereka juga turut berkongsi minat dan kecintaan pada dunia seni yang menyaksikan kedua-duanya menggalas kerjaya sebagai pelakon.

Sekarang siapa yang tidak kenal dengan Uqasha dan Nelydia Senrose. Membuktikan bahawa kehadiran dalam industri seni bukan cuma kerana wajah semata-mata, Uqasha dan Nelydia berusaha menjual bakat lakonan yang dimiliki untuk meraih kepercayaan bahawa mereka adalah pelapis anak seni yang boleh dikagumi.

Walaupun begitu, harus diakui, tidak semua orang menganggap adik-beradik ada dalam satu bidang sama boleh berjaya. Lebih-lebih lagi dalam bidang hiburan yang penuh persaingan.

Adik-beradik atau tidak, pendek kata, semua orang mahu bersaing sesama sendiri bagi menempatkan diri pada kedudukan tertentu. Bagi Uqasha dan Nelydia, kedua-duanya tidak pernah terlepas daripada pertanyaan sama ada mereka saling mencemburui antara satu sama lain.

Keadaan itu dilihat ketara apabila graf populariti Nelydia lebih tinggi berbanding Uqasha. Yang kita bicarakan di sini adalah dari aspek lakonan.

Walaupun begitu, sejauh mana ada yang cuba memberi tekanan pada Uqasha mahupun Nelydia, kedua-dua mereka tetap utuh menyokong antara satu sama lain. Mereka tahu dalam masa yang sama masing-masing tidak boleh elak situasi persaingan, apalagi dalam dunia lakonan.

Uqasha tiada halangan

Berbicara soal cemburu seorang adik dan kakak, Uqasha yang dua tahun lebih tua daripada Nelydia menganggap soal itu tidak pernah hinggap di hatinya lantaran tahu bahawa sekiranya ia berlaku, ia tidak akan membawa kepada kebaikan dan manfaat.

Bahkan sebagai kakak, kata Uqasha, dia perlu membangkitkan isu persaingan kerana sebagai sebuah keluarga, dia perlu sentiasa menjadi penyokong kepada adiknya itu dalam segala segi dan tidak cuma pada soal kerjaya.

"Saya tidak kisah bersaing dengan dia. Lagipun, dia bukan orang lain, adik saya juga. Tak dinafikan memang ada yang bertanya sama ada kami ini cemburu antara satu sama lain lebih-lebih lagi bila sekarang ini nama Nelydia lebih memuncak daripada saya.

"Bila Nelydia lebih ke depan daripada saya itu bermaksud dia sukses dalam apa yang dia lakukan. Itu satu perkembangan yang sihat dan positif. Harus diingat kalau dia berjaya, dia tidak cuma membawa namanya sahaja, tetapi juga nama keluarga.

"Kalau orang bercakap pasal kejayaannya, dan bertanya dia adik siapa? Yang akan berbangga tentulah saya juga. Jadi tak perlu rasa cemburu tu," katanya.

Sentiasa mengukir senyuman, Uqasha juga mengaku tidak terasa hati seandainya dalam bab cinta dan jodoh, Nelydia lebih mendahului dirinya melangkahkan kaki ke jenjang pelamin.

Sentiasa mendoakan kebahagiaan adiknya yang hangat bercinta dengan Qi Razali, kata Uqasha, sebagai manusia biasa, dia tidak mampu menolak andai takdir memberi ruang buat adiknya untuk berumahtangga dahulu berbanding dirinya.

"Siapalah saya untuk menghalang andai ditakdirkan dia berkahwin dulu daripada saya. Bukankah itu semua urusan Tuhan? Saya sebagai kakak tentulah akan tumpang gembira untuk Nelydia. Malah, saya tahu, dia juga akan mendoakan kebahagiaan saya andai waktu itu juga sampai pada saya," katanya.

Dalam pada itu, mengaku bahawa hatinya tidak dimiliki sesiapa buat waktu ini selepas kecewa dengan percintaan lepasnya bersama aktor Pekin, Uqasha tahu apa yang diperlukannya sekarang adalah masa untuk bercinta dengan dirinya sendiri.

Lebih tenang dan aman menjalani hidup sebagai seorang wanita solo, kata Uqasha dia suka dengan keadaan ini yang baginya tidak mengusutkan fikirannya untuk memikirkan hal orang lain.

"Saya baik saja jadi wanita solo. Saya tak perlu fikir soal komitmen dengan orang lain, tak perlu nak jaga hati dan perasaan orang lain. Apa yang penting sekarang adalah untuk saya menjaga hati dan perasaan saya sendiri tanpa perlu disakiti," katanya.

Menurut Uqasha lagi, meski ada yang mengandaikan dia mungkin sudah serik untuk bercinta sesama rakan artis, dia tidak mahu bermulut celupar dan ego mendabik dada berkata tidak mahu.

Bagi Uqasha, dia lebih senang meletakkan segala ketentuan itu di tangan Tuhan.

"Saya tak kata serik untuk bercinta sesama artis. Cuma, saya lebih senang untuk tidak terlalu cepat membuat ramalan sendiri. Kalau bab cinta dan jodoh, biarlah ia berlaku dengan sendirinya.

"Kalau ditakdirkan saya bercinta lagi dengan artis selepas ini saya tak menolak sebab saya tahu, kita tak boleh andaikan semua orang itu sama. Masing-masing punya cara yang berbeza dan untuk itu, biarlah saya serah saja pada Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya," katanya yang akan menjalani penggambaran drama muzikal 13 episod arahan Afdlin Shauki.

Kepercayaan Nelydia

Seperti kakaknya, Nelydia juga menyimpan rasa yang sama. Tidak menganggap wujudnya persaingan antara dia dan kakaknya sementelah masing-masing bergelar pelakon, Nelydia lebih seronok dapat berada dalam dunia yang sama dengan kakaknya itu.

Biarpun Nelydia terlebih dahulu bergelar pelakon berbanding Uqasha, dia tahu kakaknya juga mampu pergi lebih jauh dengan bakat yang dimiliki.

"Bagi saya, Uqasha juga punya kekuatan dan kualiti tersendiri. Biarpun dia masih baru dalam bidang lakonan sedangkan saya sudah mula berlakon sejak berusia 13 tahun lagi, saya rasa pujian wajar diberikan kepada dia kerana dia tidak mengambil masa yang lama untuk naik dan dikenali.

"Itu sudah menunjukkan bahawa orang percaya dengan bakat yang dia ada. Saya pula baru sahaja atur langkah sejak setahun lalu untuk serius dalam bidang lakonan setelah merasakan inilah masa yang paling sesuai. Sebelum ini saya terikat dengan alam persekolahan.

"Jadi baru sekarang saya nak susun strategi. Pun begitu, Alhamdulillah, saya bersyukur kehadiran saya dihargai dalam industri seni," katanya.

Memuji kualiti yang ada Uqasha, kata Nelydia dari kaca matanya, si kakak mempunyai kualiti dan kredibiliti untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya pada masa akan datang.

"Bagi saya, dia seorang yang cepat belajar. Meskipun saya terlebih dahulu menjadi pelakon, adakalanya, saya banyak bertanya dan merujuk beberapa perkara dengan dia kerana sikapnya yang sentiasa positif. Tak semestinya soal lakonan, bahkan bermacam-macam aspek.

"Kalau saya susah hati atau ada kemusykilan mengenai sesuatu, saya banyak merujuk dengan dia dan ibu. Dengan sikapnya yang ikhlas dan berfikiran terbuka, saya percaya akan ada lebih banyak peluang untuk dia membina platform dalam dunia lakonan," katanya.

Percaya bahawa kedua-dua mereka tidak perlu bersandar pada kisah cinta untuk meraih populariti, Nelydia berpandangan, perkara itu tidak pernah menjadi agenda utama mereka dalam usaha untuk dikenali dalam industri hiburan.

Jelas kekasih Qi ini lagi, dia tahu sikapnya yang gemar berterus-terang mengenai soal cinta secara tak langsung membenarkan orang ramai untuk membuat pelbagai spekulasi mengenai dirinya.

Namun, itu tidak bermakna dia perlu sentiasa menjaja cerita cinta hanya kerana mahu popular.

"Saya ni bukan sang peraih perhatian dan saya percaya Uqasha juga begitu. Namun saya faham, sudah lumrah menjadi artis dan orang akan tetap mahu tahu mengenai hal peribadi.

"Bagi saya, cukuplah jika orang tahu saya rapat dengan Qi. Saya sendiri tak berani nak letakkan apa-apa sasaran sekiranya kiat bercakap mengenai soal jodoh sebab itu semua di tangan Tuhan.

"Selagi tiada pertemuan keluarga, saya tak berani nak cakap lebih-lebih. Apa pun, untuk popular dengan jaja cerita cinta, saya rasa tak perlu. Biarkan kerja saya yang membuktikan bahawa saya boleh menjadi pelakon yang berkualiti," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.