saya nak baca ..

FEMININ


ARKIB : 16/10/2014

Shakirah pakar pemasaran digital

Shakirah Karim melatih ramai usahawan untuk menjadi lebih mahir dalam perniagaan di Internet.

Bermula dengan makan gaji sebagai jurutera teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat multinasional, Shakirah Karim, 32, tidak pernah berfikir mahu mencuba untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Tambahan pula, dia sendiri membesar dalam keluarga yang makan gaji dan mempunyai persepsi terhadap pendapatan bulanan secara tetap lebih menjamin masa depan keluarganya.

Kemudiannya, wanita ini diterima masuk pula ke sebuah syarikat saluran televisyen berbayar sebagai penganalisis web dan konsultan pemasaran digital.

“Saya mempunyai visi sendiri dalam soal kerjaya iaitu mahu menjawat jawatan sebagai pengurus sebelum berusia 30 tahun.

“Namun terdapat terlalu banyak kekangan politik pejabat dan saya mula menyedari bahawa agak sukar untuk seseorang wanita mencapai status jawatan yang lebih tinggi jika berada dalam sektor korporat.

“Dengan pengalaman saya dalam bidang IT, saya mendapat kepercayaan daripada majikan untuk mengambil sijil Online Marketing Certified Professional (OMCP) dari Amerika Syarikat dan kebetulan pula saya menjadi orang pertama dari Malaysia yang mendapat sijil pengiktirafan sebagai pakar pemasaran digital seluruh dunia,

“Sejak itulah karier saya mula berubah perlahan-lahan," katanya ketika ditemui di Bangi School of Business (ABS), di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Menurutu Shakirah, pada ketika itu pemasaran online masih lagi kurang digunakan dan segala runding nasihat diambil dari Amerika Syarikat.

“Cabaran ketika itu adalah saya tiada sebarang rujukan kerana saya menjadi orang pertama yang mempunyai sijil tersebut.

“Saya perlu buktikan kepada pihak pengurusan bahawa saya boleh menggunakan teknologi pemasaran Internet untuk memberi keuntungan kepada syarikat tanpa sebarang kos," katanya.

Mencuba dari bawah, syarikat hanya bergantung kepada kajian serta trial and error yang dilakukannya tanpa sebarang rujukan lain.

Akhirnya dia berjaya meningkatkan keupayaan laman sesawang syarikatnya sehingga 500 peratus.

Selepas mendapat acuan sebenar tentang dunia pemasaran digital, Shakirah mula dikenali dan teman-teman yang berniaga mahu mendapatkan khidmat nasihat tentang bagaimana mahu meningkatkan jualan serta membina laman sesawang yang baik untuk perniagaan.

“Saya mula mengajar kawan-kawan secara percuma dan dari situ saya mula berfikir mengapa tidak saya terus sahaja mengajar memandangkan terdapat permintaan dalam pasaran tempatan.

“Waktu itu ramai yang tidak tahu perkara asas tentang pemasaran digital walaupun mereka adalah sebuah syarikat besar," katanya.

Kelebihannya adalah kerana Shakirah bermula dari bawah iaitu mengaplikasikan teknik tanpa menggunakan kos dan itu yang membuatkannya mudah mendekati usahawan yang tiada modal.

Walaupun sudah mempunyai niat untuk menjalankan khidmat konsultasi secara sepenuh masa, dia mempunyai masalah dalam bidang keusahawan kerana bidang kepakarannya hanya tertumpu kepada pemasaran digital bukanlah berniaga.

Mempunyai tiga orang anak dan suami yang bekerja di sektor awam, membuatkan dia berfikir berulang kali untuk mengambil risiko bermula dengan tiada pendapatan tetap dan bagaimana mahu menguruskan masa dengan baik antara perniagaan dan keluarga.

Beri konsultasi percuma

“Saya mengambil keputusan untuk memberi latihan dan konsultasi secara percuma kepada kumpulan usahawan dan turut dijemput untuk memberi seminar kepada sektor-sektor korporat.

“Dari situ saya membina jalinan perniagaan dan sedikit demi sedikit mengumpul ilmu tentang keusahawanan.

“Dalam tempoh setahun memberi konsultasi secara sambilan, saya mula memahami kehendak usahawan seperti apa yang sebenarnya mereka mahu dan apa yang mahu diajar.

“Saya tidak boleh mengajar sekiranya saya tidak tahu masalah mereka, dalam erti kata lain, saya belajar daripada mereka dahulu sebelum mengajar mereka," ujarnya,

Apabila mengetahui segala masalah yang dihadapi usahawan dalam pemasaran digital, dia menukar modul-modul pengajarannya mengikut kehendak usahawan.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini bertuah kerana majikannya memberi sokongan penuhn sekiranya dia mahu berhenti kerja dan memulakan perniagaan konsultasi kerana memahami tiada peluang yang boleh diberikan oleh syarikat kepada Shakirah dalam bidang kepakarannya.

Sebaliknya, kepakarannya mempunyai pasaran yang luas di luar.

Membuka syarikat konsultasi mindatrafik.com, pada permulaan dia menawarkan perkhidmatan membuat laman sesawang dan SEO, iaitu bagaimana untuk mendapat ranking dalam carian Google.

Pada masa sama dia turut mengadakan latihan serta seminar pemasaran digital kepada usahawan.

“Saya menghadapi masalah pembahagian masa kerana semuanya saya perlu lakukan sediri seperti menjaga akaun, membuat strategi pemasaran, menganalisis laman sesawang pelanggan, memberi konsultasi, malah berjumpa dengan orang.

“Saya tidak boleh berada di hadapan komputer sepanjang masa kerana saya perlu juga menguruskan keluarga, jadi saya hanya memfokuskan kepada latihan dan bimbingan kepada usahawan.

“Alhamdulillah, saya mula dikenali dan kini bekerjasama dengan Bangi School of Business dengan menjadi tenaga pengajar di sana," katanya.

Modul pengajaran Google dan Facebook

Di bawah kelolaannya, Shakirah mengajar usahawan tentang pemasaran Google dan Facebook iaitu bagaimana mahu perniagaan kita dijumpai di laman carian Google secara profesional, mengetahui permintaan pasaran melalui Google, menaikkan ranking laman sesawang perniagaan atau page view, dan bagaimana untuk berkomunikasi di laman Facebook.

Hanya mengambil pelajar sebanyak 30 orang dalam satu-satu masa, dia perlu memberi tunjuk ajar secara terus dan bukan secara teori seperti kebanyakan latihan pemasaran luar yang lain.

“Saya mengajar secara praktikal kerana pengalaman selama tujuh tahun membuat pemasaran digital melalui pelbagai cara termasuklah secara teori, saya banyak buat salah dan saya tidak mahu usahawan lain turut melalui perkara yang sama.

“Saya akan mengajar apa yang mereka tidak boleh buat dahulu dalam pemasaran digital kerana jika tersilap langkah kesannya sangat besar kerana ia berkaitan dengan strategi perniagaan kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Shakirah juga adalah pengasas kepada program Branding Muslim Women (BMW), sebagai suatu usaha dakwah dalam menekankan kaedah membina jenama perniagaan yang sebenar mengikut etika Islam.

“Saya melihat banyak perniagaan sekarang hanya memfokuskan kepada keuntungan dunia semata-mata dan melupakan nilai Islam sebagai pendorong utama perniagaan.

“Elemen yang penting yang ingin diterapkan melalui BMW adalah untuk menyedarkan usahawan tentang kaitan hasil produk dan servis yang diberikan dengan saham individu di akhirat," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:58
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.